PRESIDEN Barack Obama pulang ke Washington DC setelah melakukan lawa-tan rasmi ke Malaysia dan Filipina. Semasa di sini, beliau memperaga sikap original - sederhana, sopan dan begitu prihatin pada masalah hak asasi  rakyat. Beberapa perkataan Melayu seperti terima kasih, boleh dan insyaAllah disebutnya.

Semasa berada dalam masjid negara, dimintanya imam besar berdoa untuknya sama. Obama tidak seperti Bush atau lain-lain yang biasa kita tonton di kaca tv. Mungkin ini  kerana ia  merupakan seorang presiden pertama dari kalangan kulit hitam.

Sifat semula jadi Obama juga disedari umum. Kelebihan “PR”nya diguna dengan baik. Ini belum lagi daya intelektualnya serta skill lain yang menyentuh hati kita. Satu lagi ialah gaya Obama memasuki masjid serta berdiri di pekarangan makam pahlawan.

Dengan sifat ini dan santun serta dibekal pula daya intelek yang tinggi, kita pasti, selepas Presiden John F. Kennedy atau JFK, Obama muncul ikon baharu rakyat kita.

Dalam sekelip mata juga lawatan Obama memberi sinergi baharu kepada  politik Perdana Menteri (PM) Najib. Ia menjadikan kesukaran bagi mana-mana pencabarnya, termasuk Anwar Ibrahim sendiri untuk mengatasi populariti yang dinikmati.

Najib berjaya memulih imej kita yang tercemar gara-gara isu Anwar. Sejak 1998 lagi, AS menyebelahi Anwar dalam banyak hal. Sebab itu Obama bersikap berhati-hati apabila mengulas isu ini. Tetapi oleh kerana kedudukan Obama sebagai presiden jauh lebih kukuh kini berbanding semasa penggal pertama, maka kita lihat isunya tidaklah ketara. Perhatian Obama kini pada soal pengaruh AS di rantau ini. Isu Anwar tidak lagi releven dalam kamusnya.

Kita juga dapati Obama dan AS makin cemas dengan pengaruh China di rantau ini. Bagi membendungnya, AS ingin  mengheret rakan-rakan lain menentang kemaraan China. Jepun awal-awal lagi sudah memperlihat dasar hidup semati bersama-sama AS. Ini tentu tidak disenangi China. Tumpuan lain termasuk cuba menarik sokongan Malaysia dan Asean.

Bagi mengekang pengaruh China, Obama kini melaksana dasar berbaik-baik dengan Malaysia dan rakan-rakan di rantau ini sebagai langkah berjaga-jaga.

Namun dalam usaha berbaik-baik, AS boleh menerima jika Malaysia, tidak ikut telunjuknya. AS berpegang pada dasar, biar genting asal tidak putus. Sebab itu Obama yang pulang kosong tidak kecewa Malaysia tidak tanda tangani Perjanjian Perkongsian Tran Pasifik (TPPA) tempoh hari.

Pemerhati politik melihat  lawatan Obama ke Malaysia bakal menjana political mileage untuk Najib. Ia akan mengambil sedikit masa namun pada masa kini ada isu yang membelenggu kedudukan Najib. Ini ekoran beberapa komen dibuat Obama yang mengecewakan banyak pihak.

Sebagai contoh kita melihat campur tangan Obama  melalui program dan komen-komen selepas beliau  menemui beberapa NGO yang pro pembangkang.

Seperkara lagi langkah Obama mengulas isu Anwar walaupun enggan menemui tokoh itu sangat bermakna buat mereka.

Pembangkang lega mengetahui tokoh mereka tidak dilupakan. Pembangkang gembira media Barat yang kecewa Obama tidak menemui Anwar. Semua ini bakal dipermodalkan besar-besaran.

Seperti disebut tadi walaupun lawatan ini dilihat situasi win-win bagi kedua-dua pihak, Obama akur akan misi lawatan - ada kegagalan. AS tidak boleh tunduk kepada Malaysia semata-mata  ia mahu sesuatu daripada kita.  AS mahukan kita sign TPPA tetapi kita ada sebab menolaknya.

Ini kerana  TPPA  bukan gagasan memihak kita. Ia seperti diulas Dr Mahathir  sehari selepas Obama ke Filipina, “saya fikir TPPA itu lebih baik tidak ada. Tapi tidak tahu kerajaan hendak tandatangan atau tidak . . . tidak ada guna.”

Obama tidak harus kecewa kerana di Filipina ada peluang lain  menunggunya. Di sana termeterai perjanjian membenarkan AS menempatkan kelengkapan ketenteraan dan penambahan  anggotanya. Filipina mengetepikan tentangan rakyatnya serta kritikan China bagi memperbaharui hubungan dengan AS .

Kita tidak hairan jika ada pihak melihat lawatan Obama dan komen-komen mengenai Anwar serta hak asasi rakyat suatu signal yang tidak baik pada Najib. Mereka akan menggambarkan hubungan Najib dan Obama tidak lebih seperti hubungan Najib dan Lee Hsien Loong dari Singapura. Mereka akan menggambarkan Anwar masih lagi rakan setia AS.

Walau apa pun komen hakikatnya Obama tidak akan melawat Malaysia jika ia mahu menyelamatkan politik Anwar. Bukankah lebih baik menggantung hubungan AS-Malaysia dengan memilih Singapura ataupun Thailand bukan Malaysia seperti pernah berlaku?

Pada ketika kuasa-kuasa besar  seperti Rusia dan China bangkit dari tidur dan mula menyusun strategi, AS pula tidak dapat tidur nyenyak. Ia ketara  bimbang, sekali gus memerlukan lebih ramai rakan baharu termasuk Malaysia .

Najib pula yang berdepan keributan dalam karier memanfaat hasil lawatan Obama lebih-lebih lagi apabila presiden AS itu menganggapnya sebagai reformer. Komen ini seperti satu sindiran tajam buat gerakan reformasi serta tokoh di belakangnya.

Sementara Anwar dan reformasi ibarat sejarah basi buat Obama dan AS, Najib kini sudah menjadi  rakan baharu White House. Soalnya jika kita sudah ada reformer perlu apa lagi reformasi?