Pasti sekali ucapan ‘selamat tinggal’, sama ada yang dilafazkan atau diterimanya, bukanlah sesuatu yang baru bagi Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor dan juga pemimpin Parti Keadilan Rakyat.

Kali pertama Khalid mengucapkan selamat tinggal ialah apabila beliau meninggalkan dunia perladangan, bidang yang membawa kerja korporatnya ke kemuncak. Mungkin tak ramai masih ingat Khalid adalah bekas bos gergasi konglomerat perdagangan antarabangsa dan antara tokoh terbabit dalam apa yang dikenali sebagai Dawn Raid, apabila dalam tempoh semalaman, Guthrie yang beribu pejabat di London dan dengan sahamnya diniagakan di London Stock Exchange berpindah tangan kepada Permodalan Malaysia Berhad (PNB) dan menjadi sebuah syarikat Malaysia.

Mungkin kejayaan ini menyebabkan Khalid terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada bidang perladangan dan menyertai pula bidang saham amanah apabila dilantik menjadi CEO PNB. Sama ada ia menjadi kebanggaan atau sebaliknya, PNB tidak boleh memadamkan rekod Khalid sebagai peneraju utamanya yang telah dalam masa singkat menjadikan hampir setiap golongan orang Melayu, daripada pemandu teksi sehinggalah kepada pegawai kerajaan dan korporat kepada dunia pasaran saham.

Bagi mereka yang mengenali beliau, Khalid adalah seorang pegawai yang baik, berbakat dan mempunyai kebolehan luar biasa dalam pengurusan korporat. Namun, bagi sesetengah penganalisis pula, kejayaan beliau bukanlah berpunca daripada keprihatinannya terhadap pemegang saham (sebagaimana ketika dalam Guthrie) atau kepada pemilik ASN (ketika dalam PNB), tetapi banyak berpunca daripada bakat dan kebolehan semula jadi yang dikatakan itu.

Barangkali keadaan inilah yang menyebabkan beliau akhirnya tersingkir dari PNB. Sementara Tun Dr Mahathir (Perdana Menteri ketika itu) dan instrumental dalam pelantikan Khalid ke dalam PNB mempunyai pendekatan lebih berorientasikan rakyat (dibaca pemilik saham PNB), fokus Khalid pula adalah perkembangan dan kepesatan PNB sebagai sebuah gergasi saham amanah dan juga sebagai sebuah badan korporat serta syarikat induk pemegang saham.

Kepada sesetengah penganalisis, walau apa pun permasalahan yang dipaparkan oleh media ketika itu, atau sebab musabab yang ditawarkan oleh, baik Dr Mahathir ketika itu, mahupun Khalid, perbezaan pendekatan inilah yang akhirnya Khalid terpaksa mengucapkan ‘selamat tinggal’ kepada PNB.

Setelah meninggalkan PNB, tidaklah pasti sekiranya mudah bagi Khalid mendapat pekerjaan lain dan bukan mudah untuk diterima dalam sesebuah badan korporat Malaysia lain apabila seseorang sudah tersenarai dalam senarai hitam Perdana Menteri.

Ramai merasakan inilah antara sebab Khalid mengambil keputusan menceburi bidang politik. Seperti bintangnya dalam bidang korporat, dalam politik ia juga dengan cepat menyinar dan bertakhta di persada politik Malaysia apabila dilantik menjadi Menteri Besar Selangor, sebuah negeri yang terkaya dan terpenting serta paling rapat kaitannya dengan pertumbuhan ekonomi negara.

Pelantikan Khalid sebagai MB Selangor memberi harapan baru buat rakyat Selangor yang menggantikan kerajaan BN dengan kerajaan Pakatan Rakyat. Banyak pihak menyambut pelantikan Khalid dengan rasa terkejut yang amat sangat kerana Khalid bukanlah pemimpin kanan dalam PKR. Sehingga timbul tanda tanya dalam kalangan pembangkang mengapa Anwar Ibrahim selaku Ketua Pembangkang dan Ketua Umum PKR tidak memilih Azmin Ali.

Dari segi pengalaman mentadbir sebuah konglomerat, Khalid adalah orangnya tapi dari segi pengalaman politik, ia tidak mampu menyaingi Azmin. Selain itu Azmin dilihat bukan saja lebih kanan daripada Khalid, beliau juga orang kepercayaan Anwar.

Kini setelah tempoh Khalid selaku Menteri Besar hampir menemui jalan penghabisan, betapa dari segi kejayaan tidak banyak boleh dibanggakan, manakala isu hubungan Khalid dengan istana pula terus diperkatakan.

Isu terbaru, apabila Sultan Selangor dipinggirkan dalam upacara sambutan Hari Kebangsaan peringkat Selangor. Dengan Kerajaan Negeri menjemput Anwar, bukan Sultan Selangor ia memberikan impak cukup negatif ke atas Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat dengan Istana Selangor.

Dan di sebalik semua yang cuba dilakukan terhadap rakyat, termasuk pemberian itu dan ini serta air percuma, beliau nampaknya gagal memahami erti sebenar menjadi pemimpin politik.

Dengan PRU13 semakin hampir, ramai berasakan Khalid sekali lagi terpaksa mengucapkan ‘selamat tinggal’ kepada apa yang sedang dilakukan. Di atas kesempatan ini, saya juga ingin mendahului ucapan ‘selamat jalan’ untuk Tan Sri Khalid Ibrahim.