SEJAK, mungkin sebulan atau kurang lalu, banyak diperkatakan secara khusus tentang beberapa tokoh pemimpin Umno yang sama ada pertahan jawatan atau sahkan diri bertanding jawatan naib presiden.

Terlalu banyak sangat diperkatakan tentang mereka ini sehinggakan umum amnya dan orang Umno sendiri khususnya terlupa masih ada lagi beberapa nama yang cukup layak, berkemampuan dan memiliki potensi besar pada masa depan.

Bagi pemilihan kali ini, Umno yang begitu tertekan dengan kritik tentang kerelevanan Umno mengambil langkah bijak apabila menukar sistem pemilihan tradisional kepada sistem pemilihan baru.     

Kini, walaupun amalan berkempen secara terbuka telah dimansuhkan, tetapi amalan mempromosi diri sama ada secara langsung atau menggunakan psikologi undur masih berjalan. Oleh itu, reformasi pemilihan yang dibuat oleh Umno untuk memperkukuhkan parti, mengembalikan keyakinan orang Melayu dan muncul semula sebuah parti dihormati umum agak tidak lengkap apabila terdapat beberapa pemimpin yang sepatutnya turut bertanding tetapi tidak menawarkan diri.

Antara pemimpin bersikap profil rendah yang dapat kita kenal pasti ialah MB Perak Dr Zambry Abdul Kadir. Umum sedia mengetahui keadaan mengelilingi pelantikan Zambry selaku MB Perak pada 2009. Berdepan dengan pelbagai tekanan daripada pembangkang, penyokong dan mereka yang bersimpati terhadap tragedi yang berlaku ke atas kerajaan Pakatan Rakyat, ramai menyangka pelantikan Zambry adalah tradisional.

Begitu pun, beliau berjaya memperlihatkan kekuatan mental luar biasa sama ada di luar mahupun di dalam Dewan Negeri yang hampir separuh keahliannya adalah pembangkang yang telah hilang kerajaan negeri.

Pembangkang mempermodalkan dakwaan kononnya Perak bakal muflis dalam tempoh enam bulan kerana selain ketidakupayaan Zambry yang tiada pengalaman sebagai MB, pelabur asing pula akan hilang keyakinan berasaskan krisis politik ketika itu.

Namun isu ini akhirnya berkubur tanpa nisan apabila di bawah MB baru ini, Perak catat pertumbuhan KDNK sebanyak 7.1 peratus. Dalam perkataan lain mengatasi pertumbuhan nasional sebanyak 5.6 peratus.

Jika diukur bagaimana sekalipun, ia adalah satu kejayaan bersifat fenomenal. Bertolak kepada suasana ekonomi global tidak begitu sihat dan berdasarkan  angka pertumbuhan tahun-tahun sebelumnya, ia beri isyarat betapa kepimpinan Perak sedang memasuki era baru. Dalam kata lain, bagi Zambry kerja didulukan.

Zambry tidak bercakap tentang ekonomi dan kehidupan rakyat ala-imaginasi kerusi malas, tetapi turun padang, bergaul dan makan apa yang rakyat makan dalam keadaan paling tidak formal dalam hampir kesemua majlis beliau bersama rakyat. Hal seperti inilah yang menyebabkan ada pemerhati politik melihat imej Tun Razak dalam diri  Zambry.  

Mungkin ada kebenarannya. Bezanya Allahyarham Tun Razak yang juga terkenal dengan sifat ‘workhorse’ tidak ke peringkat hingga tidur berbantalkan tangan di koridor masjid.

Ada juga cakap-cakap mengatakan Zambry berbuat demikian kerana mahu melihat dirinya sebagai ‘indispensible’ atau tidak boleh digantikan dengan orang lain. Tetapi ini pendapat meleset kerana ada usaha mahu membawa beliau ke Pusat. Ini kerana setelah dikaji dan dihalusi tidak mungkin ada tokoh lain dapat menentang arus pembangkang Perak yang sedang berjuang hidup mati untuk mendapatkan kembali kuasa seperti pada PRU12.

Dalam keadaan keyakinan tinggi pembangkang dan disokong pula oleh media mereka, tentulah sukar untuk sesiapa saja dalam BN membawa pulang kemenangan landslide di Perak. Malah untuk menang pun ada yang melihatnya sebagai 50-50. Namun, Zambry catat kemenangan bergaya 31-28 baiki imej kalah  28-31 pada 2008.

Begitu pun, di sebalik semua ini dan untuk rekod, Zambry memilih tidak bertanding sama ada MT, ketua pergerakan Pemuda ataupun naib presiden. Dia berkorban untuk rakan-rakan dan kestabilan parti. Ini menghalangnya dengan sendiri merebut peluang jadi pemimpin pelapis. Peluangnya bertanding jawatan lebih tinggi seperti naib presiden tiga tahun lagi lebih terhalang jika presiden Umno tidak melantiknya menganggotai MT. Ini tercatat dalam perlembagaan iaitu calon MT saja layak bertanding naib presiden.

Sebenarnya soal sama ada beliau berkeinginan memegang jawatan lebih tinggi dalam parti atau tidak, bukanlah persoalannya. Sekiranya seseorang itu terbukti memiliki kebolehan luar biasa dan  keintelektualan mantap, pucuk pimpinan Umno perlu mengenal pasti dan mengangkatnya. Tokoh-tokoh seperti ini, contohnya Zambry, perlu dipersiapkan sebagai pemimpin pelapis.