SEWAKTU hadiri sebuah majlis perkahwinan di Pulau Pinang minggu lalu, seorang sahabat bercerita tentang makan nasi kandar di sebuah restoran di Georgetown. Walaupun dia menjamu selera di restoran lain, minda saya tiba-tiba teringat nasi kandar ‘Line Clear’ yang sudah sinonim kepada Pulau Pinang.

Pulau Pinang bukan negeri asing bagi saya. Selain ada saudara-mara yang tinggal di sini, saya memulakan kerjaya sebagai wartawan di akhbar Bintang Timur yang berpangkalan di sana.

Tapi entah kenapa tatkala melintasi Jambatan Pulau Pinang ke Kompleks Tabung Haji di Bayan Lepas, minda saya tiba-tiba semacam tak ‘clear’.

Mana tidaknya, kecuali Georgetown, hampir semua daerah di pulau ini mempunyai nama Melayu. Bayan Lepas mungkin dinamakan sedemikian kerana ada orang yang burung bayannya terlepas dari tangan lalu terbang menghala Laut Andaman.

Dan yang terlepas dari tangan ialah identiti orang Melayu, penduduk asal pulau ini yang hampir hilang segala-galanya.

Kalau ada pun yang tinggal hanyalah di Balik Pulau. Namanya sahaja, sudah menunjukkan betapa penempatan orang Melayu hanya layak dikekalkan di sebuah kawasan paling belakang-mundur dan tidak ada harapan untuk maju.

Dua puluh tahun dulu, saya pernah ditugaskan untuk menghasilkan sebuah buku berjudul The Malays of Penang menceritakan keadaan dan sejarah orang Melayu dari sudut bukan politik.

Ketika itu Tan Sri Koh Tsu Koon menjadi Ketua Menteri menggantikan Tun Dr Lim Chong Eu yang bersara. Namun, projek buku tersebut terbengkalai.

Apa pun parti Gerakan yang membawa panji BN terus kuat ketika itu dan disokong oleh Umno. Kesediaan Umno menyokong Gerakan adalah atas semangat setia kawan dan berasaskan persefahaman dalam BN walaupun dari semasa ke semasa keadaan orang Melayu dilihat terus terhimpit baik dari segi sosial dan ekonomi.

Barangkali sewaktu pentadbiran Chong Eu, orang Melayu merasakan pengasas parti Gerakan itu sudah agak berusia untuk mempunyai idea segar dalam membuat sebarang percubaan memperbaiki nasib dan keadaan orang Melayu Pulau Pinang. Lalu, harapan disandarkan kepada penggantinya Tsu Koon yang lebih petah berbahasa Melayu dan tampak lebih muda, bertenaga dan kreatif.

Namun harapan dan jangkaan orang Melayu Pulau Pinang terus meleset. Akhirnya berbekalkan rasa tidak puas hati, maka buat pertama kalinya, Pulau Mutiara itu jatuh ke tangan pembangkang.

Saya masih ingat tatkala penyokong Umno memberikan sokongan kuat kepada BN, bukan sahaja kedudukan Gerakan tidak tergugat, malah MCA juga.

Ketika itu Ketua Menteri Pulau Pinang kini, Lim Guan Eng masih muda dan masih berhingus dalam politik. Selantang mana sekalipun bapanya, Lim Kit Siang bersama-sama Karpal Singh dalam melaungkan projek Tanjung 1 dan kemudiannya diikuti dengan projek Tanjung 2, namun cita-cita untuk menawan Pulau Pinang tidak menjadi kenyataan.

Ketika itu, orang Melayu terus memberikan undi mereka kepada calon-calon dari kedua-dua parti ini atas kepercayaan mereka adalah dari BN dan lambat laun mereka akan tampil untuk menyelesaikan masalah orang Melayu Pulau Pinang.

Justeru, jika BN yang rapat dengan orang Melayu berbanding DAP gagal melakukan sesuatu, maka apakah yang berada dalam simpanan untuk orang Melayu di bawah DAP?.

Sejak memerintah Pulau Pinang, kerajaan Guan Eng sedikit sebanyak melepaskan batuk di tangga untuk menunjukkan betapa kerajaannya mesra-Melayu dan mesra-Islam. Namun persoalannya apakah ini dilakukan secara ikhlas atau sebagai strategi halus bagi terus menambat hati orang Melayu mengetepikan Umno dan terus menyokong DAP dan PKR?

Sejak Merdeka, Pulau Pinang diketuai oleh pemimpin bukan-Melayu bermula dari Tan Sri Wong Pow Nee, dan diikuti dengan Lim Chong Eu, Tsu Koon dan kini Guan Eng.

Maknanya sudah ada dua Lim yang memerintah negeri pulau ini. Walaupun Lim Chong Eu mungkin tidak mempunyai tali persaudaraan dengan Lim Kit Siang melainkan pertalian puak, namun sebuah dinasti bukan Melayu seolah-olah sudah terbina sejak Merdeka.

Hal seperti ini adalah tidak sihat untuk politik Malaysia, mencambahkan arus bawahan perkauman dan menghimpit anak bumi asal Pulau Pinang.

Mungkin sudah sampai masanya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengkaji semula persefahaman yang dibuat oleh bapanya selepas Pilihan Raya Umum 1969. Jika tidak, maka ‘line clear’ untuk Pulau Pinang menjadi sebuah pemerintahan dinasti sebagaimana pemerintahan dinasti di China purba. Bezanya di China dulu tidak ada Dinasti Lim, atau Dinasti Wong atau Dinasti Koh.