Ketika kebanyakan ahli MT Umno umum keputusan pertahankan kedudukan mereka, MB Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah mengambil pendirian sebaliknya.

Perak sejak 30 tahun kebelakangan ini gagal meletakkan calon sebagai tokoh pelapis di peringkat pusat. Boleh dikatakan kebanyakan yang bertanding, sama ada Naib Presiden atau sebagainya tewas dengan mengejut.

Bagaimanapun di kalangan Wanita Umno, Rafidah Aziz berjaya meletakkan diri sebagai tokoh tersohor. Anak kelahiran Kuala Kangsar ini dikait dengan imej iron lady. Beliau kemudian diikuti Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang dinobat sebagai Ketua Pergerakan Umno pertama dari Perak. Zahid juga mencipta rekod apabila dipilih Naib Presiden Umno setelah kegagalan bekas MB Ramli Ngah Talib.

Begitu pun, tanpa menyentuh kedudukan dalam parti, tokoh Umno Perak terus diberi kepercayaan memikul jawatan Kabinet penting. Zahid dilantik Menteri di Jabatan Perdana Menteri oleh mantan PM, Pak Lah, turut disenaraikan dan dikekalkan ialah Datuk Seri Nazri Aziz dan Husni dilantik sebagai Menteri Kewangan Kedua merangkap Bendahari Umno.

Hari ini Zahid menjadi salah seorang menteri kanan. Dari kementerian pertahanan,  Najib  merasakan tugasnya di KDN lebih diperlukan. Nazri pula ibarat supersub dalam pasukan bola sepak yang boleh menyumbang secara berkesan dalam apa sahaja posisi.  Oleh itu tidak hairanlah sekiranya beliau dipindahkan dari JPM ke portfolio pelancongan – satu-satunya sektor yang menghasilkan sumbangan pendapatan dan tukaran wang asing terbesar negara.

Bagi ahli-ahli Pergerakan Pemuda Umno di Perak, Zahid dan Nazri merupakan mentor yang berjaya meletakkan batu asas dan kini bertindak sebagai penyuluh laluan mereka.  Harapan agar bakal lahir seorang lagi Naib Ketua karismatik dari Perak seperti bunyi mercun di bulan Syawal— dah semakin sah. Dengan disokong 24 bahagian, Pemuda Umno negeri mengenal pasti seorang tokoh muda yang menjanjikan reformasi di peringkat Pusat. Percubaan Ketua Pergerakan Pemuda Umno negeri Khairul
Azuan Harun menawar diri bertanding Naib Ketua dilihat kena pada masa dan tempat.

Nampaknya, dari segi ini, Perak dilihat telah pun memasang strategi lebih matang. Ketika rebutan berlaku di negeri lain, Umno Perak mengambil laluan berlainan. Husni, misalnya, walaupun senior dan cukup berpeluang berkorban dengan tidak bertanding kerana mahu memberi laluan pada tokoh-tokoh jauh lebih muda.

Kita dapati Husni “walk the talk” atau secara falsafahnya tidak menanam tebu di tepi bibir dan jauh dari mementingkan diri.

Tidak mustahil, contoh ini dimulakan oleh Dr Zambry sendiri. Dengan mengambil pendekatan tidak bertanding, Dr Zambry menyerahkan nasib serta masa depan politiknya pada pucuk pimpinan serta ahli-ahli Umno. Secara relatif beliau masih muda serta mempunyai masa depan jauh lebih baik.

Terlihat pendekatan Dr Zambry bukan sahaja membawa mesej baru untuk para MB dan KM yang memasang cita-cita mahu bertanding, sekali gus meramaikan calon untuk kerusi MT, tetapi ia seperti satu ‘wake-up call’ yang mengisyaratkan satu mental set baru dalam perlumbaan merebut kerusi itu.

Mungkin Dr Zambry selaku seorang yang berpendidikan tinggi dalam disiplin politik dan sebagai orang yang agak lama juga berkecimpung dalam arus perdana politik  menyedari risiko pertandingan - perpaduan ahli parti boleh pecah-belah.  

Sejarah membuktikan keutuhan ini acap kali tergugat ketika berlakunya pertandingan sehingga kekuatan parti yang satu ketika dulu menjadi sinonim kepada perpaduan Melayu, disamakan dengan tonggak politik Malaysia dan begitu disegani di seluruh dunia bertamadun, kini kian terhakis dan jadi bahan momokan.

Jika kenyataan dan tindakan Dr Zambry dan Husni dimengerti sebagai wake-up call kepada pemimpin Umno lain, maka ia tidak boleh dianggap sebagai satu eksperimen. Menerajui kepimpinan negeri Darul Ridwan yang dirundung  pelbagai kekeruhan politik yang mengancam kewujudan BN dan kepercayaan rakyat terhadap Umno itu sendiri oleh orang Melayu dan umum, Dr Zambry berjaya sedikit demi sedikit mengembalikan kekuatan Umno-BN yang telah hampir pudar sehingga berjaya memenangi PRU13 walaupun ramalan serta kebarangkalian untuk menang adalah amat tipis. Syabas.