"Di hari-hari penuh fitnah ini

Membela yang benar

Tak cukup hanya disimpan

Di dalam hati"
 
TULISAN di atas sebahagian petikan asal dari sebuah tulisan  Gunawan Mohamad, kolumnis majalah Tempo (Indonesia) mengenai fitnah dan perjuangan. Kata-katanya tajam selain penuh kiasan yang terselindung.

Saya mengutipnya bagi menggambarkan betapa fitnah yang sudah bermaharajalela kini menjadi sebahagian budaya kita - ia perlu diberi noktah. Sukar bagi rakyat membezakan antara fitnah dengan fakta. Ini yang dilalui Perdana Menteri, MB Perak Dr Zambry Abd Kadir dan ramai lagi.

Minggu ini genap setahun sejak selesai PRU13 yang mengukuhkan semula kedudukan Umno dan BN khusus di negeri Perak. Hasilnya ia menutup peluang pembangkang untuk berkokok semula. Tapi ini tidak bererti mereka akan berhenti kerana puak ini tidak kenal erti tewas.

Sebelum 5 Mei tahun lalu tidak ada tanda-tanda keputusan PRU13 akan memihak kepada Umno Perak. Lebih-lebih lagi ada pihak di Kuala Lumpur tidak menaruh sebarang harapan peluang Umno di sini.

Justeru terdengar suara sinis bahawa pemilihan Dr Zambry sebagai MB ke-11 merupakan satu kesilapan pihak Pusat. Mereka mendakwa selain tiada pengalaman, beliau belum cukup matang dan jauh sekali seorang tokoh senior.

Ini ditambah dengan spekulasi Dr Zambry bakal ditukar ke Pusat manakala tempatnya diisi tokoh baharu. Umum segera menganggap tokoh dimaksudkan ialah Zahid Hamidi.

Terdapat juga beberapa nama lain yang disebut-sebut seperti Menteri Kewangan II, Ahmad Husni Hanadzlah dan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Nazri Aziz.

Nyata situasi ini menimbulkan kebimbangan Umno. Ia kemudian mendorong Zahid yang juga waktu itu Menteri Pertahanan turun ke Perak.

Dalam pertemuan dengan ahli-ahli Umno, Zahid membawa berita baik bahawa Dr Zambry kekal di Dun Pangkor. Dengan lain erti beliau bakal kekal MB selepas pilihan raya.

Bagi kebanyakan orang tidak ada sebab Perak perlukan seorang MB baharu kerana tugas dilaksanakan Dr Zambry selama ini sangat baik.

Usaha menjatuhkan Dr Zambry diatur dengan begitu rapi beberapa tahun sebelum PRU13 lagi. Pembangkang mengguna pakai teori domino bahawa jika Dr Zambry jatuh maka ia bakal menyebabkan yang lain pun jatuh.

Dengan itu mudahlah mereka membentuk kerajaan tiga serangkai DAP, PKR dan Pas.

Dr Zambry sangat senang didekati. Corak kepimpinan dan gerak kerjanya menjelaskan segala-galanya. Rakyat menyukainya begitu juga pucuk pimpinan di Pusat.

Popularitinya berkait rapat sejak program turun padang diperkenalkan. Beliau turun ke setiap ceruk kampung. Sepanjang tempoh itu lebih 50 kampung Orang Asli dilawati.

Program ini menjadi buah mulut rakyat kerana jarang MB menziarahi rumah mereka sehingga ke dapur. Masa pula dua ke tiga hari serta memilih tidur di rumah orang kampung ataupun beranda masjid.       
       
Di sebalik populariti Dr Zambry dan program turun padangnya, ia sesuatu yang kurang disenangi pembangkang. Rakyat mula menjauhi program anjuran mereka. Anwar Ibrahim yang ditampilkan pun gagal menarik jumlah crowd yang besar.

Sebagai alternatif mereka mencipta pelbagai isu lapuk termasuk penggunaan elemen fitnah serta maki hamun. Dr Zambry dilabel hitam metalik oleh tokoh DAP. Lebih panas apabila tersebar berita Dr Zambry sudah berkahwin satu lagi serta memiliki banglo bernilai RM1 juta di Lumut.

Bila bercakap pasal program turun padang, ada seorang tokoh  di Solo, Indonesia, iaitu Jokowi yang mempunyai program dan corak kerja hampir sama.

Sebelum dipilih sebagai Datuk Bandar Solo,  beliau seorang usahawan. Selepas bergelar Gabenor Jakarta, Jokowi bakal ditabal rakyatnya sebagai presiden republik itu menggantikan Bambang Yudhiyono.

Sementara perjalanan Jokowi semakin mendekati kerusi presiden, perjalanan Dr Zambry pula masih jauh dan penuh berliku.

Sementara rakan-rakan lain mulai mengisi pelbagai ruang di peringkat tertinggi, Dr Zambry masih lagi tidak jemu-jemu dengan program turun padang menemui rakyat.

Hala tuju ini telah pun diteruskan menjelang PRU14 empat tahun lagi. Namun ini tidak bererti Perak adalah destinasi terakhir dalam karier politiknya.

Ia merupakan permulaan seperti dicipta oleh Jokowi di Solo sebelum ke Jakarta.