Sejarah boleh dicipta dengan pelbagai cara. Bagi Datuk Seri Najib Razak, selain sejarah lain yang telah diukir, beliau mencipta sejarah baru apabila bakal mengadakan PRU13 pada saat-saat akhir mandat lama akan berakhir. Ia   sesuatu yang belum lagi dilakukan mana-mana Perdana Menteri lalu.

Amalan biasa dilakukan PM terdahulu adalah mengadakan snap-election, iaitu memerangkap pembangkang yang sedang mengambil nap atau terlelap seketika. Barangkali sebab itu, pencipta asal pilihan raya umum pra-matang tempoh berakhir mandat ini dinamakan snap-election.

Inilah kelebihan parti yang berkuasa boleh mengadakan pilihan raya mengejut mengikut budi bicara mereka asalkan tidak bercanggah dengan undang-undang. Soal pembangkang tak puas hati, nasiblah.

Sebenarnya, waktu dahulu pembangkang tidak ambil pusing sangat bila pilihan raya diumumkan kerajaan. Ini kerana mereka hanya berminat jadi pembangkang dan membangkang baik dalam Dewan Rakyat mahu di Dun.

Namun sejak akhir-akhir ini pembangkang semakin besar – daripada menjadi pembangkang kepada mahu menubuhkan kerajaan.

Ketika kempen pilihan raya umum lalu, tak sebut pun nak jadi kerajaan. Kini, belum sempat pilihan raya umum lagi, sudah mahu jadi kerajaan. Tentu ramai masih ingat bagaimana Ketua Pembangkang mengumumkan Pakatan Rakyat (PR) akan bertandang ke Putrajaya sebagai kerajaan Persekutuan pada Hari Malaysia lalu.

Itu kisah setahun lalu. Sekarang pun masih banyak lagi kisah kayangan – nak hapuskan itu dan ini, nak bagi itu dan ini. Mereka terlupa BN masih lagi kerajaan yang sah dan Najib masih lagi PM yang berkuasa. Tidak seperti amalan  masa lalu, Najib tidak menggunakan kuasa dan peluang mengadakan snap election. Senario ketika Najib mengambil alih kerajaan bukanlah serupa dengan senario yang dilalui PM masa lalu.

Malah ia jauh berbeza. Ketika itu semuanya smooth sailing bagi BN. Tapi waktu Najib ambil alih, BN hampir-hampir ‘berlayar’. Kali ini Najib kena hati-hati, berwaspada, sabar dan bijak menyusun strategi.

Walaupun gendang perang sudah dipukul dan demam pilihan raya dapat dirasai di setiap ceruk, manakala setiap wakil rakyat yang merasakan diri winnable candidate semakin rancak turun padang dan mengatur setiap program dengan penuh keghairahan, tapi Najib masih belum memberi perintah agar memulakan tembakan.

Dari segi persiapan, BN lah yang paling advance atau terkini. Pendek kata jika pilihan raya diadakan pada Mei atau Jun lalu, BN sudah pun menubuhkan kerajaan pusat. Manakala semua negeri di bawah pembangkang ditawan  semula. Pulau Pinang mungkin sukar kerana pengundi Cina tidak mudah menyerah begitu saja dengan membiarkan kerajaan Cina tumbang kepada sebuah kerajaan pro-Melayu.

Kalau mengikut bendera yang berkibar, setidak-tidaknya di Perak, Pas seperti sudah begitu yakin akan kemenangan. Di Gerik dan Lenggong, bendera Pas lah yang paling banyak dipasang, jauh mengatasi bendera Umno dan BN. 

Malangnya SPR tidak mengira bendera parti bagi menentukan pemenang pilihan raya. Begitu juga dengan rakyat yang mengundi parti pilihan mereka disebabkan pelbagai faktor.

Mungkin inilah faktor ceramah parti pembangkang kini dilihat semakin susut dari segi pengaruh. Bagi menambahkan perasa, Pas tampilkan selebriti sebagai penyeri majlis. Di tengah-tengah kerancakan pembangkang menguji  pengaruh BN, Najib pula seperti bulan jatuh ke riba. Dua kajian yang dibuat dua badan berasingan mendapati populariti Najib jauh mengatasi Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim. Pengaruh Najib stabil dan popularitinya kalangan  semua kaum sekitar 64 ke 65 peratus bagi Mei lalu.

Sokongan pengundi Cina kepada Najib yang naik daripada 37 peratus menjadikannya ke angka 42. Seperti biasa pengundi Melayu dan India masih yakin dengan Najib daripada puak pembangkang.

Trend sokongan kepada Najib nampak memberi kelebihan kepada Perdana Menteri bagi membubarkan Dewan Rakyat. Berasaskan trend yang terus meningkat naik berpunca daripada prestasi Najib yang semakin mendapat lampu hijau daripada rakyat.

Nampaknya strategi Najib sudah mula membuahkan hasil. Ini bukannya perang psikologi.

Nampaknya lebih lama Najib memanjangkan teka-tekinya mengenai tarikh pilihan raya umum, maka semakin memberikan kelebihan kepada BN. Dalam pada itu, kesulitan dan rasa terdesak kian dirasakan oleh pembangkang. Banyak  sumber yang telah dibelanjakan kerana menyangkakan pilihan raya umum akan diadakan daripada satu tarikh kepada satu tarikh bermula lewat tahun lalu, tapi sehingga hari ini, habuk pun tarak.

Sementara Pembangkang kebasian pelbagai isu lalu terpaksa mencipta isu baru seperti penghapusan duti eksais kereta import sebagai strategi terbaru, Najib pula tidak terburu-buru. Bagi Najib, sampan sudah ada, pengayuh pun sudah  ada, tunggu masa sahaja untuk menolak sampan ke dalam air.