Kalau Taufan Sandy memilih Pantai Timur Semenanjung Malaysia dan bukannya New York, maka sudah tentu hari ini tidak ada siapa berminat bercakap mengenai Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13). Kelantan yang dikira rapuh dan terdedah kepada pukulan angin yang membawa hujan itu akan menyerah nasibnya kepada Kerajaan Pusat.

Taufan Sandy adalah fenomena alam berskala besar, tetapi ribut dalam politik Malaysia adalah sesuatu yang jauh lebih kecil, malah lebih kecil daripada ‘ribut dalam secawan teh’.

Dalam politik, perkara yang kecil-kecil biasanya merugikan pembangkang. Oleh itu adalah perkara biasa perkara kecil-kecil, yang kerap tidak relevan dengan politik mahupun perjalanan kerajaan diperbesar-besarkan.

Di Malaysia, kita mempunyai seorang tokoh yang kerjanya khusus memperbesarkan kisahkisah kecil. Maka bertungkus-lumuslah siang malam Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli bekerja membesarkan isu demi mempopularkan pembangkang.

Setakat ini Rafizi berjaya membawa perubahan di kawasan Parlimen Lembah Pantai yang suatu ketika dulu diwakili Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil. Sejak isu Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) yang membabitkan suaminya, Shahrizat berdepan pelbagai isu panas sehingga masa depannya dalam politik berdepan awan hitam. Kedudukan penyandang kerusi Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar tentu saja lebih cerah sebaik Shahrizat mengumumkan pengunduran dari jawatan menteri. Dalam lain perkataan, Rafizi berjaya bantu menguatkan pengaruh Nurul di situ menjelang PRU13.

Namun, di sebalik sorak-sorai mengenai Shahrizat, dalam kes NFC, Rafizi nyata kantoi apabila menteri berkenaan mengundur diri dengan meletakkan jawatan secara bermoral berbanding para pemimpin PKR yang dituduh tidak bermoral tapi enggan melepaskan jawatan.

Lebih manis apabila SPRM yang ambil masa berbulan menyiasat “membersihkannya” daripada sebarang pembabitan kes NFC.

Kini sudah ada pihak menganggap strategi Rafizi mula membawa kesan bertentangan apabila Shahrizat dilihat sebagai kian memperkukuhkan kedudukannya dalam parti dan juga dalam Wanita Umno.

Jangan terkejut sekiranya beliau dicalonkan, menang dan dilantik menjadi menteri semula.

Namun strategi 'pembunuhan watak', satu-satunya yang ada dan digunakan Rafizi tidak berakhir dengan Shahrizat, sasaran seterusnya ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz.

Hampir setiap rakyat Malaysia mengetahui Nazri tidak bermain politik dan tidak mempunyai cita-cita tinggi dalam politik tanah air.

Apatah lagi dalam liga cita-cita politik Anwar Ibrahim. Kalau beliau tamak dengan jawatan politik, beliau sudah tentu tidak mengundur diri daripada menjadi Ketua Pemuda Umno setelah jawatan itu dihidangkan kepadanya di atas dulang perak.

Namun Nazri tetap Nazri - melakukan apa yang perlu dilakukan sebagai seorang pemimpin Umno dan sebagai anggota Kabinet. Membantu sesiapa sahaja yang datang menemuinya sekadar mana ia dapat membantu, dan lebih kerap dari sebaliknya, Nazri akan menghuraikan apa yang dirasakannya benar dan lebih dari sekali bersetuju dengan cadangan pembangkang dalam Parlimen mengenai sesuatu isu.

Rafizi membuat pendedahan kononnya ada kaitan jutawan balak yang disiasat dalam kes RM40 juta didakwa memberi derma kepada Umno Sabah dengan anak Nazri. Konon anak Nazri memakai kereta mewah diberikan jutawan berkenaan.

Konon ada conflict of interest. Dalam keghairahan menjadi pak sibuk, Rafizi terlupa Nazri bukannya perdana menteri atau timbalan perdana menteri dan beliau juga bukannya tauke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah.

Apakah kepada minda Rafizi, Nazri boleh sahaja membuat satu panggilan telefon kepada Perdana Menteri atau kepada Ketua Pengarah SPRM dan meminta atau mengarah agar siasatan ke atas Michael Chia dihentikan serta-merta kerana anaknya telah dihadiahkan sebuah kereta.

Ini bukan sahaja merupakan minda yang dangkal dan tidak matang, tetapi berbahaya dan membawa elemen fitnah dan kerosakan. Apakah minda seperti ini kita mahukan mentadbir negara dalam era yang kononnya disebut sebagai ‘era baru’.

Dalam barisan pembangkang, Rafizi bukanlah keseorangan. Dia hanya mewarisi taktik sama yang digunakan oleh DAP dan Pas, tatkala hidungnya masih berhingus. Cuma kini, ia dibuat lebih rasmi dengan gelaran rasmi Pengarah Strategi, dan Rafizi, di atas sebab ketara, dipilih untuk mengisi jawatan tersebut.