PAS kini berdepan cabaran paling kritikal. Sekiranya ia gagal menangani cabaran ini secara berkesan, parti itu dijangka berdepan perpecahan pada skala jauh lebih besar. Kita bercakap mengenai sebilangan kecil ahli, disokong pihak luar jauh lebih besar, cuba mewujudkan suasana kurang yakin kepada kepimpinan Haji Hadi Awang selaku Presiden Pas.

Walaupun lontaran idea tidak rasmi ke arah itu namun ia tidak dizahirkan dengan berani. Ia masih di tahap berselindung tetapi hakikatnya begitulah. Matlamat mereka cukup jelas cuma sebagai orang bijaksana, masih berdolak-dalik konon masih sayangkan Pas.

Pihak yang kecewa dengan Presiden Pas itu bukan kerana Ahli Parlimen Marang itu ilmu agamanya kurang atau beliau tidak karismatik. Banyak hal mengenainya yang orang ambil sambil lewa. Ini mungkin kerana watak semula jadinya.

Pelat tuturnya masih kuat bunyi Terengganu. Solat orang macam Haji Hadi pun lain sikit kerana ia dilaksanakan dengan penuh kekhusyukan. Dan yang jelas ia menolak fahaman Syiah.

Sejak berusia 10 tahun lagi, beliau faham dan mengamal ilmu agama serta batasan tertentu. Pendek kata dalam semua aspek hidup, beliau berpandu pada agama bukan sekadar hukum akal semata-mata.

Walau tahaluf siyasi membolehkan kerjasama politik Pas dan dua rakan dalam PR, ia harus ikut hukum. Pas tidak boleh ikut DAP yang jelas menolak hudud serta mahukan penggunaan kalimah ALLAH buat puak Kristian.

Haji Hadi tidak menggabungkan Islam dengan fahaman liberalisme. Ia jelas menolak liberalisme atau pluralisme. Kerana baginya kaedah yang bercanggah dengan hukum adalah haram. Seluruh ahli Pas berpegang pada konsep ini. Mereka faham risiko di akhirat kelak.

Bagi mereka yang sekadar mengaji di Mara, atau lepasan Universiti Malaya jurusan bahasa pula, tentu sukar menerima pemikiran dan stail Haji Hadi. Samalah jika berlaku sebaliknya. Dalam kes calon MB Selangor jelas sikap tidak matang puak ini.

Haji Hadi tidak mencalonkan wakil rakyat Umno sebagai MB  baharu. Beliau menyokong calon PKR, cuma bukannya Wan Azizah Wan Ismail. Bagi Pas, Azmin Ali adalah pilihan jauh lebih tepat. Bahkan tidak ada beza antara Azmin atau Wan Azizah  kerana kedua-duanya merupakan penyokong kuat Anwar.

Siapa pun MB, dasar kerajaan PR ditentukan terlebih dahulu melalui perundingan meja bulat. Oleh kerana Pas menolak Wan Azizah maka PKR boleh memilih alternatif lain. Tak timbul soal PKR ketandusan calon. Sebaliknya keputusan Sultan Selangor memilih Azmin tentu memalukan PKR sendiri.

Mereka yang dulu menentang Azmin terpaksa menjilat ludah semula. Isu yang cuba dibentang di sini bukan mengenai Azmin atau PR tetapi lebih kepada krisis dalam Pas dan peranan presidennya. Ini kerana sejak isu calon MB Selangor, Haji Hadi dan Pas sudah tidak lagi popular di mata regu-regunya.

Sindiran tajam boleh dibaca hampir setiap hari dalam pelbagai media. Nasib baik ada anak Nik Aziz, Nik Abduh dan Nasrudin Hassan sebagai hulubalang Haji Hadi. Mereka tidak segan mendepani parasit dalam Pas serta regu yang mereka lihat mula mengkhianati perjuangan parti Islam itu. Jelas usaha mereka semata-mata mempertahankan presiden parti.

Pas sejak dulu dilihat bersih dari anai-anai politik. Ia berbeza dengan Umno yang pernah berkrisis kerana faktor sama. Belum pernah berlaku Presiden Pas seperti Allahyarham Ustaz Fadzil Noor  berdepan cabaran dari dalam. Bagi mereka, Haji Hadi dan Ustaz Fadzil kalaupun bukan seorang wali, mereka boleh dianggap setaraf.

Tetapi itu semua sejarah lapuk. Hari ini Haji Hadi tak sunyi dari dikritik. Ia dibuat secara terbuka dan terancang serta disokong puak luar yang mahu Pas dipimpin oleh tokoh baharu. Kemunculan Pasma, sebuah NGO yang menyokong PR membimbangkan kepimpinan Pas.

Bukannya Pas tidak lagi menyokong PR tetapi sokongan dibuat Pasma lebih relevan. NGO ini seperti dipersiap sebagai alternatif pada Pas. Justeru kalaulah terdapat nada dalam Pasma yang mahukan Haji Hadi digantikan, ini boleh difahami. Suara seumpama ini menyebabkan Pas diambang sebuah lagi ujian terbesar.

Pasma bukanlah parti politik, juga bukan ahli kelab penyokong BN. Ia hanya digerak dan dipimpin oleh ahli-ahli Pas. Terdapat juga tuduhan NGO ini adalah macam ADIL, yang dilahirkan  Anwar dulu.
Terdapat juga andaian Pasma bakal menggantikan Pas sebagai regu baru dalam PR.

Hakikatnya Pasma jauh lebih relevan pada DAP. Sudah pun ada tanda-tanda positif kalangan mereka. Pasma bukanlah calang-calang NGO. Ia kelihatan atas kertas sebagai NGO yang menyokong pengekalan Pas dalam PR. Saiznya sahaja kecil jika dibanding dengan Pas. Setakat ini masih berstatus NGO tapi bila-bila masa boleh bertukar status.

Melihat Pasma sebagai satu ancaman baru pada Pas, Majlis Syura Ulamanya ada nasihat: “Kami memantau dengan penuh prihatin beberapa tindak-tanduk mutakhir ini yang dilihat boleh memecah-belah ahli-ahli Pas seperti yang dilakukan oleh sebuah NGO yang dinamakan Pasma.

“Selaras dengan peringatan Presiden Pas dalam penggulungan Muktamar Pas 2014 yang lalu supaya tidak berlaku adanya jemaah dalam jemaah dan parti dalam parti, maka Majlis Syura Ulama memberi nasihat kepada ahli-ahli Pas supaya tidak melibatkan diri dalam sebarang aktiviti Pasma,” katanya.

Bagi kita, Haji Hadi ibarat doktor yang berdepan pesakit yang memerlukan rawatan untuk penyakit kencing manis. Dalam tangannya  keputusan memotong bahagian yang rosak seperti kaki atau anggota lain bagi tujuan itu. Tuan Guru perlu mengorbankan watak sederhananya jika mahu melihat Pas kekal relevan tanpa berterusan menjadi boneka mana-mana pihak.