Atas sebab yang hanya diketahui mereka sahaja, pemimpin politik Malaysia amat gemar mencipta akronim. Bermula dari 3M berkaitan dengan metodologi pendidikan dan diperkenalkan beberapa dekad lalu, ia diikuti pula oleh kepimpinan 2M, dan hari ini pula kita diperdengarkan dengan 1M.

Huruf M nampaknya begitu popular. Mungkin secara kebetulan ia adalah huruf pertama bagi ejaan negara ini. Walaupun 1M adalah akronim rasmi yang kita dengar setiap masa dan hari, tetapi di sebalik itu ia diikuti oleh kepimpinan 2M.

Kepimpinan 2M atau merujuk kepada Mohd Najib dan Muhyiddin bukan sebuah cerita mengenai sepasang kembar siam yang perlu menjalani pembedahan. Kepimpinan 2M kali ini juga amat berbeza dengan kepimpinan 2M masa lalu yang memaparkan Mahathir-Musa.  

2M masa lalu seolah-olah disogokkan oleh Musa bagi memberikan kesan umum bahawa beliau adalah komponen utama kepimpinan Dr Mahathir. Dalam perkataan lain, kepimpinan Dr M tidak boleh wujud dengan sendirinya tanpa timbalannya. Setidak-tidaknya begitulah yang dimahukan oleh Musa.

2M hari ini berlainan dari segi bentuk dan struktur. Ia bukan akronim rasmi atau separa-rasmi yang dicipta, sama ada oleh Mohd Najib Tun Razak atau Muhyiddin Yassin, sebaliknya dicipta oleh rakyat Malaysia secara umum bagi memberikan endorsement kepada pasukan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri yang cukup serasi dan complimentary atau saling memenuhi.

Resipi kejayaan yang dilihat ialah, sementara Perdana Menteri melakukan kerja memperbetulkan “alignment” dalam kerajaan dan parti, Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin selain memberikan sokongan, pada masa sama bersungguh-sungguh membantu bosnya.

Maka kalau ibarat sebuah perahu, ia hanya ada seorang nakhoda, tetapi kesetiaan pembantu nakhoda memastikan perahu itu selain tidak tenggelam dipikul ombak, ia selamat ke destinasi.

Namun, realitinya Najib bukanlah nakhoda sebuah perahu kecil, tetapi bertanggungjawab mengemudi kapal-kapal besar dalam bentuk Umno, BN dan juga Malaysia. Ada ketika tertentu, ombak dihadapi hampir sebesar tsunami.

Kalau tidak betul-betul, dan kalau pembantu nakhoda juga mahu berlagak macam nakhoda, bukan sahaja seluruh kapal menjadi haru-biru, berkemungkinan besar kapal tenggelam.

Begitulah yang hampir berlaku ke atas Umno dan BN pada April 2008. Mujur nakhoda baru cekap dan cukup berpengalaman serta memperoleh bantuan pembantu nakhoda yang lebih mementingkan tentang menyelamatkan kapal daripada sibuk dengan cita-cita untuk turut sama menjadi nakhoda.

Bermula Selasa hinggalah Sabtu, Umno mengadakan Perhimpunan Agong Ke-66, perhimpunan terakhir sebelum PRU13. Bagi Najib dan Muhyiddin, perhimpunan kali ini dan PRU13 adalah jauh lebih penting daripada pemilihan semula ke jawatan masing-masing tahun depan.

Masa depan mereka dalam parti dan kerajaan banyak bergantung kepada prestasi BN, khususnya Umno dalam pilihan raya kali ini. Satu memutuskan apa yang perlu dilakukan dan satu lagi melaksanakan apa telah diputuskan.

Empat tahun Najib menjadi PM banyak perubahan dibawa. Di tengah-tengah kebimbangan ekonomi Barat lumpuh, pertumbuhan ekonomi kita pada paras lega. Kadar pengangguran kita jauh lebih rendah dari Amerika Syarikat ataupun UK. Justeru, kemenangan saja dalam PRU13 membuktikan rancangan Najib membangunkan Malaysia dari sebuah negara berpendapatan sederhana tinggi ke tinggi bakal menjadi kenyataan.

Justeru, rata-rata rakyat Malaysia melihat kepimpinan 2M ini dari perspektif yang baru dan sama sekali berbeza dengan 2M terdahulu. Ia merupakan keserasian padu dengan kefahaman jitu dipihak masing-masing – nombor satu berperanan membuat keputusan dan nombor dua berperanan memikul tanggungjawab melaksanakan setiap keputusan itu sebagaimana dimahukan oleh nombor satu.

Inilah kekuatan sebenar 2M. Kekuatan ini tidak pernah wujud pada zaman 2M lama kerana Dr Mahathir agak kurang bernasib baik dalam memilih timbalannya.

Sama ada mereka mahu menonjolkan diri setara dengan Perdana Menteri atau mempunyai cita-cita menjadi Perdana Menteri lalu menyusun strategi untuk menjatuhkan PM. Tidak siapa dapat melupakan Musa dalam konteks ini dan kemudian Anwar Ibrahim, walaupun nama beliau tidak bermula dengan huruf M.

Sementara kekuatan unik ini akan memperbetulkan kepimpinan masa lalu dan membuka laluan ke arah Umno lebih kukuh serta Malaysia yang lebih dinamik, ia juga sekali gus berperanan melemahkan pembangkang secara berterusan dan akhirnya menguburkan segala mimpi Putrajaya mereka.