SUDAH dua kali Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berdepan cabaran paling getir dalam hidup melibatkan kedudukannya sebagai pemimpin utama dalam sayap Umno. Kedudukan Ketua Pergerakan Wanita Umno itu sendiri boleh dikatakan tidaklah seberapa masalahnya berbanding hal-hal lain dalam politik dan di luar skop Wanita.

Sebagai seorang lulusan undang-undang dari luar negara dan kemudian menceburi sektor korporat sejak 1986 lagi, kemunculannya dalam bidang politik pada tahun 1980an secara relatifnya agak mudah. Ketika itu wanita Umno berdepan soal memilih siapa - Dr Mahathir ataupun Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Presiden Umno-menyaksikan satu fasa cukup mencabar dalam sejarah Umno. Dengan Shahrizat berada dalam Team A, kumpulan menyokong Dr Mahathir sebagai pasukan the winning team memberinya kelebihan.

Rakan-rakan dalam Team B yang juga mempamer kualiti sebagai pemimpin memperoleh pelajaran berfaedah apabila mereka terpinggir bersama-sama pemimpin seperti Ku Li dan Musa Hitam. Walaupun seperti kata pepatah, biduk lalu kiambang bertaut, ramai pemimpin atau tokoh Wanita dalam Team B membawa haluan tersendiri. 

Dengan kekosongan ini, Shahrizat dan beberapa tokoh dilihat pelapis ketika itu  dengan mudah tampil mengisi beberapa jawatan penting. 

Orang yang instrumental membuka peluang tentulah Tun Dr Mahathir Mohamed yang pada waktu itu belum bersara sebagai PM ke-4. Sejak 2001 sehingga 2008 di mana pada 2004 Shahrizat dilantik menteri penuh di kementerian yang baru diperkenalkan iaitu Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga.

Kita lihat cabaran pertama ialah namanya dicalon menentang mentornya Rafidah Aziz untuk jawatan ketua pergerakan berkenaan pada 2009. Salah satu faktor mempengaruhi Shahrizat bersetuju menentang Rafidah ialah rakan karibnya Datuk Kamelia Ibrahim bertanding naib ketua - seolah-olah menguji Shahrizat memilih antara kekal nombor dua atau tidak. Ia juga seolah-olah satu perangkap dipasang rakannya itu.

Shahrizat menewaskan Rafidah di tengah-tengah teriakan penderhaka kerana perkataan kompromi seperti tidak wujud dalam kamus politiknya.

Shahrizat dan masalah seperti seiring apabila pada 2011 dia dan keluarganya berdepan tuduhan dari musuh politik konon suaminya terbabit dalam siasatan SPRM berhubung penyelewengan dalam NFC iaitu sebuah perniagaan berasaskan lembu bertaraf mega. Kontroversinya kerana dana ratusan juta disediakan kerajaan. 

Imej Shahrizat turut tercalar dengan laporan media membawa pengertian pihak atasan seolah-olah memberi kelonggaran SPRM bertindak sedangkan pada ketika itu dia masih merupakan seorang menteri dan Ketua Wanita Umno. Media juga menghukumnya melalui laporan dan tulisan yang penuh warna prasangka.

Ini menyebabkan pada satu peringkat kita dapati Wanita Umno berada 50-50 untuk berdiri di belakangnya ataupun meminta beliau berundur.

Walaupun krisis NFC selesai dengan tidak memudaratkan Umno mahupun Shahrizat pada dasarnya, namun kita lihat kesannya. Shahrizat bertindak melepaskan jawatan menteri yang bertanggungjawab hal-hal wanita sebelum PRU13 yang baru lalu mengumumkan  tidak menjadi calon BN di kawasan lamanya, Lembah Pantai. Shahrizat adalah salah seorang daripada
beberapa menteri yang tumbang semasa PRU12, kedudukannya sebagai menteri terjejas.

Najib memilihnya dengan melantik ke jawatan senator sebelum diberi semula tugas lama. Cabaran terakhir Shahrizat menjelang pemilihan Wanita Umno pada 12 Oktober serentak pemilihan Puteri dan Pemuda Umno menyaksikan SPRM sekali lagi mengesahkan siasatan ke atas bekas Setiausaha Politiknya Datuk Suhaimi Ibrahim berhubung kes penyelewengan program 1AZAM. Selain kira-kira 10 kereta mewah dirampas, SPRM juga menyiasat beberapa pegawai kanan di kementerian berkenaan. Ia mengemparkan dunia politik tanah air sekali lagi seperti siasatan pertama dulu ke atas NFC tempoh hari.

Fokus siasatan walaupun kepada pihak lain, musuh politiknya sudah pun mempunyai tafsiran mereka. Perwakilan wanita tentu akan dihidang isu-isu seumpama ini. Selagi SPRM membiarkan isu ini tergantung, umum terutama pembangkang mempunyai sebab untuk memandang serong kepada Ketua Pergerakan Wanita ini. Secara relatifnya isu 1AZAM jauh lebih kecil pada skala penyiasatan berbanding NFC namun isu ini sudah dipermodalkan menjelang pemilihan ini kelak.

Begitu pun, kita perlu ingat, Shahrizat sudah melalui pelbagai cabaran yang mana cabaran terbaru tidak akan ganggu gugat peluang untuk kekal memimpin Wanita Umno sekali lagi.