ISU saman trafik sekali lagi menjadi isu panas. Ia gara-gara apabila PDRM melancarkan Ops Warta Khas bermula 16 Jun lalu. Selain itu, ops ini turut membabitkan cermin gelap, nombor plat tidak selaras serta kenderaan menggunakan lampu mata arah.

Kesan ops ini belum diketahui namun yang pasti ia menimbulkan ketakutan pihak pesalah kerana takut dicekup di rumah. Apatah lagi dicekup di hadapan ahli keluarga atau disaksikan jiran. Sasaran PDRM ialah 1.9 juta saman tertunggak serta waran tangkap yang belum selesai.

Kes sama pernah berlaku beberapa tahun lalu. Terdapat pesalah trafik yang digari serta gambar disiar dan dirakam media cetak dan media elektronik. Masyarakat secara keseluruhan tidak menyetujui langkah agresif PDRM melakukan operasi yang disifatkan mereka keterlaluan.

Seperti dijangka pembangkang mengeksploit isu saman ekor dengan menubuhkan rangkaian protes hampir di seluruh negara. Pemuda Pas mengajak rakyat menurunkan tandatangan sebagai tanda protes.

Beberapa pertubuhan pengguna dan tokoh-tokoh tertentu bimbang perlaksanaan ops ini menampilkan kesan negatif. Malah sebuah NGO mahu aktiviti ini dihentikan dalam bulan Ramadan bagi mengambil kira orang Islam berpuasa.

Kita tidak membantah usaha PDRM memerangi pesalah trafik namun seperti biasa ops begini mempunyai kelemahan. Sering kali mangsanya dalam kalangan berpendapatan sederhana. Yang kaya berjaya mengelak daripada dikesan lensa kamera atau mampu membayar saman asalkan mereka boleh memandu laju.

Kita sudah lihat pesalah sanggup berbaris berjam-jam di saat-saat akhir sebelum ops dikuatkuasakan. Amaran awal bagi mereka sekadar sesuatu yang dibuat PDRM atau mana-mana agensi penguat kuasa.

Tempoh enam bulan memadai bagi 1.9 juta pesalah trafik melangsaikan bayaran saman. Pada 1 Disember tahun lalu, Timbalan Ketua Polis Negara memberi pesalah trafik peluang lagi.

Di akhir ayatnya terselit amaran: "Tempoh peluang ini kita tidak akan dedahkan. Bila kita telah laksanakan penguatkuasaan menyeluruh nanti, mereka yang ada waran dan saman tertunggak kita akan terus bawa mereka ke mahkamah.”

Sementara kita menyokong tindakan polis trafik terhadap pesalah, kita ingin mencadangkan operasi ini diganti dengan ops lebih mesra rakyat yang mengutamakan pengajaran daripada hukuman.

Bukankah tujuan mana-mana kerajaan memberi kebahagiaan pada rakyat daripada daripada bertindak sebaliknya?

Niat PDRM baik tetapi proses pelaksanaan yang menjadi persoalan. Walaupun pelbagai usaha dibuat termasuk Ops Warta, kadar kemalangan di jalan raya berada tahap membimbangkan. Tentu ia bukan kerana faktor memandu laju.

PDRM perlu mencadangkan had laju di kawasan tertentu dikaji semula bagi mengambil kira keadaan jalan raya masa kini.  Kawasan had lajunya ditetapkan 60km dan 90km seperti di Kuala Kangsar ke Gerik dan kebanyakan kawasan lain yang dilihat tidak lagi relevan.

Mereka harus mengambil kira saiz serta kapasiti injin dan model kenderaan sekarang.

Lebuhraya Utara Selatan juga tidak terkecuali. Polemik had laju 110 km belum selesai. Terdapat pemandu kenderaan mengatasi had laju tapi terselamat daripada disaman.

Sejak kebelakangan ini polis trafik banyak menumpu di kawasan lain. Bagi pemandu yang sudah biasa ketika berada di KM 275 ke Ipoh mereka berhati-hati kerana diawasi sistem AES.

Agak lucu ada yang membantah had laju di lebuh raya dinaikkan. Sedangkan kini ramai dilihat memandu jauh lebih laju. Justeru bukankah lebih baik kerajaan menimbang semula cadangan tadi.

Selain itu kenderaan mahupun motor besar menggunakan plat dari negara jiran seperti sudah biasa memandu melanggar undang-undang.

Mereka juga nampaknya macam tak takut pada tindakan saman. Kemudian konvoi motor besar yang sering menggunakan lebuh raya juga perlu dipantau. Mungkin ini kerana lensa kamera PDRM gagal merakam plat mereka berbanding kenderaan empat tayar.

Kes seorang kenalan yang berulang-alik Ipoh ke Gerik sering disaman terpanggil ulasan. Kawasan  Hulu Perak ini merupakan hab orang Melayu yang rata-rata tidak berpendapatan tinggi.

Sudahlah pendapatan mereka setiap bulan mendatar, mereka juga mengeluh kerana asyik kena bayar saman trafik gara-gara had laju di kawasan tersebut.

Apa yang menghairankan dua surat saman diterima kenalan tadi setelah disemak terdapat 11 saman tertunggak.

Pemandu tidak harus dibebankan dengan satu lagi ketidakcekapan sistem. PDRM perlu lebih efisien. Isu saman ekor atau saman trafik seperti sekarang akan terus jadi isu politik yang boleh menimbulkan kemarahan rakyat.

Secara tidak langsung menjejaskan imej BN sebagai parti pemerintah seperti pernah berlaku. Dulu menterinya Hishammuddin Hussein, kini tugas itu diambil alih Zahid Hamidi. Masalahnya isu saman
menyaman tak banyak berubah.

Inilah tugas Zahid dan mereka yang bercakap mengenai transformasi menjelang pilihan raya umum akan datang. Sementara kita tunggu penjelasan Zahid, kita berharap kaedah saman menyaman serta penguatkuasaan saman terhadap pesalah trafik dikaji semula.