Bila memikirkan perihal politik Sabah, terlintas juga di minda seolah-olah ia terkena sumpah ‘aki’ yang menjaga Gunung Kinabalu (‘aki’ dalam bahasa Kadazandusun bermaksud nenek moyang dan ‘nabalu’ bermaksud gunung). Sebaik sahaja negeri yang namanya dikatakan berasal dari ‘pisang Saba’, berpindah tangan kepada British, rakyat tidak lagi menikmati kemakmuran seperti sepatutnya.

Jika adapun sagu hati yang dijadikan sandaran maka ia adalah dalam bentuk Donald Stephens (Tun Muhd Fuad) bagi masyarakat Kadazan dan Datu Mustapha Datu Harun (Tun) bagi masyarakat Melayu dan lain-lainnya.

Itu sebelum Malaysia. Selepas Sabah menyertai Malaysia, senario kepimpinan politik tertinggi Sabah tidak pernah mengenali keadaan rukun dan damai. Rekod tercipta apabila Ketua Menteri Sabah saling bertukar ganti macam orang bertukar baju. Begitu juga dengan Kerajaan Negeri sehinggalah akhirnya Umno mengambil keputusan untuk menghadirkan diri di Negeri Bawah Bayu itu.

Sejak itu, sumpah aki Gunung Kinabalu seperti berakhir sudah dan Sabah menjadi setenang Tasik Buyut, di Marudu, Kudat. Menyentuh tentang Kudat, saya teringat tokoh paling instrumental dalam membawa Umno ke Sabah dan seterusnya menjadi batu loncatan kepada kedamaian politik yang dinikmati Sabah masa kini. Beliau tidak lain dan tidak bukan daripada Tun Datuk Mustapha.

Selepas Tun Mustapha, tokoh berasal dari Usno yang benar-benar dapat setidak-tidaknya menyamai ‘political dynamism’ sebagaimana dipamerkan beliau boleh dikira dengan jari. Bagaimanapun, setelah sekian lama masa berlalu, ketandusan itu kini sedang mengalami perubahan.

Tokoh Sabah yang instrumental dalam memberikan warna baru kepada landskap kepimpinan politik Sabah zaman lebih moden ini ialah Datuk Seri Shafie Apdal, Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah.

Umum tentu masih belum lupa kemenangannya sebagai salah seorang Naib Presiden Umno dalam Perhimpunan Agong 2009. Shafie merupakan tokoh pertama dari Sabah yang berjaya naik mendadak dalam Umno kerana sentimen kepartian lebih memberi keutamaan kepada orang-orang Semenanjung memegang pelbagai jawatan penting.

Bukanlah hendak mendahului masa, tapi jika Umno mahu mewujudkan jawatan TPM bagi kuota Sabah dan Sarawak, Shafielah yang dilihat berpotensi. Atas sebab menjadi antara tiga Naib Presiden Umno yang dipilih, Shafie adalah tokoh nasional, bukan negeri atau tokoh negeri yang diberikan jawatan pusat disebabkan memenuhi kuota.

Shafie melalui hidup agak tenang sejak memegang jawatan Naib Presiden Umno, tapi sekali-sekala terdengar namanya dikait sebagai bakal Ketua Menteri Sabah. Begitu pun, sebagaimana kebanyakan bakal pemimpin nasional sedang meningkat naik sering cuba dicantas dengan penciptaan skandal favourite, iaitu skandal seks, oleh pihak tertentu.

Awal bulan lalu, pada 13 Mac satu laporan polis dibuat seorang lelaki bernama Noor Azman mendakwa Shafie memberi RM1.5 juta kepada selebriti, Zahida Rafik. Pembangkang jadikan isu itu modal dengan pelbagai andaian dan mahu jawapan Shafie “dari mana dia dapat wang itu”.

Sebetulnya Shafie adalah the rising star dalam pembikinan yang boleh dikatakan agak bersih dan sukar mengaitkannya dengan salah laku bersifat peribadi. Tapi isu seperti ini tentulah bakal jadi pemisah antara masa depannya dalam politik dan Umno sendiri.

Kini Shafie berdepan ujian politik paling getir. Penafiannya Ahad lalu walaupun berjaya menepis spektis umum, masih terlalu awal untuk meredakan keadaan, terutama apabila disemarakkan lagi oleh pelbagai media pembangkang.

Selain mahu menjadi kerajaan, pembangkang juga berminat untuk menjadi hakim. Dulu waktu kes ketua mereka disebut di mahkamah, awal-awal lagi mereka sudah buat keputusan ‘tak bersalah’. Kini dalam hal ini, walaupun kekuatan kes hanyalah tentang ada orang yang buat laporan polis, Shafie sudah pun dijatuhkan hukuman ‘bersalah’.

Nak tergelak juga melihat telatah pembangkang ini. Sepatutnya mereka besarkan lagi cerita itu dengan bayaran mungkin RM250 juta. Untuk mencantikkan lagi cerita sepatutnya pembangkang buat cerita kerajaan luluskan pinjaman sebanyak itu bagi tujuan tersebut.

Barangkali soal NFC adalah berbeza. Tapi bagi skandal seperti ini, Umno dan pemimpinnya sudah terlalu masak dan matang untuk ditakut-takutkan. Malah ia hanya akan membuatkan mereka jadi lebih kuat. Tidak mustahil apabila Shafie berjaya buktikan segala-galanya adalah tidak benar, dia akan menjadi lebih kuat dan naik lebih tinggi dalam persada politik negara.