Ketika mengikuti Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir turun padang ke setiap daerah di Perak sejak beberapa tahun lalu, tidak ada tanda-tanda surprise membabitkan sikap masyarakat Cina di Perak.

Ke mana saja MB turun dan temui orang ramai, sama ada Melayu, India atau Cina, seperti kata bahasa Inggeris  thumbs up. Semuanya beres, begitu ramai tampil nak bersalam dengan beliau.

Menjelang PRU13 ramai merumuskan tsunami politik 2008 yang sebabkan BN Perak tewas buat pertama kali dalam sejarah pilihan raya Perak merupakan sebahagian dari catatan sejarah. Ia tak mungkin berulang, begitulah suara keyakinan kedengaran.

Dengan manifesto BN negeri- "Menepati janji membawa harapan-BN untuk anda", BN yakin boleh mencipta keajaiban sekali lagi.

Menurunkan 60 peratus muka baru, BN yakin 1.4 juta pengundi akan beri mereka mandat yang dikehendaki membawa negeri ini memasuki era baru pula. MCA dan Gerakan serta MIC menuntut perubahan minda di kalangan pengundi bukan Melayu.

Akhirnya pada malam 5 Mei, jam 1 pagi BN diumum menang dengan majoriti mudah 30-29. Satu kerusi yang ditunggu, Dun Manong berikan khabar gembira menyebelahi BN apabila calonnya Mohamad Kamil Shafie menang.

Walaupun 4 hari sebelum mengundi MB meramalkan BN menang dengan minimum 32 kerusi, ia yakin BN boleh dapat lebih lagi. la langsung tidak terfikir hampir 80 peratus pengundi Cina rupa-rupanya masih menaruh dendam atau dilihat seperti tempua bersarang rendah.

Isu runtuhnya Chinese government di Perak dari diketuai DAP, selepas PRU12 pada 2008 rupa-rupanya dihidupkan semula. Datuk Seri Nazri Aziz dengan nada kecewa sahkan “saya kalah teruk di semua peti undi Cina…..”

Di Gerik pengundi Cina yang tradisinya menjauhi Pas dan memihak pada BN, tidak lagi menakung air. Terdapat cerita budak-budak sekolah rendah diajar memegang dan mengibar bendera Pas sambil ibu bapa mereka melaungkan perkataan UBAH.

Dipendekkan cerita, pengundi Cina menghukum BN dengan hampir kesemua mereka menolak calon-calon BN. Ia satu tsunami tapi kali ini tsunami Cina. Keputusan PRU13 di Perak diterima Pas sebagai takdir tapi dari sifir politik mereka sedar terpedaya dengan catur DAP.

Dari 22 kerusi ditandingi, Pas menang 5 berbanding 6 dalam pilihan raya 2008. DAP yang bertanding 18 kerusi, menang semua. Menghairankan, PKR yang bertanding 19 kerusi, cuma menang 5 bagi semua kerusi bukan Melayu. Nyata pengundi Cina memihak pada DAP bukan Pas.

Pun begitu akhirnya DAP kecewa kerana peluang menguasai semula kerajaan negeri sekali lagi terhalang oleh suara rakyat khusus pengundi Melayu yang lebih rasional memilih BN. Justeru jika DAP  kempunan kerajaan negeri, Pas yang mengharapkan sokongan pengundi Melayu seolah-olah dipermain dan diperdayakan oleh pengundi Cina yang tidak mahu undi calon Melayu dari parti itu.

Strategi DAP 'mengahwini' Pas secara haram dengan tidak ikut syarak dan hudud ala Pas bawa implikasi negatif. Reaksi pengundi Melayu jelas apabila calon-calon Umno yang tanding atas tiket BN menang di 30 kawasan Dun, sekali gus bolehkan Umno, secara sendiri jika ia mahu membentuk kerajaan.

Bagi pengundi yang pro Pas, Umno dan BN adalah musuh utama berbanding dengan Umno, DAP jauh lebih suci. Kalau majlis kenduri tahlil dan kenduri cukur jambul mengajak tokoh-tokoh DAP lebih besar erti dalam persahabatan politik dengan parti itu. Bukankah mereka sering melaungkan ia cara terbaik berdakwah pada DAP.

Kebencian Pas pada Umno rupa-rupanya dimanfaat dan digunakan sepenuhnya  oleh DAP dalam mencatur politik di Perak. Seperti kita lihat Pas yang bertanding 22 kerusi, hanya menang 5 sedangkan DAP yang tanding 18 kerusi, menang semua.

Dalam konteks politik terkini, Pas mungkin tidak suka tapi umum melihat ia tak lebih boneka pada DAP untuk menguasai dan menakluki Perak. Tanpa Pas, sampai dunia kiamat DAP tak akan berjaya. DAP sebenarnya mengumpankan Pas jawatan Menteri Besar kepada Nizar Jamaluddin dalam hal ini biarpun Pas pada dasarnya tidak yakin. Ingat dalam pilihan raya 2008, komposisi Exco 6-4 memihak pada DAP. Dilihat dari sudut ini yang berkuasa ialah DAP manakala Pas hanya dapat jawatan.

Bagi Pas, kalau ikut hukum Islam DAP berketuakan pemimpin Pas. Justeru tak salah dari segi hukum syarak. Macamlah Hadi Awang dan Nik Aziz ikut Lim Kit Siang dalam banyak hal tanpa memikirkan risiko. Hinggakan hal-hal kaitan agama seperti kalimah ALLAH, hudud dan sebagainya DAP dilihat yang menentukannya.

Realitinya kini, kepada DAP, Pas tidak lebih dari merupakan hanya rakan ‘yes sir’ sahaja. Maka hal ini mengundang persoalan, apakah perihal menjadi pak turut ini yang difahami oleh Pas sebagai perjuangan Islam?