PADA penghujung November lepas saya dijemput menghadiri suatu forum tentang penerangan kesan pindaan Akta Bantuan Guaman anjuran Jabatan Bantuan Guaman Malaysia bertempat di Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) di Putrajaya. Beberapa pindaan telah pun diluluskan Parlimen melalui Rang Undang-Undang Akta Bantuan Guaman 2017. Pindaan yang dilaksanakan kerajaan tersebut telah berkuat kuasa pada 1 Disember lalu.  

Sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan untuk mentransformasikan perkhidmatan bantuan guamannya, Akta Bantuan Guaman telah pun dipinda bagi mencapai maksud tersebut. Antara pindaan yang dilakukan adalah menyemak semula ujian kemampuan pelanggan Jabatan Bantuan Guaman dengan memperkenalkan pendekatan lebih praktikal dalam menentukan kelayakan bantuan guaman pelanggan. Pindaan ini juga menyelaraskan pemberian bantuan guaman kepada mereka berpendapatan rendah yang merupakan penerima bantuan khas kerajaan seperti BR1M kerana khidmat bantuan guaman ini diberikan kepada warganegara Malaysia sahaja.

Selain itu, suatu perkara yang menarik perhatian saya ialah pindaan ini juga memperkenalkan khidmat pendamping guaman. Ia merupakan suatu khidmat baharu di mana kanak-kanak mangsa jenayah seksual mendapat khidmat seorang pendamping guaman yang akan membantu mereka dalam isu-isu perundangan dan prosiding mahkamah. Khidmat ini terbuka kepada semua kanak-kanak yang merupakan mangsa kesalahan jenayah seksual.

Antara fungsi pendamping guaman adalah untuk menasihati penjaga mangsa kanak-kanak mengenai perkara undang-undang dan untuk menemani kanak-kanak dalam prosiding mahkamah dan, dengan kebenaran mahkamah, untuk bercakap bagi pihak kanak-kanak tersebut. Pendamping guaman akan berupaya melindungi kepentingan undang-undang kanak-kanak dan bertindak sebagai penenang kanak-kanak tersebut terutamanya semasa prosiding mahkamah.

Walaupun terdapat beberapa aspek penting di dalam pindaan undang-undang tersebut  dalam kolum ini saya hanya akan menumpukan berbicara mengenai khidmat pendamping guaman yang merupakan suatu inovasi baru yang diperkenal melalui pindaan undang-undang tersebut.

Khidmat baharu yang diperkenal melalui pindaan undang-undang tersebut ialah khidmat ‘pendamping guaman’. Inisiatif yang dipelopori Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said ini sangat berinovasi kerana ia dapat memberikan peluang kepada kanak-kanak dan keluarga kanak-kanak yang menjadi mangsa kepada suatu perlakuan jenayah.

Sudah pasti mangsa jenayah menghadapi trauma apatah lagi sekiranya mereka ialah kanak-kanak. Ia juga sejajar dengan usaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang pada ketika ini sedang mengusahakan untuk melantik peguam bagi pihak kanak-kanak yang terlibat dalam prosiding mahkamah. Walaupun mungkin terdapat pertindanan khidmat yang bakal diberikan, adalah amat penting bagi kedua badan kerajaan ini menyelaraskan supaya hasratnya dapat dinikmati rakyat.

Seperkara lagi yang mungkin juga perlu diteliti ialah keperluan bagi kanak-kanak mangsa jenayah ini mendapat khidmat psikologi dari pakar bertauliah kerana rata-rata kejadian buruk yang menghambat minda kanak-kanak mangsa jenayah perlu ‘diubati’ dengan pendekatan psikologi. Undang-undang mungkin hanya akan bertindak mempertahankan hak dan kepentingan tetapi tidak merawat perasaan trauma dan kesengsaraan dihadapi kanak-kanak tersebut.

Pada pandangan saya sekiranya perkhidmatan pendamping guaman ini dapat dilaksanakan ia akan memberi peluang kepada kanak-kanak mangsa jenayah seksual dan keluarga mereka untuk mendapat khidmat nasihat guaman serta representasi yang adil di mahkamah. Pendamping guaman berperanan memberikan semua input perundangan kepada kanak-kanak mangsa jenayah seksual dan keluarga mereka.

Dengan cara ini mangsa kanak-kanak dan keluarganya mendapat option yang jelas dalam merangka tindakan yang perlu diambil dari segi undang-undang. Malah mereka juga tidak akan gusar berada dalam prosiding mahkamah kerana akan diwakili oleh pendamping guaman tersebut yang berperanan memberi nasihat dan panduan kepada mangsa jenayah seksual dan keluarga mereka

Adalah diharapkan dengan wujudnya khidmat pendamping guaman ini rakyat Malaysia mendapat satu lagi khidmat yang baik pada kadar minimum dan kebajikan rakyat terbela. Inilah antara manifestasi keutamaan yang diberikan kerajaan kepada rakyat khususnya bagi golongan B40 yang tidak berkemampuan membayar khidmat yang mahal.

Mudah-mudahan khidmat pendamping guaman ini dapat mengurangkan kesan trauma dilalui kanak-kanak mangsa jenayah seksual dan keluarga mereka. Malah akan berupaya mencorakkan masa depan mereka pasca trauma dengan mengambil apa-apa tindakan yang perlu selepas itu. Ia bukan sahaja memberi manfaat kepada kanak-kanak tersebut, tetapi juga memastikan keadilan dapat dinikmati semua pihak.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SUDAH lazim kita mendengar semua Presiden Amerika Syarikat bertindak dalam banyak perkara tidak memihak kepada Islam dan terbaharu perisytiharan unilateral Presiden Trump ibu negara bagi Israel di Baitulmaqdis yang memarakkan kemarahan umat Islam seluruh dunia.
  • KESUCIAN makanan amat dititikberatkan masyarakat Islam. Isu ini amatlah sensitif kepada masyarakat Islam terutamanya di Malaysia.
  • PENDERAAN yang dilakukan oleh suami ke atas isteri atau sebaliknya, menggugat kebahagiaan dan keharmonian hidup berkeluarga. Rumah tangga yang sepatutnya menjadi tempat mencari kebahagiaan dan mendapatkan kasih sayang bagi pasangan bertukar menjadi sangkar berbahaya dan menakutkan.
  • KEMATIAN bukanlah suatu yang ditunggu-tunggu kebanyakan manusia. Namun mati itu pasti. Cuma kita sebagai hamba-Nya tidak tahu bilakah malaikat maut akan datang untuk mencabut nyawa.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.