Nama Zairil Khir Johari Abdullah tiba-tiba menjadi sebutan umum dan dilihat popularitinya jauh lebih baik serta mengatasi beberapa pemimpin senior dalam  DAP yang kini di ambang matahari senja.

Zairil muncul di pentas politik apabila bosnya, Lim Guan Eng melantik beliau sebagai setiausaha politik. Ada yang tertanya apakah merit dan keistimewaan yang ada pada beliau sehingga mendorong keputusan Guan Eng menawarkan jawatan penting itu.

Tapi itulah dikatakan tuah manusia berbanding tuah ayam hanya nampak sekadar di kaki. Justeru pada 15 Disember lalu, Zairil memilih memperjudikan kedudukan dengan turut bertanding Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP dalam pemilihan parti. Terdapat 20 tempat kosong dan calon-calon yang bertanding mempertahankan jawatan bukanlah calang-calang antaranya termasuklah Karpal Singh, Guan Eng, Lim Kit Siang dan ramai lagi.

Selaku Setiausaha Politik Ketua Menteri, lazimnya, tuah memihak kepadanya tapi dalam hal ini Zairil, salah seorang daripada beberapa calon Melayu, hanya memperoleh 305 undi serta menduduki tempat ke-39.

Punahlah harapan menjadi antara calon Melayu pertama dipilih oleh 1,800 perwakilan yang mana dari keseluruhannya 85 peratus adalah terdiri daripada orang-orang Cina.

Entah sama ada Zairil sedar ataupun tidak, DAP sejak zaman penubuhannya tidak menarik perhatian orang-orang Melayu. Stigma ia parti anti Melayu sukar sama sekali untuk dinafikan.

Pendek kata bagi DAP yang menjuarai konsep multi ras dan mahukan Malaysian Malaysia menjadi sebahagian dari dasar penting negara, terlupa bahawa ada sebab parti itu ditolak oleh sebahagian besar orang-orang Melayu.

Zairil mungkin ada wawasan ketika menerima pencalonan bertanding dalam CEC tetapi perwakilan tidak melihat sebegitu. Selepas tiga minggu keputusan CEC yang diwarnai pelbagai persepsi negatif, tiba-tiba DAP mendapati, dari segi tekniknya, berlaku kesilapan dalam pengiraan undi. 

Dalam pengiraan undi dengan menggunakan komputer (bukan tangan), DAP mendapati Zairil memungut 500 lebih undi berbanding dengan pungutan awal hanya 305. Beliau bernasib baik kerana berada betul-betul di tangga ke-20. Tapi seorang lagi calon Melayu, Senator Dr Ariffin SM Omar gagal mengikut jejak Zairil. Bagaimanapun macam juga Zairil, Ariffin dilantik Guan Eng ke dalam CEC bagi mengisi kuota Melayu.

Drama yang dicetuskan ini menamatkan kedudukan Pooi Weng Keong, penyelia pengundian apabila beliau secara gentleman mengumumkan peletakan jawatan. Konon mengambil tanggungjawab.

Dan seorang lagi calon, Vincent Wu Him Ven, yang menduduki tempat kelima terpaksa berputih mata apabila dia sebenarnya lebih corot lagi. Kali kedua pengiraan undi, dia nyata gagal.

DAP mungkin berpendapat dengan mengakui ia melakukan kesilapan ia boleh membersih parti itu dari memikul seekor biawak hidup. Kita dapati semua pemimpin kanan cuba memberikan justifikasi bahawa apa yang berlaku bukan disengajakan dan kemunculan Zairil sebagai pemenang juga bukan diatur.

Persoalannya ialah DAP hanya sedar kesilapan itu setelah tiga minggu nama-nama pemenang diumumkan. Ini setelah media dan orang ramai memberikan reaksi negatif terhadap amalan perkauman sehingga semua calon Melayu tewas.

Maknanya keputusan 15 Disember itu menunjukkan 1,800 perwakilan DAP tidak percaya kepada calon-calon Melayu yang bertanding. Atau dengan lain perkataan mereka menolak Zairil dan calon-calon Melayu yang turut bertanding. Bukankah ketika pemilihan itu DAP baru saja kehilangan Tengku Aziz yang kemudian berkerat rotan dengan parti itu dan kini muncul pengkritik paling tegar?

Langkah u-turn atau berpatah semula ini cuba membersihkan imej parti daripada berterusan dikritik. Semakin dekat dengan PRU 13, DAP tidak mampu kehilangan pengaruh di kalangan orang-orang Melayu.

Selepas terjebak dalam isu kalimah ALLAH yang kini mencetuskan satu fenomena di kalangan masyarakat Islam, parti itu juga berdepan krisis kecil di kalangan para pemimpin, isu penerimaan anugerah Datuk daripada sultan dan sebagainya, membuatkan DAP sering diintai permasalahan.

Harapan DAP ialah dengan menerima semula Zairil yang sudah pun tewas dapat memperbaiki prestasi dan persepsi bahawa ia bukanlah sebuah parti anti Melayu seperti yang dituduh. Namun di pihak satu lagi, mereka melihatnya sebagai satu lagi helah. Bagi memadam imej ini, DAP cuba membuktikan ia lebih baik dari MCA ataupun Gerakan.

Jalan ke Putrajaya memerlukan pengorbanan dan ini yang dilakukannya. Pas dan PKR mungkin boleh menerima DAP seadanya sebagai satu regu namun bagi kebanyakan pengundi, DAP tetap sebuah parti perkauman.