KERJA menteri besar (MB) tidak terlepas daripada dipantau rakyat sebagaimana mereka melihat kuman menggunakan mikroskop. Lazimnya mereka dikait pelbagai tuduhan liar tidak berasas. Mereka dipersalahkan terlebih dulu sebelum muncul fakta kes.

Selain Selangor, MB mewakili negeri kecil juga tidak terkecuali. Gara-gara masalah membabitkan kolam renang di sukan Sukma tempoh hari, tempiasnya turut terkena MBnya, Azlan Man.

Setakat ini yang teruk kena belasah ialah Abdul Khalid Ibrahim. Ini kerana harapan tinggi rakyat terhadapnya selaku MB mentadbir sebuah negeri penting seperti Selangor. Ia kemudian mendorong Anwar Ibrahim mahukan jawatan itu cuma keputusan mahkamah tinggi yang tidak memihaknya.

Kes Abdul Khalid agak klasik kerana ia satu-satunya MB yang mewakili PKR. Berbanding Abdul Khalid, tokoh jauh lebih layak menjadi MB ialah Azmin Ali tetapi malangnya dipinggirkan.

Mantan MB Kelantan tak banyak buat sesuatu yang signifikan namun lebih bernasib baik daripada penggantinya. Ini kerana rakyat Kelantan mahukan ulama berbanding teknokrat. Bagi mereka, kemajuan tidak harus diukur dengan berapa tingginya bangunan dan sebagainya.

Keadaan di Terengganu lain pula. Isu Ahmad Said digantikan dengan Ahmad Razif Abdul Rahman, Adun Seberang Takir gara-gara prestasi BN dalam PRU13. Jika bukan kerana dua kerusi memihak BN, hari ini Paa sudah pun kembali memerintah.

Kedudukan di Pahang dan Negeri Sembilan terus menarik perhatian kerana sebelumnya terdapat spekulasi kedua-dua MB itu bakal diganti. Melaka pula, sejak Idris Harun dilantik ke jawatan Ketua Menteri menggantikan Ali Rustam tidak ada masalah.

Sedang semua negeri dibayangi pelbagai masalah tiga MB yang secara relatifnya masih muda menjadi perhatian umum. Yang dimaksudkan ialah Mukhriz Mahathir (Kedah), Khaled Nordin (Johor) dan Dr Zambry Abd Kadir (Perak).

Khaled baru terbabit dalam kontroversi apabila kerajaan negeri meluluskan rang undang-undang Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor (LPHJ). Ia memberi kuasa Sultan Johor dalam hal berhubung perumahan dan tanah di negeri itu. Namun Majlis DiRaja Johor dalam kenyataan menyangkal Tuanku akan campur tangan dalam hal ehwal pentadbiran seperti digembar-gemburkan media pembangkang.  

Khaled dilihat mempunyai sebab menyokong penglibatan Sultan Johor terutama dalam isu pemilikan hartanah dan rumah rakyat. Selama ini orang asing selain membolot kekayaan di Johor pada masa sama menjadikan negeri ini sebahagian daripada padang permainan.

Andaian jika golongan pegawai kanan boleh dibeli kita yakin dengan kemasukan pihak istana, keadilan dapat ditegakkan. Khaled mengambil pendekatan pro aktif dan bukannya membodek Tuanku. Reformasi yang bakal berlaku di negeri itu akan memanfaatkan rakyat Johor.

Di Kedah, kedudukan Mukhriz jauh lebih selamat. Dia diterima baik Umno, Pas mahupun rakyat atas pagar. Kerana faktor Mukhrizlah maka dalam PRU13, BN Kedah kembali memerintah.

Laluan Dr Zambry tidak seperti dirintis Mukhriz kerana tokoh ini sentiasa dibayangi krisis kejatuhan kerajaan PR Perak yang berusia 11 bulan pada 2009.

Sejak awal pentadbirannya, tiada kata-kata baik kedengaran. Ia dituduh terlibat menjatuhkan kerajaan PR secara tidak demokratik. Dalam sidang Dun Perak pun ada wakil DAP secara terbuka menyebut “kerajaan haram... rampasan kuasa.”

Sejak awal lagi, bukanlah kerja mudah menarik semula sokongan pengundi Melayu serta mereka yang di atas pagar. Sebagai pemimpin beliau tidak terIepas daripada dikritik. Isu terbaru mengenai Dr Zambry dituduh hilang masa PRK Teluk Intan manakala kelopongan itu terpaksa diisi tokoh-tokoh lain.

Yang mengkritiknya terlupa menjelang hari pembuangan undi pada 31 Mei, Almarhum Sultan Azlan mangkat. Beliau berulang alik dari Ipoh ke KL sebelum turun ke Teluk Intan. Selesai majlis tahlil di Istana Bukit Chandan dan sampai saja di Teluk Intan, orang lain sudah diulit mimpi.  

Setakat ini tiga MB ini dikenal pasti sebagai pemimpin harapan rakyat atau pemimpin masa depan. Mereka tidak akan kekal di sini selamanya kerana tugas ini bersifat sementara menunggu ditarik pula ke pusat.

Mereka tak ubah seperti putera mahkota yang dipersiapkan supaya suatu masa nanti bila berlaku peralihan kuasa ia berjalan dengan baik dan terurus.

Sama ada mereka berjaya melalui dugaan politik, ia adalah takdir ketentuan Ilahi. Mereka hanya merancang tetapi di tangan rakyatlah sama ada masa depan mereka cerah ataupun sebaliknya.