JIKA mendaki kerjaya politik untuk akhirnya tiba di puncak, iaitu pejabat perdana menteri semudah menaiki eskalator seperti terdapat di pusat beli-belah, rasanya mungkin setiap tahun kita mempunyai perdana menteri baharu. 

Namun sudah menjadi pengetahuan umum pendakian ke Putrajaya lebih mencabar dan lebih rumit dan lebih tidak menjanjikan kejayaan berbanding mendaki untuk sampai ke Gunung Everest.

Malah sekiranya ia semudah mendaki Gunung Ledang, hatta Gunung Kinabalu, sudah lama Tengku Razaleigh Hamzah, Musa Hitam atau Anwar Ibrahim mengibarkan bendera masing-masing.

Begitu pun mereka yang memasang mimpi untuk sampai ke situ tidak harus patah semangat jika usia tidak menyebelahi. Dr Mahathir Mohamad membuktikan usia hanyalah tidak lebih dari sebuah angka. Pada usia pencen, 55 tahun, beliau sampai ke kemuncak kerja politik dan memulakan tugasnya selaku PM.

Demikian pun, untuk menjadikan mimpi tersebut sebagai realiti, syarat utama yang harus dilalui terlebih dahulu tentulah seseorang itu harus bergelar naib presiden. 

Dalam pemilihan pucuk pimpinan parti minggu lalu, laluan dan percubaan Mukhriz Dr Mahathir dilihat terbantut manakala pesaingnya penyandang jawatan naib presiden semakin cerah apabila berjaya mempertahankan kedudukan masing-masing.

Dalam keadaan serba mencabar ini, Mukhriz mempunyai enam tahun lagi atau lebih tepat dua penggal pemilihan, itu pun kalau diadakan setiap tiga tahun, untuk bertanding  naib presiden.

Kalau sehingga pencen Mukhriz tidak bergelar naib presiden maka peluang untuk catat sejarah mengikut jejak bapanya bagi menduduki kerusi berprestij itu bukan saja sukar malah ia akan pudar dengan sendirinya.

Dalam jangka tiga tahun lagi iaitu pada 2016 jika pemilihan diadakan tepat pada masanya Mukhriz berdepan selain persaingan membabitkan tiga penyandang naib presiden, beliau juga bakal mendepani pencabar lain.

Kita tidak boleh menolak kemungkinan dua pesaing yang dilihat sebagai pelapis turut bertanding iaitu Menteri Besar Perak, Dr Zambry Abd Kadir dan rakan sejawat dari Johor, Khaled Nordin.

Dalam Pemilihan Agung Umno pada 19 Oktober lalu, Dr Zambry tidak bertanding jawatan naib presiden kerana dilihat memberi laluan mudah kepada seorang lagi tokoh Perak, Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mempertahankan jawatan.

Dalam sistem politik Malaysia khususnya melibatkan Umno sebagai parti induk dalam BN, hierarki kerajaan ditentu berasas kedudukan seseorang dalam parti. Dengan lain perkataan hampir semua PM bermula sebagai naib presiden sebelum dipilih menjadi TPM.

Jawatan nombor dua kepada PM ini secara automatik menjadi Timbalan Presiden Umno. Belum pernah penyandang jawatan TPM tewas melainkan Pak Ghafar Baba di tangan Anwar Ibrahim pada 1993 untuk jawatan Timbalan Presiden Umno.

Dalam kes Musa Hitam agak berlainan kerana Dr Mahathir Mohamad yang dilantik menggantikan Hussein Onn sebagai PM pada 1981 memberi kelonggaran kepada perwakilan Umno menentukan calon timbalan presiden. Musa mengalahkan Tengku Razaleigh Hamzah, calon popular sebelum dilantik secara rasmi sebagai TPM pada tahun sama.

Para penganalisis politik melihat kekalahan pusingan pertama Mukhriz tidak bererti pintu ke Putrajaya tertutup buat selama-lamanya. Dari segi usia secara relatifnya, dia jauh lebih muda dari Zahid atau Shafie. Kalau beliau terpaksa menunggu 10 tahun lagipun bukan suatu masalah.

Kini cerita yang paling popular ialah mengenai kekalahannya. Pelbagai teori konspirasi kedengaran sebagai justifikasi. Tetapi keputusan mengejutkan apabila dua bahagian dari Johor - Tebrau dan Johor Bharu memihak Mukhriz. Pahang juga memilih memberikan kesemua 10 undi pada Hishammuddin manakala 0 bagi Mukhriz- ia juga satu rekod.

Seperkara yang menarik Selangor memberikan 18 undi pada Mukhriz berbanding 4 Hishammuddin manakala Pulau Pinang menunjukkan kiblat lebih kepada Mukhriz dengan undian 10 berbanding 4 Hishammuddin.

Dari apa sudut sekalipun Mukhriz membuktikan dia adalah tokoh pelapis yang tidak menyembunyikan niat untuk menjadi pemimpin pelapis.

Sama ada hasratnya tercapai adalah soal takdir Ilahi. Sejarah menunjukkan tokoh paling lama menjadi timbalan presiden pun gagal untuk akhirnya menjadi presiden dan sejarah juga memperlihatkan tokoh yang baru sepenggal menjadi naib presiden boleh melonjak ke jawatan timbalan presiden dan akhirnya dinobatkan sebagai presiden.

Tak mustahil sejarah berulang kembali.