BEBERAPA tahun lepas saya telah diminta untuk ke Eropah bagi menyelesaikan suatu kes pertindanan bidang kuasa antara mahkamah di Malaysia dan sebuah negara di Eropah.

Kes ini amat kompleks dan menarik dari sudut undang-undangnya. Namun rencana pada kali ini tidak akan membincangkan isu pertindanan bidang kuasa tersebut, tetapi saya ingin melontarkan sedikit pandangan pemerhatian saya di Jerman khususnya Berlin.

Saya berkesempatan melawat Berlin walaupun pada mulanya ia tidak termasuk dalam rangka kerja saya. Tidak boleh tidak apabila ke Berlin seorang pelawat mestilah melihat Tembok Berlin yang begitu masyhur suatu ketika dahulu.

Ia simbol pemisahan antara Jerman Barat dan Jerman Timur ketika itu. Ia juga lambang penindasan terhadap masyarakat Jerman Timur yang tidak menikmati kelunakan hidup sebagaimana rakan mereka di Jerman Barat. Namun tembok Berlin ini telah diruntuhkan hampir tiga dasawarsa lepas bagi penyatuan kepada negara Jerman.

Kini Jerman tidak dikenali sebagai Jerman Barat dan Jerman Timur lagi tetapi sebagai sebuah negara iaitu Republik Jerman.

Daripada pemerhatian saya di sana khususnya pelbagai muzium yang mencoret sejarah silam Jerman, saya dapati ketika itu perasaan membuak-buak untuk kebebasan amatlah ketara sehingga ada yang sanggup melepasi sempadan secara rahsia dengan bersembunyi di dalam peralatan muzik. Inilah nilai kebebasan yang mereka ingin kecapi.

Masyarakat Jerman kini bersatu meninggalkan trauma sejarah silam dan bergerak ke hadapan bagi membangun negara. Ideologi yang berbeza pada awalnya sukar menyatukan masyarakat Jerman kini sudah menjadi norma dan kesejagatan Jerman menjadi suatu kuasa yang kuat di dunia. Jerman kini tidak lagi menoleh ke belakang tetapi mengatur langkah memacu kegemilangan negara khususnya dan Eropah amnya.

Kesatuan rakyat Jerman menjadi ramuan kepada kestabilan dan kemajuan negara Jerman yang bersatu. Mereka tidak mahu lagi dikenali dari Timur atau Barat tetapi hanya dari Jerman.

Timbul di fikiran saya pula bagaimana keadaannya dengan tembok besar yang memisah rakyat Palestin dibina rejim Zionis. Penjara terbesar di dunia tersebut masih utuh malah dari semasa ke semasa diperkukuh oleh rejim Zionis dengan sokongan dan dukungan Amerika Syarikat.  

Berbeza dengan Tembok Berlin, tembok pemisah di Palestin gagal diruntuhkan kerana ketidaksepakatan umat Islam sendiri. Umat Islam juga tidak berbalik kepada ajaran al-Quran dan al-Sunnah dalam menangani isu Palestin. Sampai bilakah saudara kita di Palestin mesti menghadapi dugaan perit ini tanpa kepedulian masyarakat antarabangsa?.

Keangkuhan rejim Zionis tiada tolok bandingnya. Namun umat Islam masih alpa tidak mahu bersatu mempertahankan tempat suci ketiga Islam ini. Kerakusan rejim Zionis menindas umat Islam Palestin tidak dapat dibayangkan. Kesengsaraan dan penderitaan mereka hanya mereka yang merasainya.

Walaupun pelbagai misi bantuan dari seluruh dunia termasuk dari Malaysia namun ia masih belum dapat membebaskan bumi anbia tersebut dari belenggu Zionis. Persoalannya sampai bila mereka harus menderita? Pembunuhan di Shabra dan Shatila kini langsung tidak diingati masyarakat sarwajagat.

Sementelah memikirkan isu di Palestin saya juga terkenang bagaimana pula keadaannya di Malaysia. Walaupun analogi fizikal tidak dapat dibuat kerana tiada tembok pemisah dibina di Malaysia, namun tembok yang lebih kukuh sebenarnya sudah pun dipasakkan di tanah air. Ideologi politik dan perbezaan fahaman politik amat ketara di Malaysia. Ia menjadi tembok yang lebih kukuh memisahkan rakyat Malaysia berbanding dengan Tembok Berlin ataupun tembok dibina rejim Zionis di Palestin.  

Kita dilihat dalam apa jua keadaan neraca yang digunakan oleh rakyat Malaysia dalam menilai sesuatu isu itu adalah neraca politik kepartian bukan neraca kebenaran. Parameter politik kepartian ini begitu berjaya melakar topografi pemikiran rakyat sehingga ramai yang sanggup bermusuhan sesama sendiri dalam isu remeh-temeh.

Malah pasca PRU14 perpecahan umat lebih ketara lagi, ideologi politik memisahkan rakyat sama ada dari segi pemikiran, pembangunan ataupun penyertaan dalam pelbagai bidang. Sirna Tahun Baharu Hijrah 1440 diharap akan dapat memberi harapan kepada semua untuk bersatu padu dan meraikan kejayaan negara.

Kerajaan juga seharusnya memainkan peranan jitu dengan inisiatif transformasi yang lebih berdaya saing di samping tidak mengabaikan jati diri dan keluhuran Perlembagaan Persekutuan.

Seharusnya umat Islam bernaung di bawah payung negara Yang di-Pertuan Agong demi kesatuan umah dan kecemerlangan serta kelestarian negara.

Persoalannya sampai bila masyarakat Islam Malaysia mahu berpecah belah atas isu politik kepartian. Tidak bolehkah dalam isu agama masyarakat Islam bersatu?

Lupakah kita kepada dua ayat al-Quran yang bermaksud seperti di bawah:

Sesungguhnya agama Islam inilah agama kamu, agama yang satu asas pokoknya, dan Akulah Tuhan kamu; maka sembahlah kamu akan Aku. Kebanyakan manusia masih berselisihan dan berpecah-belah dalam urusan agama mereka; mereka semuanya akan kembali kepada Kami. (Surah Al-Anbiyaa, ayat 92-93)

Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali ALLAH (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat ALLAH kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), lalu ALLAH menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat ALLAH itu orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliah), lalu ALLAH selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah ALLAH menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya. (Surah Al-‘Imran, ayat 103)

Moga bibit perpaduan dapat disemai dan tembok pemisah ini dapat diruntuhkan pada tahun 1440 Hijrah  ini.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar Presiden Persatuan Peguam Peguam Muslim Malaysia (PPMM)