Suka atau tidak, PRU ke-13 pasti diadakan. Masa berteka-teki bilakah tarikh pembuangan undi semakin tidak bermakna apabila paling lama Parlimen dan Dun-Dun boleh bertahan, kecuali Dun Sarawak ialah April depan.

Masa menjelang pilihan raya ialah masa untuk berandai-andaian, berteori-teori, sekali gus berhipotesis. Oleh kerana andaian, sama ada berasas atau tidak adalah percuma dan tidak mungkin menjejaskan prospek mana-mana parti untuk menang, maka tentulah tidak salah kalau ada orang mengandaikan Pakatan Rakyat akan menyapu bersih kesemua 222 kerusi Dewan Rakyat serta menawan semua negeri.

Saat ini, tidak mustahil acara-acara solat hajat, sembahyang dan doa sama ada di tempat terbuka, mahupun tertutup telah dilakukan oleh Pas, DAP dan PKR dengan pelbagai cara menurut agama si pemimpin.

Oleh itu, andai kata PR yang menjadi kerajaan dan PM pula adalah Mursyidul Am Pas Datuk Nik Aziz Nik Mat, maka beliau menyertai liga atau kelab tidak rasmi yang dianggotai dua tiga kerat pemimpin. Dua ahli liga paling menonjol sudah tentulah, pertama Lee Kuan Yew yang baru bersara daripada Menteri Mentor Singapura pertengahan tahun lalu pada usia 88 tahun.  

Satu-satunya tokoh politik dalam liga ini yang masih berkhidmat sudah tentulah Shimon Peres yang dilantik Presiden Israel pada Julai 2007 dan kini sudah mencapai usia 89 tahun.

Nik Aziz baru 82 tahun, justeru masih muda jika dibandingkan dengan Lee Kuan Yew atau Shimon Perez. Dari segi kehebatan, Tun Dr Mahathir pun tidak boleh lawan kerana Dr M bersara daripada menjadi PM sebelum mencapai usia 79 tahun.

Masalah usia nampaknya bukanlah faktor utama bagi pengikut memilih pemimpin selagi orang yang dipilih, pada zahirnya nampak seperti ahli sukan yang masih aktif. Lainlah kalau orang yang hendak dipilih itu kejap-kejap dikejarkan ke hospital kerana mengalami cardiovascular arrest, atau mudahnya serangan jantung. Tentulah tidak logik bagi pengikut dan rakyat membiarkan orang seuzur ini memimpin mereka kerana ia sendiri perlu dipimpin apabila penyakitnya datang secara tiba-tiba.

Justeru, usia apa pun tidaklah menjadi faktor sangat selain kelihatan sihat dan tidak nyanyuk. Kalau PM nyanyuk, maka aniayalah rakyat – negara sedang mundur dikatakan negara sedang mencapai kemajuan, musuh dikatakan kawan dan kawan pula dianggap musuh ketat.

Sehingga ke hari ini, nampaknya tidak ada tanda-tanda Nik Aziz mengalami sebarang gangguan kesihatan yang boleh merosakkan program beliau selaku seorang ahli politik aktif.

Namun selain andaian PR akan memerintah dan Nik Aziz akan menjadi PM, banyak juga ramalan, andaian, hipotesis yang merumuskan MB Kelantan itu tidak lagi akan bertanding dalam PRU ke-13. Bak kata orang, kalau pemain bola sepak, sudah merancang untuk gantung but bola. Tetapi Nik Aziz tentulah masih lagi belum mahu menggantung serban beliau. Ini kerana sudah ada desas-desus dari Negeri Cik Siti Wang Kembang bahawa Tok Guru akan sekali lagi mempertahankan kerusi Dun Chempaka.

Walaupun begitu tidak ada siapa boleh membaca sifir politiknya. Tetapi yang nyata, pengaruhnya dalam kalangan Pas Kelantan semakin mempamerkan warna sebenar.

Sejak  Pas menawan semula Kelantan dari BN pada 1990, Nik Aziz mengetuai pentadbiran Kerajaan Negeri sebagai MB. Prestasi kerjanya tidak pernah diragui walaupun terdapat banyak kelemahan sepanjang perkhidmatannya. Ini ditambah pula dengan tahap kesihatannya berada pada keadaan yang tidak menyebelahinya.

Sebagai seorang yang dikategorikan usia emas, hakikatnya ialah Nik Aziz sudah terlalu jauh melepasi waktu primanya. Sudah ada suara dari kalangan pemimpin Pas sendiri menyangsikan keupayaan Nik Aziz untuk tidak menamatkan kerjaya politik beliau. Pada mulanya ia dibahas secara tertutup tetapi kemudian isu ini mendapat perhatian orang ramai yang turut membahas secara terbuka.

Pas sendiri tidak mampu menyorok isu ini kerana menyedari ia adalah isu pokok yang menarik perhatian semua. Bagi Pas, rakyat Kelantan perlu dipersiapkan minda bagi menerima apa saja hakikat politik.

Soal siapa bakal dilantik menjadi MB Kelantan seterusnya akan ditentukan selepas Pas kembali memerintah. Walau bagaimanapun lain cerita kalau mereka kalah.

Menyebut tentang kalah pula, sudah ada andaian kali ini Pas akan kecundang di Kelantan. Kehadiran Nik Aziz untuk bertanding sama akan menambahkan prospek untuk Pas tewas, sebaliknya menghidangkan peluang keemasan untuk BN kembali menguasai Kelantan setelah 22 tahun gagal berbuat demikian.