PROSES peremajaan Wanita Umno bukan macam menjual produk instant ala-ala mi segera atau pencerah kulit muka.

Hakikatnya ia sesuatu yang harus berjalan dengan mengambil kira pelbagai faktor sebelum anggota Wanita Umno dalam tempoh lima tahun lagi menjadikan sayap parti sebagai kelab eksklusif makcik-makcik.

Proses meremajakan Wanita Umno dan Umno itu sendiri dimulakan sejak Tun Dr Mahathir Mohamad masih perdana menteri, tetapi agak malang usaha itu ibarat kereta api malam yang bergerak terlalu perlahan.

Justeru salah satu moto yang menggerakkan mantan Ketua Puteri Umno, Datuk Seri Azalina Othman Said mencabar jawatan Ketua Wanita Umno ialah mempercepatkan proses ini

Baginya proses ini memerlukan satu jump start bagi mengelak Wanita Umno terperangkap dalam zon selesa. Malang belum pun usahanya berjalan, Azalina umum batal hasrat mencabar Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil.

Salah satu faktor pengaruhi kemenangan besar BN dalam PRU 2004 ialah kehadiran begitu ramai tenaga profesional wanita dalam Umno. Ini pada zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai PM.

Ia sekali gus menafikan dakwaan Umno menghalang kemasukan mereka menganggotai parti itu. Hari ini dan pada masa sekarang wanita muda yang sudah  berusia dan tidak lagi bergelar Puteri berdepan realiti untuk terus aktif.

Seperkara yang menarik mengenai proses peremajaan ialah ia banyak bergantung pada tokoh Wanita di peringkat bahagian itu sendiri. Mereka adalah saringan pertama sebelum wanita muda pergi lebih jauh.

Di Perak sebagai contoh terdapat bahagian yang membuka peluang kepada bekas ketua Puteri memegang jawatan penting. Ia dimulakan semasa Tan Sri Tajol Rosli Ghazali masih MBnya.

Kini proses peremajaan itu diikuti dan diteruskan pula oleh Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir sebagai MB Perak ke-11. Noor Asmah Mohd Nawawi, seorang peguam yang lahir dari kilang Puteri merupakan Ketua Puteri Umno pertama di Perak sebelum beralih ke Wanita.

Selepas tempoh Puteri tamat, Noor Asmah yang menyertai Wanita Umno berdepan realiti terpaksa bertanding dan menang Naib Ketua Wanita Umno Bahagian Gerik pada 2009 sebelum memenangi jawatan sama tanpa bertanding pada pemilihan kali ini.
 
Tidak seperti kebanyakan ketua-ketua Wanita bahagian, Salmiah Sutan Tarudin selaku Ketua Wanita Umno Bahagian Gerik seperti diramal Tajol, membuka pintu kepada Noor Asmah.

Dalam bahagian Lumut dan Tanjung Malim hal sama berlaku. Ketua Wanita bahagiannya, Dr Azizah Johor memberi peluang kepada mantan ketua Puteri menjadi calon naibnya sehingga kedua-duanya menang tanpa bertanding.

Sedang Gerik dan Lumut menyaksikan proses peremajaan berjalan, Datuk Rosnah Kassim, exco kerajaan negeri menerima calon naibnya juga daripada bekas ketua Puteri Umno.

Kes istimewa tentu di Parit Buntar apabila Norsalewati Mat Norwani, bekas ketua Puteri bahagian menang tanpa bertanding sebagai ketua Wanita bahagian.

Di tempat lain menyaksikan bekas ketua-ketua Puteri mencabar calon naib ketua bagi memastikan proses peremajaan tidak disekat.

Dua lagi anggota Puteri iaitu Nolee Ashilin Radhi menang tanpa bertanding Ketua Wanita Umno Bahagian Kampar ihsan mantan ketuanya, manakala Dr Wan Norashikin Wan Nordin gagal mendapat laluan percuma apabila terpaksa menghadapi saingan naib ketua Wanita bahagian untuk jawatan wanita nombor satu itu.

Datuk Hamidah Osman, Ketua Wanita bahagian Gopeng ditentang bekas ketua Puterinya. Begitu juga di Larut, jawatan ketua Wanita turut direbut ketua Puterinya.

Kita menyebut beberapa contoh seperti Lumut dan Tanjung Malim kerana di dua kawasan ini, ketua Wanitanya pun tidak lagi muda dan mereka tidak menutup pintu dengan 1,001 alasan.

Hal ini harus menarik perhatian serta jadi ikutan semua sayap Wanita agar apa yang diimpikan Dr Mahathir dan kini yang ingin dilihat Najib yakni kemasukan tenaga muda ke dalam Umno bukan satu klise, tetapi benar.

Sayang jika Dr Azizah dan Rosnah yang tanding Exco Wanita Sabtu ini  tidak dipertimbang oleh perwakilan.

 Sejajar dengan ini, adalah satu kemalangan moral jika Shahrizat selaku Ketua Wanita Umno tidak memasukkan agenda ke arah peremajaan parti. Semoga apa yang dimulakan Azalina menjadi perangsang buat Shahrizat, yang dilihat bakal bergelar Ketua Wanita Umno selepas pemilihan nanti.

Moga ia mengotakan janji meremajakan Wanita seperti pernah diucapkan kepada wanita-wanita ini semasa berkempen dahulu. Jika ia ibarat cakap tak serupa bikin, suatu masa nanti Wanita Umno tidak lebih dari 'kelab eksklusif makcik-makcik'.