SUKAR bagi Najib Razak meyakinkan umum dia berkecuali dalam pemilihan Umno Oktober ini, khususnya melibatkan jawatan naib-naib presiden. Di sebalik penafian pelbagai pihak, realitinya itulah yang berlaku.

Pun demikian, sepotong ayatnya dibuat di New York menjadi ibarat pelampung bagi tujuan menjarakkan dirinya dikait dengan mana-mana calon. Justeru sama ada calon naib itu sepupunya, rakan rapat dan faktor Sabah, Najib mahu memastikan hal ini benar-benar difahami yakni dia berkecuali. Najib memberikan gambaran perwakilan berhak menentukan siapa kesukaan mereka berasas faktor prestasi tanpa dipandu oleh restu daripada beliau.

Bukan saja sokongan Najib, dengan mengait mereka mendapat sokongan atau endorsement daripada Najib atau sesiapa sahaja, ia memberi mereka kelebihan. Dalam bahasa permainan golf ia disebut sebagai “handicap”.

Najib mungkin tidak terlibat secara langsung tetapi melalui tangan-tangan tersembunyi, ada pihak menjaja tentang keinginan Najib melihat status quo ataupun dikekalkan tiga naib presiden yang ada - Ahmad Zahid Hamidi, Hishammuddin Hussein dan Shafie Apdal.

Kesimpulannya lebih kurang tiga lagi calon, Mukhriz Mahathir, Mohd Isa Samad dan Mohd Ali Rustam seperti dalam oven politik yang panas. Maknanya peluang mereka ‘masak’.

Kita lihat sejarah Umno sejak zaman Tunku Abdul Rahman lagi amalan menaja calon sesuatu yang kebiasaan. Ia bukan kesalahan. Dalam zaman lebih moden kita lihat pengalaman Muhyiddin Yassin yang melalui naik turun sehingga hampir-hampir terpinggir. Mantan MB Johor itu pernah menduduki tempat teratas calon naib presiden pada 1993 kerana sokongan Anwar Ibrahim yang ketika itu sudah menyusun dirinya untuk menjadi timbalan presiden, sekali gus menjadi power broker Umno.

Namun bintang Muhyiddin kembali pudar ibarat bintang tembaga yang dinafikan  ‘Brasso’. Ketika merasmikan Perhimpunan Agung Umno pada 1996, Dr Mahathir    membelasah "Seorang MB” yang didakwanya sebagai penyumbang kepada rasuah dan kronisme. Sebaik undian selesai Muhyiddin yang memperoleh nombor satu pada 1993 jatuh ke tempat keenam langsung hilang jawatan naib presiden.

Memang perwakilan bijak membaca kiasan pemimpin. Ucapan Dr Mahathir dilihat tidak membantu Muhyiddin dan hubungan mereka agak dingin sejak itu. Begitulah kesan sokongan atau kritikan presiden pada mana-mana calon.

Sebelum Najib ke New York isu ini menjadi bualan ahli-ahli di peringkat akar umbi. Kenyataan Najib sangat relevan bagi menepis sebarang tanggapan lebih-lebih lagi Najib tentu tidak mahu dilihat tidak menyokong Mukhriz.
 
Namun bagi sesetengahnya kenyataan Najib ini yang dibuat di New York sehari selepas Dr Mahathir tampil mempertahankan anaknya ada makna dan implikasinya tersendiri. Ini gara-gara laporan majalah kewangan Britain, The Economists tentang Mukhriz dilihat sebagai ancaman buat Najib sekiranya terpilih naib presiden. Reaksi spontan Dr Mahathir kepada majalah itu dengan sindiran “di Malaysia, kita tidak mengamalkan budaya jahat itu iaitu menyingkirkan sesiapa.”

Kita tidak tahu apa yang difikir Najib berhubung laporan majalah berkenaan dan kenyataan balas Dr Mahathir tetapi walau kenyataannya ringkas, mantan perdana menteri itu meletakkan semula Mukhriz pada landasan.

 Berbalik pasal penafian Najib kita lihat ada yang tersirat. Sama ada penafian Najib satu lagi kenyataan biasa politik atau ada elemen lain terpulang kepada tafsiran semua. Lazimnya penafian punyai maksud tersirat.

Tafsiran dan analisis mengenai perjalanan calon-calon naib presiden adalah pelbagai dan dilakukan dari pelbagai sudut. Dalam pada Najib membuat penafian berkenaan, sudah ada pula pihak mengandaikan Najib berkemungkinan besar menyokong status quo sekiranya Mukhriz tidak ada dalam sifir berkenaan.

Namun dengan munculnya Mukhriz dalam perebutan naib presiden, ada yang menyifatkan tangan Najib agak terikat. Apa pun dia sudah tentu tidak mahu melukakan hati Dr Mahathir, iaitu mentornya.

Walaupun Najib sudah menafikan, kita tidak berasa satu kesalahan jika presiden Umno mempunyai sebab menyokong mana-mana calon. Tanpa sokongan atau biar calon itu naik sendiri ia mendedahkan calon kepada sepak terajang politik tidak sihat dan berpanjangan. Kadangkala calon yang baik sukar timbul dalam politik Umno berbanding mereka yang dilihat sebaliknya. Mungkinkah ini menyebabkan Dr Mahathir dan Najib ada sebab untuk mencatur calon-calon pilihan mereka?