Misi dan objektif di Lahad Datu berjaya disempurnakan. Penceroboh ditumpaskan. Takziah untuk keluarga perwira kita yang terkorban.

Agak malang semua ini berlaku pada saat-saat negara akan menghadapi PRU ke-13. Mungkin sumpah angka 13 sudah pun menjelmakan wajah sinis dan kesan psikologi hasil peristiwa di Lahad Datu tempoh hari bakal menghantui rakyat kita buat selama-lamanya?

Bagi penduduk di Lahad Datu dan pantai timur Sabah, tidur mereka tidak lagi dibuai mimpi indah seperti sebelumnya. Perairan laut Sulu terlalu luas untuk diduga apatah lagi mahu dipastikan penceroboh tidak lagi dapat mendarat dan menyelinap masuk secara sistematik.

Tapi itu semua walau satu utopia, persoalan lebih mencemaskan rakyat Malaysia ialah pendedahan wujud dalang daripada kalangan kita yang mempelawa Sultan Jamalul Kiram III menuntut bumi Sabah semula. Ia macam cerita lama dalam bentuk baru.

Sebelum insiden yang membawa lapan perwira kita gugur “syahid”, media di Filipina mendedahkan wujud satu rancangan diatur dalang dari Malaysia yang memainkan peranan menghasut Sultan Sulu.

Penduduk Islam Mindanao tidak harus lupa peranan Malaysia secara tidak rasmi membantu mereka ketika berdepan askar-askar Filipina. Bukan saja wang ringgit malah askar yang cedera dibawa dan dirawat di negara ini. Bukannya kerajaan Filipina tak tahu tapi mereka pejam dua belah mata.

Beberapa media di Manila menamakan dalang di sebalik peristiwa Lahad Datu, namun seperti juga Laut Sulu yang luas terbentang, biar rakyat kita menggunakan “IQ” meneka siapa sebenarnya tokoh berkenaan.

Bagi pembaca akhbar Philippines Daily Inquirer, agensi berita Reuters dan sebagainya, mereka tentu sedar pihak pembangkang di Malaysia turut dikaitkan sebagai ”faktor luaran” bertanggungjawab menghasut waris kesultanan Sulu menuntut Sabah. Ini juga sedang disiasat pihak kita dan Filipina.

Justeru, siapakah dalang dan apakah motif dalang itu mengadakan rundingan dengan pihak penceroboh, lebih-lebih lagi PRU13 semakin dekat?

Ringkasnya kita tidak boleh mengelak daripada mempunyai Kitol dalam semua aspek hidup, lebih-lebih lagi dalam politik. Kuasa punya hal ada yang sanggup membuat tawaran pada pihak luar bagi melakukan sesuatu.

Dalam sejarah kita watak Sikitol sangatlah popular jauh mengatasi seniman agung Allahyarham P Ramlee sehingga nama Sikitol muncul dalam setiap aspek hidup bangsa Melayu.

Saya belum pernah mendengar ada orang menamakan anaknya dengan nama atau panggilan Sikitol kerana nama itu sinonim dengan nama mereka yang mempunyai hati sehitam dakwat.

Formula Kitol menyebabkan Melaka tewas di tangan Portugis dan mengakhiri Kesultanan Melayu Melaka untuk selama-lamanya.

Hari ini dan pada masa kini, rupa-rupanya Sikitol tidak mati pada jasad. Ia ada dalam jelmaan setiap kali orang-orang Melayu di negara ini menghadapi krisis. Kitol dalam bentuk baru dan lama tak ubah macam bebayang yang mengikuti kita ke mana saja.

Ia hadir ketika timbulnya krisis dan malah lazimnya pencetus krisis itu sendiri. Cuma, orang tidak menyedarinya.

Contohnya dulu waktu kita di ambang krisis kewangan akibat muslihat penyangak mata wang, George Soros, kita nampak dari jarak dekat peranan Sikitol. Hampir negara digadai jika tidak kerana kebijaksanaan Tun Dr Mahathir selaku Perdana Menteri menyelamatkannya.

Kita lihat bukan saja penceroboh berbangsa Sulu itu melatah, pembangkang pun ikut menari sama. Tian Chua, seorang pemimpin kanan PKR mendakwa “ia konspirasi terancang Umno untuk alih perhatian dan takut-takutkan rakyat” seperti disiar Keadilan Daily.

Soalnya mengapa Tian Chua begitu celupar sehingga tidak menggunakan akal dalam membuat kenyataan yang begini sensitif. Politik pun bukan semua perkara boleh dijadikan bulu tangkis untuk dipukul pemain.

Malaysia hanya satu buat orang Melayu berbanding bangsa lain. Apakah kita nak mengemis di bumi asing macam pelarian Rohingya ataupun Pati yang mengadu nasib di negara kita?   

Anwar Ibrahim sudah menafikan sebarang pembabitan, justeru tidak ada siapa berani bertanya soalan cepumas ini. PM dalam kenyataan ringkas tempoh hari berkata Malaysia dan Filipina sedang menyiasat kewujudan dalang dalam kes pencerobohan berdarah ini.

Harapan kita sebagai rakyat agar apa saja maklumat yang diperoleh haruslah dihebahkan kepada orang ramai. Biar rakyat menilainya.