KALAU ibarat menunggu buah durian, kini popular dengan klon atau jenama  Musang King, ia sudah lama gugur ke bumi atau dengan mudah dapat ditemui. Buah durian tidak susah hendak dicari walau dalam belukar kerana bau serta saiznya tidak seperti buah ciku atau rambai.

Tetapi kita tidak bercerita perihal buah durian. Kita bercakap mengenai MH370 yang hilang sejak dua minggu lalu. MH370 - Boeing 777 adalah sebuah pesawat komersial udara serba canggih keluaran syarikat Boeing di Amerika Syarikat.

Untuk rekod kilang Boeing di AS itu adalah dianggap state of the art serta mengeluarkan pesawat paling canggih di dunia. Hakikatnya misteri kehilangan pesawat ini menyebabkan 26 buah negara terlibat dalam pencarianmembabitkan aset canggih seperti, kapal, pesawat, radar dan satelit.

Di KLIA kini terdapat puluhan wartawan media cetak dan elektronik dari seluruh dunia berkampung untuk membuat liputan. Bukan macam wartawan kita yang muda dan segak, mereka sudah berusia serta jauh lebih berpengalaman.

Bukan menjadi niat kita buat tuduhan kosong tetapi hakikatnya wartawan asing khusus nonmuslim bukan macam wartawan tempatan. Sebahagian mereka mempunyai agenda peribadi.

Lagi panas lebih baik kerana selain melariskan jualan akhbar atau meningkatkan rating, laporan mereka boleh menjejas imej kita. Maka sebab itu kita dapati masuk minggu kedua, media asing seolah-olah tidak lagi takut dibenci  rakyat Malaysia dengan laporan mereka.

Laporan dibuat ikut apa ada di kepala berbekal maklumat daripada orang-orang mereka. Tuduhan bermula dengan pembabitan pembangkang dengan juruterbang yang mengenali Anwar Ibrahim. Malah media UK melaporkan pilot beberapa jam sebelum terbang berada di mahkamah menyaksikan perbicaraan Anwar dalam kes liwat. Anwar didapati bersalah dan dijatuh hukuman penjara lima tahun. 

Kebetulan pula tokoh PKR, Sivarasa juga dipetik mengesahkan pilot adalah ahli PKR. Bila timbul pesawat sengaja diterbangkan ke destinasi lain dari destinasi asal  (Beijing), media barat juga turut menuding jari ke arah juruterbang.

Beberapa hari lalu isu pilot ditenggelamkan cerita raja bomoh yang dapat perhatian hampir semua media barat. Ini gara-gara  penggunaan teropong, dua biji buah kelapa dan tikar terbang  sebagai usaha mencari MH370.
Malang media barat terlepas pandang program-program keagamaan rakyat seperti solat hajat, doa dan ucapan. 

Bagi anak perempuan pilot itu, Aishah Zaharie, yang baharu pulang dari Australia setelah menetap di sana sejak 2010, spekulasi mengenai ayahnya sebagai “satu penderitaan dan kesakitan terhadap keluarga”.  Katanya lagi:

"Apa yang media antarabangsa tulis tentang Kapten Zaharie tidak benar [dan] tidak masuk akal. Dia seorang lelaki yang baik dan bapa penyayang kepada anak-anaknya.”. 

Ironinya walau dikait dengan parti itu, PKR enggan menyaman media barat berbanding seperti mereka lazim lakukan terhadap media tempatan.

Bertambah ironi Anwar muncul dalam CNN dengan kenyataan membidas kerajaan BN yang didakwanya mengaitkan dia dengan pilot berkenaan.

Kalau Anwar atau  pembangkang atau mereka yang pro puak itu baca laporan Daily Mail (UK), itulah laporannya. Sama ada kita suka atau sebaliknya kita tak boleh elak daripada menjadi mangsa laporan  media asing.

Pengalaman ini dilalui semua negara Islam yang dilihat anti-Israel. Selagi MH370 tidak ditemui, kita sepatutnya tidak berhentidaripada berdoa. Sama ada melalui solat hajat berjemaah atau secara  sendirian, lebih baik dari berFB
dengan menganyam fitnah.

Dalam konteks sekarang tidak ada perkataan menang atau kalah dalam isu ini. Selagi  pesawat ini tidak ditemui kita akan terus menjadi bahan kritikan dan perhatian media luar. Tak perlu pula rakyat sendiri ikut menari rentak media barat dengan menyalahkan kerajaan sematamata mereka undi Pakatan Rakyat .

Seperkara lagi terdapat keluarga penumpang dari China melempar botol air pada pegawai kedutaan di Beijing kecewa kerana gagal mendapat maklumat. Hari ini kita membaca pula mereka lancar mogok lapar.

Sikap begini menunjukkan mereka terlalu emosional. Kalau begitu elok biarkan saja mereka berpuasa lapar kerana mungkin ini boleh meredakan kemarahan serta dapat menjadi iktibar pada warga dunia bahawa kalau seluruh dunia gagal memberikan jawapan perihal  kehilangan MH370, masakan Malaysia yang kerdil ada jawapan. 

Justeru biarlah kotak hitam menjawab  sama ada MH370 dirampas ataupun kerosakan  sistem komputer pesawat dan sebagainya.