Angka unjuran ekonomi bergantung secara langsung kepada keseluruhan iklim dunia, maka tidak banyak negara dan negeri-negeri sama ada di Malaysia atau di negara-negara lain berani membuat unjuran pertumbuhan ekonomi yang agak tinggi.

Namun bagi Perak Darul Ridzuan, Bajet Negeri yang dibentangkan 25 November lalu membawa cerita lain. Sementara negeri-negeri lain lebih konservatif dalam membuat unjuran masing-masing, Perak menganggarkan pertumbuhan setinggi antara 6 hingga 7 peratus.

Mungkin ada berasakan Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir bersikap tidak realistik, malah ada berasa ia seolah-olah satu unjuran gila dan tak masuk akal. Mengapa tidaknya kerana pertumbuhan tahunan 6 hingga 7 peratus itu melebihi pertumbuhan yang dicatatkan oleh Singapura atau Amerika Syarikat bagi tahun fiskal lalu.  

Namun, hakikatnya, Dr Zambry tidak bermain teka-teki, angka tersebut adalah munasabah apabila kita mengambil kita catatan prestasi tahun sebelumnya apabila Perak mendaftarkan pertumbuhan KDNK sebanyak 7.1 peratus. Perlu juga diingat angka ini dicapai dalam tempoh penggal yang tidak mencukupi (tolak kira-kira setahun pemerintahan Pakatan Rakyat) dan dalam keadaan beliau terpaksa berdepan dengan pelbagai isu dan keganasan politik.

Sebenarnya bukan ini yang nak kita ulas. Ia berkisar mengenai langkah pro aktif kerajaan negeri pimpinan Dr Zambry membiayai semua 59 Pusat Khidmat Adun di negeri berkenaan.

Tidak tahulah sekiranya langkah dan keputusan ini merupakan satu kejutan manis untuk pembangkang. Tapi yang pasti ia agak memeranjatkan mereka. Keputusan tersebut seolah-olah mematikan langkah politik mereka kerana bukan sahaja kerajaan negeri mencipta sejarah dengan memulakan satu trend malah membuktikan bahawa demi hal ehwal rakyat, kerajaan memberikan peruntukan walaupun ia harus disalurkan kepada pembangkang.  

Melalui sumbangan sebanyak RM3,000 pada kadar bulanan membabitkan peruntukan RM2.12 juta kepada semua wakil rakyat, termasuk di sebelah pembangkang ia dengan sendiri akan meringankan bebanan kewangan mereka.

MB Perak itu mengumumkan “hadiah” istimewa ini sewaktu membentang Bajet 2014 pada hari pertama sidang Dun Perak pada hari Isnin lalu. Perlu disebut dalam sejarah politik Malaysia, belum ada kerajaan negeri terutama negeri-negeri diperintah pembangkang menawarkan pakej seperti ini.

Kini soal bayar gaji pegawai, sewa premis dan peralatan, termasuk dalam inventori YB berkenaan tidak lagi satu bebanan. Mereka kini bolehlah berkhidmat dengan optimum kepada rakyat yang mengundi mereka dalam pilihan raya umum lalu.

Jika kita melihat secara umum apa yang dilakukan MB Perak itu adalah suatu yang mencabar minda rakyat. Ia memulakan satu leap atau lonjakan untuk memisahkan politik kepartian dengan permasalahan rakyat dan inilah yang dikatakan kematangan berpolitik.

Sumbangan ini diharapkan seperti disebutkan Dr Zambry; “keterbukaan ini mencerminkan kesungguhan kerajaan negeri yang diterajui BN memulakan setapak lagi langkah ke hadapan ke arah transformasi dan kematangan berpolitik... diharapkan dengan langkah budiman ini, ia akan disambut dengan penuh hemah oleh pihak pembangkang.”

Langkah kerajaan Perak juga seperti satu sindiran kepada negeri-negeri dikuasai DAP, PKR dan Pas. Mereka lebih teruja nyanyikan lagu-lagu dondang sayang serta bercakap dengan nada gah bagi menjuarai isu-isu demokrasi dan hak rakyat.

Malang sehingga kini Pulau Pinang dan Selangor sebagai negeri terkaya dalam persekutuan Malaysia masih terkial-kial mencari formula sama. Pulau Pinang hanya setakat di peringkat Exco manakala pelaksanaannya masih belum  menampakkan bayangan.

Kelantan kita amat faham kesukaran melaksananya kerana mereka berada di tahap penerima sumbangan dari kerajaan Pusat. Ada nada pihak cuba menidak dasar baru kerajaan negeri pimpinan Adun Pangkor itu tetapi itulah hakikatnya.

Kebaikan yang sering dibuat disusuli pelbagai kiasan dan lemparan nista.

Kita dapati MB seorang berjiwa besar seperti KJ dan Tun Mahathir dalam kerangka melaksanakan tugas. Meneliti dan mendengar suara rakyat adalah 1,000 kali lebih baik daripada usul-usul dalam muktamar.

Dengan ini, 59 Adun sama ada BN ataupun PR, mulai tahun depan mereka bakal menikmati elaun saraan baru dari RM4,112.79 ke RM6,000 selain turut diperuntukkan RM3,000 sebulan untuk pusat khidmat masing-masing.