DI Malaysia hubungan istana dan rakyat disemadikan menerusi persefahaman lisan: 

“Adapun tuanku segala anak cucu patik akan jadi hamba ke bawah duli yang dipertuan, hendaklah ia diperbaiki oleh anak cucu duli Tuanku. Dan jika ia berdosa, sebesar-besar dosanya pun, jangan difadhilatkan, dinista dengan kata-kata yang jahat, jikalau besar dosanya dibunuh, itu pun jikalau berlaku pada hukum syarak.”

“Hendaklah pada akhir zaman kelak anak cucu bapa hamba (rakyat) jangan durhaka pada anak cucu kita, jikalau ia zalim dan jahat pekerti sekalipun.” Di akhir perjanjian, Demang yang bersetuju berpesan "Tetapi jikalau anak buah Tuanku dahulu mengubahkan dia, maka anak cucu patik pun mengubahkanlah.” 

Dialog di atas  adalah di antara Demang Lebar Daun dengan Sang Sapurba. Walaupun ia tidak membawa sebarang implikasi undang-undang, perjanjian ini tetap merupakan kontrak moral di antara pihak istana dan rakyat – terdapat tawaran dan penerimaan yang menuntut kedua-dua pihak melaksanakan terma dan syarat perjanjian berkenaan.

Walaupun 600 tahun lalu persefahaman seperti ini tidak disebut sebagai perjanjian atau kontrak moral, ia tetap merupakan sesuatu yang penting. Malah implikasinya jauh lebih mendalam kerana ia merupakan ‘sumpah’ dan sejarah menunjukkan orang Melayu cukup pantang melanggar sumpah.

Tentulah sukar untuk dibuktikan sama ada semangat perjanjian ini yang memupuk budaya tembok pemisah sosial di antara istana dan rakyat. Tetapi apa yang pasti agak sekian lamanya tembok ini terbina dengan kukuh sehinggakan generasi moden golongan istana seolah-olah terlupa atau mungkin terlepas pandang akan perjanjian klasik ini sehingga mencetuskan peristiwa yang memaksa kerajaan meminda Artikel 40 (1A) Perlembagaan Persekutuan bagi menyemak kembali kuasa Raja-Raja Melayu.

Walaupun PM ketika itu, Tun Dr Mahathir mendapat cemuhan dan kritikan hebat daripada pelbagai pihak, termasuk golongan istana dan sesetengah rakyat Melayu yang ketika itu dikuasai emosi kerana gagal memahami semangat sebenar pindaan berikut, namun hari ini terbukti, pindaan tersebut bukan sahaja mewujudkan keadaan menang-menang di antara istana dan rakyat malah tanpa disedari ramai, mengukuhkan persefahaman asal yang tercapai di antara Sang Sapurba dengan Demang Lebar Daun enam abad silam.

Hari ini tembok yang terbina sekian lama seolah-olah sudah runtuh. Raja-Raja Melayu lebih berjiwa rakyat dan turun padang untuk meneliti dan bergaul dengan rakyat. Sultan Pahang menghabiskan hampir separuh usianya bergiat dalam badan sukan kegemaran rakyat.

Jejak Sultan Ahmad Shah dicontohi dan diikuti pula oleh puteranya, Tengku Abdullah, Tengku Mahkota Pahang yang memegang jawatan Presiden Persatuan Hoki Malaysia dan juga Timbalan Presiden FAM.

Tengku Mahkota Johor begitu bersungguh-sungguh memimpin pasukan bola sepak Johor sehingga mendapat pujian oleh rakyat negeri itu yang mengharapkan pasukan bola sepak mereka dapat mengulangi sejarah 1985 dan 1991 ketika mana berjaya menjulang Piala Malaysia.

Apa yang dilakukan oleh Tengku Ismail sebenarnya adalah sambungan kepada apa yang dimulakan ayahandanya, Sultan Ibrahim, ketika baginda menjadi Tengku Mahkota dengan memperkenalkan program  Kembara Mahkota Johor bermotosikal. Baginda juga memandu lokomotif - mencatat rekod sebagai raja pertama di Malaysia melakukannya.

Sultan Kelantan yang menaiki takhta menggantikan ayahanda baginda beberapa tahun lalu memperlihatkan suatu yang jarang berlaku. Protokol penting tetapi baginda selesa dengan gayanya.

Kadangkala baginda memakai jubah dan berketayap menghadiri majlis bersama rakyat atau menziarahi musibah yang menimpa rakyat di Kelantan. Kesederhanaan baginda sering dibuat perbandingan dengan raja-raja di negara ini atau di luar negara.

Kisah terbaru pula memperlihatkan, Tengku Puan Pahang mengetepikan protokol memasak untuk mangsa-mangsa banjir. Kemudian selain dari itu terdapat sekeping gambar baginda duduk berkerusi biasa menjamu selera selepas penat memasak.

Begitulah antara yang sempat dipetik dalam rencana ini. Tentulah tidak dapat disenaraikan semuanya dalam ruang terhad ini.  Bagaimanapun golongan istana kini dilihat bukan lagi sekadar simbol yang berprospek untuk menjadi artifak muzium, tetapi berperanan saling melengkapi kehidupan dan kesejahteraan rakyat.  Sebagaimana rakyat, institusi raja di negara ini dilihat akan berkekalan selagi ada bulan dan matahari.