ORANG baharu atau pemimpin baharu dilantik lazimnya ghairah dengan idea baharu. Ia ibarat penyapu baharu yang sepatutnya jauh lebih berkesan dari yang lama.

Dengan barisan kepimpinan baharu, MCA yang masih dihantui tsunami PRU12 dan seterusnya melarat ke PRU13 dikatakan akan dapat memperbetulkan hal ini serta memulihkan sokongan masyarakat Cina ke atas parti tersebut.

Tugas ini kini terpikul di bahu Liow Tiong Lai, seorang tokoh dinamik dan jauh lebih muda yang dipilih MCA menjadi pemimpin baharu menggantikan Chua Soi Lek. Harapan Umno pula ialah MCA boleh bangun semula dari mimpi yang menggusarkan.

Tetapi wawasan baharu tidak bererti MCA sudah pulih atau boleh dipulihkan. Usaha memulih semula MCA bukan tugas mudah. Ia tidak sama seperti memulihkan sebuah basikal yang rosak.

Begitu pun nampaknya hala tuju MCA di bawah Tiong Lai bermula dengan idealisme pemimpin berbanding idealisme parti. Tiong Lai dengan barisan baharu nampaknya lebih tertarik memperjuangkan kerusi Kabinet.

Usaha ke arah ini selain menjadi dasar MCA di bawahnya, ia juga menjadi perkara penting rakan-rakan yang mahu kembali memegang pelbagai jawatan kerajaan. Tanpa jawatan seolah-olah mereka tak mampu membantu BN secara lebih berkesan.

Dengan itu Tiong Lai menyimpang daripada Soi Lek, mantan Presiden MCA yang mengambil pendirian berlainan. MCA ketika itu memilih menolak semua pelantikan jawatan Kabinet termasuk juga Exco di peringkat negeri kerana kecewa dengan prestasi buruk dalam pilihan raya lalu.

Pendek kata majoriti perwakilan MCA berpendirian sama dengan Soi Lek dalam aspek ini. Soi Lek seorang yang berpendirian tegas, dia percaya sesuatu keputusan atau dasar harus dipegang. Dengan demikian menyedari mungkin kecewa dengan sikap setengah daripada mereka, beliau memilih tidak mempertahankan jawatan lama.

Tetapi kumpulan Tiong Lai nampak menentang idea ini. Maklum saja betapa sukar jadi “back bencher” setelah sudah biasa menjadi menteri atau timbalan menteri. Kita harus ingat jadi menteri atau timbalannya mempunyai banyak keistimewaan.

MCA seperti kita sedia maklum adalah rakan sejati Umno sejak zaman menuntut kemerdekaan lagi. Pengundi Cina yang menyokong MCA sejak pilihan raya pertama menyokong MCA dan Umno dalam Perikatan dulu, kini dikenali Barisan Nasional.

Masalah utama MCA sejak tiga dekad lalu ialah ia berdepan pelbagai krisis kerana masing-masing mahu menonjolkan puak dan pemimpin masing-masing sebagai presiden. MCA pernah diharamkan tetapi pulih semula.

Agak sedih MCA sudah tidak lagi dilihat parti yang memperjuangkan nasib masyarakat Cina. Kuasa dan jawatan adalah diutamakan sebagaimana berlaku tiga dekad lalu dan lebih tepat hari ini.

Kita juga dapati MCA dan DAP tidak jauh berbeza sama ada dari segi perjuangan ataupun matlamatnya. Kedua-duanya meletakan kaum mengatasi perjuangan jauh lebih penting. Kalau terdapat perbezaan pun, MCA buat ikut “procedure” manakala DAP menjerit ibarat anjing menyalak bukit.

Bagaimanapun DAP kini tidak lagi bising kerana mereka menguasai Pulau Pinang dan Selangor. Kalau terdapat bunyi bising ia dibuat di Kedah ataupun membantah dasar di Kelantan.

Tiong Lai dan timbalannya harus lihat sejarah terlebih dulu sebelum mencari satu lagi helah untuk kembali ke dalam kerajaan. Kita harus akui pengundi Cina tidak menyokong MCA dan BN kerana mereka tidak melihat MCA sebagai parti macam yang pernah mereka kenali.

Dulu mereka mengutamakan rakyat dan pengundi Cina di peringkat akar umbi tapi sejak beberapa tahun kebelakangan ini selain mereka sibuk bercakaran dan berpuak-puak serta mengutamakan jawatan dan kedudukan, MCA tak banyak berubah.

Klise bahawa MCA parti yang berjuang untuk kelompok elite serta kaum peniaga sukar ditepis begitu saja. Imej parti dikait dengan tauke masih kuat di hati pengundi Cina.

Langkah Soi Lek “menghukum” MCA bagi menyedarkan para pemimpin di pelbagai peringkat bahawa mereka ditolak bangsa sendiri kerana sikap tersebut.

Sementara kita memuji dasar Soi Lek, ramai berharap Tiong Lai belajar menjadi pemimpin tanpa jawatan dalam kerajaan supaya dia lebih memahami masalah yang menimpa keturunannya. MCA harus terlebih dulu keluar dari imej parti tauke jika ia mahu menjadi parti rakyat macam DAP.

Di tengah-tengah kebencian rakyat melihat DAP yang mengolok-olokkan demokrasi serta sikap diktator yang dipamerkan sebilangan pemimpinnya, MCA harus kembali menjadi parti yang mengutamakan nasib orang Cina bukan kumpulan peniaga Cina.