PELBAGAI pihak telah menyuarakan pandangan mereka terhadap Himpunan 812 yang akan diadakan sempena penolakan kerajaan untuk menandatangani ICERD.

ICERD sudah jelas melanggar Perlembagaan Persekutuan. Jemaah Menteri dan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri telah bersetuju menolak ICERD kerana bercanggah Perlembagaan Persekutuan. Malah pelbagai parti politik di pihak kerajaan dan pembangkang juga telah menzahirkan penolakan mereka untuk menandatangani ICERD.

Tetapi musykilnya kenapa masih ada menteri yang berdolak-dalik mencari helah masih mahu mempertahankan ratifikasi ICERD? Kenapa media khususnya portal dan berbahasa Inggeris masih tidak mahu akur dengan keputusan kerajaan? Kenapa NGO liberal masih berfalasi menyatakan Perlembagaan Persekutuan masih tidak akan tergugat dengan penandatangan ICERD?

Hujahan yang mengatakan dengan menandatangani ICERD sahaja akan menghakis Perlembagaan Persekutuan adalah dalihan yang sangat dangkal. Memang betul dengan hanya tandatangan ICERD Perlembagaan Persekutuan masih akan kekal. Tetapi apabila kita tandatangan dan ratifikasi maka kita terikat dengan apa yang kita tandatangan.

Reservasi memang boleh dibuat tetapi reservasi itu boleh ditolak oleh Jawatankuasa Pakar ICERD dan dua pertiga anggota ICERD. Sebagai contoh India yang membuat reservasi berkaitan dengan sistem kasta yang diamalkan di negara tersebut telah ditolak reservasi itu.

Gugatan terhadap Perlembagaan Persekutuan bukan berlaku secara automatik tetapi kesannya akan dirasai oleh negara sama ada kini ataupun pada masa akan datang.

Akhirnya Malaysia boleh diadu ke International Court of Justice (ICJ) di The Hague Belanda kerana kegagalan mematuhi ICERD jika Malaysia mengambil pendirian meratifikasi. Tindakan lain juga boleh diambil terhadap Malaysia, tekanan boleh diberikan kepada Malaysia jika gagal melaksanakan ICERD setelah ratifikasi. Apakah Malaysia mampu menghadapi tindakan dan tekanan ini? Sudah pasti jawapannya tidak kerana Malaysia masih bergantung kepada kuasa luar.

Seperkara lagi, ada yang mengatakan ratifikasi tidak akan menjejaskan tindakan afirmatif kepada orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak kerana kebenaran dalam Artikel 1(4) ICERD. Ini tidak benar kerana ICERD mensyaratkan tindakan afirmatif tersebut mestilah tidak mengadakan hak berasingan kepada dua kumpulan berbeza dan akan dimansuhkan bila tujuan keistimewaan dicapai.

Perlembagaan Persekutuan memang memberikan hak berbeza antara orang Islam dan bukan Islam, antara Melayu/Bumiputera dan bukan Bumiputera. Sebagai contoh undang-undang keluarga Islam yang berlainan bagi orang Islam dan bukan Islam, larangan pemilikan tanah tertentu kepada golongan tertentu seperti bukan anak Sabah tidak boleh memiliki tanah tertentu di Sabah. Hal ini juga berlaku di beberapa negeri lain seperti Kelantan, Sarawak. Malah tanah adat di Negeri Sembilan hanya boleh dimiliki oleh wanita tempatan sahaja.

Kesemua hak tersebut tidak dinyatakan tempohnya. Ia dilaksana selagi tiada pindaan kepada undang-undang. Oleh itu syarat dalam Artikel 1(4) ICERD tersebut tidak boleh dinikmati oleh Malaysia. Kesemuanya perlu dipinda jika ICERD diratifikasi.

Oleh itu saya cabar bagi golongan yang masih mendakwa ICERD membenarkan tindakan afirmatif seperti di atas agar dapatkan pengesahan daripada Jawatankuasa ICERD seramai 18 orang itu bahawa Malaysia masih boleh melaksanakan tindakan afirmatif di atas meskipun meratifikasi ICERD. Baru tuntas kedudukannya jika ada jaminan tersebut. Bukan hanya mendakwa kosong.

Beranikah golongan pro-ICERD ini mendapatkan jaminan tersebut?

Katakan tidak kepada ICERD! ICERD memusnahkan jati diri negara, ICERD menodai kerangka Perlembagaan Persekutuan yang sudah diterima rakyat sekian lama, ICERD meminggirkan norma lazim negara yang sudah sebati di dalam jiwa rakyat Malaysia.

Tanpa ICERD pun tiada diskriminasi kaum di Malaysia, tanpa ICERD pun orang bukan Melayu diberi hak membina kekayaan dan mengumpul harta, tanpa ICERD pun rakyat berbilang agama bebas menganut dan mengamalkan agama mereka, tanpa ICERD pun orang bukan Melayu bersama-sama orang Melayu boleh berkongsi kuasa memerintah Malaysia.

Penolakan ICERD walaupun telah diumum kerajaan masih belum lagi tuntas pendiriannya. Oleh itu suatu himpunan aman dijadualkan pada 8 Disember 2018 ini bagi menzahirkan rasa kesyukuran penolakan ICERD oleh kerajaan dan mendesak agar pihak kerajaan terus berpegang kepada keputusan tersebut. Perjuangan ini sangat penting bagi masa depan negara bagi meneruskan kesinambungan penolakan kerajaan selama ini.