AKTIVITI, kajian, telitian, dan kerja lapangan Persatuan Sains amat banyak untuk diteroka. Persekitaran pelajar, pokok-pokok, haiwan, air, cuaca dan tanah terkandung elemen-elemen sains. Nilai pada sains ialah sesuatu itu terjadi kerana dicipta bukan semula jadi.

Dalam surah al-Mukminun ayat 12-14 dengan jelas menyatakan hubungan tanah kering (turap) dengan kejadian manusia. Kajian boleh dibuat tentang kaitan tanah terhadap tumbuh-tumbuhan.

Hubungan tanah dengan zat pada daun, buah, kulit dan akar yang diperlukan oleh manusia dalam kehidupan. Ia adalah sumber rahmah dan nikmah yang tidak terhitung khasiatnya. Tanpanya manusia akan mati.

Kajian mengenai air umpamanya tidak dikaji dalam konteks APA saja. Konteks APA membawa maksud saintifik gabungan hidrogen dan oksigen.

Tetapi mengkaji MENGAPA air ia merujuk kepada al-Quran bahawa “air itu adalah sumber kehidupan”. Ia menghubungkan kajian air sebagai sumber rahmah daripada ALLAH yang amat bernilai kepada manusia, pokok-pokok dan makhluk yang lain.

Hal yang sama boleh berlaku terhadap Persatuan Agama Islam yang mengkaji tentang anutan dan amalan orang Islam dalam banyak sudut dan lapangan. Mengapa orang-orang Islam hanya menghafaz ayat-ayat al-Quran tetapi tidak ramai mengerti maknanya.

Orang Islam mengerjakan solat tetapi ayat-ayat yang dibaca tidak difahami.

Mengapa orang Melayu umpamanya suka kepada khurafat dan ajaran sesat. Islam bagi mereka adalah talian keturunan bukannya cara hidup. Berlaku campur-baur antara adat dan budaya dalam beragama yang menyebabkan ketidakjelasan dalam aqidah dan ibadah terjadi.

Kaedah berdukun dan berbomoh sering dikaitkan dengan kaedah yang menyeleweng. Hal-hal seperti ini boleh dikaji dan boleh menyedarkan para pelajar betapa Islam yang dianut menuntut pemurnian.

Contoh-contoh yang diberi dalam kurikulum kegiatan kokurikulum di atas adalah pemikiran awal mengenai kegiatan kokurikular yang perlu disusun secara komprehensif seolah-olah ia suatu subjek atau disiplin yang boleh diukur hasilnya.

Catatan menerusi data dan fakta, kerja lapangan yang disertakan dengan laporan, laporan itu dipersembahkan di hadapan panel guru kokurikulum dan ia dikaitkan dengan sistem nilai, ia amat berguna membentuk kefahaman dan pemikiran pelajar terhadap kerja lapangan yang bakal membina tradisi kajian, penelitian yang bakal membentuk watak penyelidik berwibawa suatu ketika nanti.

Pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah dikuti dengan aktiviti lapangan di luar bilik darjah menjadikan kefahaman terhadap subjek yang diajar lebih baik.

Sekiranya pendekatan ini dapat diperkenalkan dengan perancangan kurikulum yang baik, kualiti guru yang membantu dan kaedah kerja lapangan dibekalkan, penyusunan jadual yang seimbang, manual yang memberikan pedoman dan arah kualiti pelajar yang bakal lahir dalam sistem pendidikan kita akan lebih tinggi mutunya.

Sistem pendidikan di Malaysia tidak boleh mengelak supaya transformasi berlaku. Tidak saja kurikulum yang diajar harus diteliti semula supaya relevan dengan zaman dan tidak mengurangi asas-asas fundamental, kualiti guru yang mampu membentuk kekuatan minda dan watak pelajar, asas ekstra kurikular juga harus disusun kembali dan corak pengukuran pencapaian pelajar harus disemak semula.

Matlamat akhirnya ialah untuk melahirkan watak seimbang dan harmonis seperti yang dinyatakan oleh Falsafah Pendidikan Kebangsaan dalam sistem pendidikan kita.

Dalam realiti pendidikan negara ada tiga komponen pendidikan yang harus diberi perhatian dalam konteks transformasi. Pertama pendidikan arus perdana yang sifatnya majmuk yang kena mengambil kira faktor luar negara, faktor setempat dan faktor acuan agama atau nilai.

Faktor kedua, ialah faktor pendidikan Islam yang sebahagian besarnya masih tradisional. Faktor ketiga ialah kelompok penggugat yang ingin keluar dari aliran kebangsaan.

Pendidikan arus perdana masih menjadikan kokurikular sebagai sesuatu yang perlu. Cuma kokurikular itu harus sifatnya transformatif yang membawa markah agak relatif banyak supaya pengajaran kokurikular dan ekstra kurikular yang bersifat substantif untuk menghasilkan pengembangan potensi terhadap bakat dan kebolehan menyeluruh.

Justeru faktor kokurikular yang tersusun baik amat perlu kepada para pelajar supaya bakat mereka tidak hanya diukur menerusi peperiksaan yang sifatnya mengingat, ulang kaji dan teoritikal tetapi memerlukan pencernaan kokurikular yang menampilkan bakat terserlah supaya ia memberikan asas “all-rounded personality” kepada para pelajar.