BERITA mengenai Muhyiddin Yassin hendak meletak jawatan Timbalan Perdana Menteri boleh dikategorikan satu lagi cerita panas. Cerita-cerita  begini popular dan mudah dipercayai umum. Contoh terdekat ialah kehilangan pesawat MH370 yang kini masih misteri. Ada yang percaya pesawat itu disorok.

Bagaimanapun penafian Muhyiddin berjaya menamatkan spekulasi itu tetapi kesannya terus dirasai. Dengan disusuli penjelasan  Perdana Menteri Najib Razak, keyakinan ahli Umno terhadap hubungan kedua-dua tokoh ini baik belaka dapat dipulihkan.

Berita peletakan jawatan TPM bukan saja menjejaskan kerajaan, malah menimbulkan persepsi iaitu Najib dan Muhyiddin tidak boleh lagi bekerjasama.
Bagi Najib, hubungan mereka berada dalam keadaan baik dan mengatakan berita tersebut adalah 'rekaan politik'. Kita kurang pasti motifnya tapi tidak menolak elemen melaga-laga atau dendam.

Bagaimanapun kita tidak boleh menyalahkan mereka yang terpengaruh. Cerita begini sedap didengar macam tiga bomoh yang mahu menjejaki MH370.

Sejarah khabar angin di negara ini bukan suatu yang baharu. Perbalahan antara Dr Mahathir Mohamad dan Musa Hitam juga bermula dengan khabar angin sebelum Musa secara drastik meletakkan jawatan TPM. Begitu juga Anwar Ibrahim dan Dr Mahathir dikatakan mula retak ekoran rancangan puak Anwar hendak menjatuhkan PM.

Akhirnya berita itu benar. Ia menyaksikan kemelut berpanjangan antara kedua-dua tokoh ini. Dan sejak itu seperti disebut tadi khabar angin tidak lagi dianggap betul.  Ia sudah jadi seperti bunyi guruh di langit sebelum hari hujan.

Secara amnya hubungan Muhyiddin dengan Najib sejak jadi TPM pada 2009 baik-baik belaka. Ia samalah macam gandingan Dr Mahathir-Musa pada peringkat awal. Malah kerjasama Najib dan timbalannya adalah resipi yang membuahkan kemenangan BN tempoh hari.                   
       
Ketika bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno pada 2009, Muhyiddin memperoleh sokongan padu daripada akar umbi serta rakyat kebanyakan. Beliau menang bergaya walau tanpa disokong Najib secara rasmi.

 Kebanyakan orang Johor mahu melihat tokoh berasal dari Muar ini meneruskan tradisi tokoh-tokoh sebelum itu. Dalam erti kata lain, jika sesuatu berlaku pada Najib maka beliau bakal menggalas tugas penting parti dan negara.

Justeru tiada siapa percaya satu lagi tokoh Johor bakal bergelar timbalan Najib ekoran peletakan jawatan Muhyiddin. Cerita hubungan dingin dua tokoh ini juga dianggap karut.

Kalaulah Muhyiddin ada impian nak jadi PM, itu perkara biasa. Musa Hitam dan Ku Li pernah menaruh minat ini tapi takdir tidak memihak mereka. Dalam konteks sama, Presiden Pas pun sama. Puaknya berpendapat melalui jawatan PM, perjuangan melaksanakan hudud dan pemerintahan lslam lebih mudah.

Kadangkala yang lebih-lebih bukan bos tapi penyokong. Perbuatan mereka menimbulkan ketegangan dalam parti sama ada menguntungkan bos atau sebaliknya dapat  dilihat dalam putaran sejarah.

Pada era Tunku Abdul Rahman lagi, konon timbalannya Tun Razak, tidak sabar-sabar hendak ambil alih jawatan. Tetapi terbukti hubungan mereka kekal sehingga apabila Tunku bersara beliau menyerah jawatan pada Razak. Tun Hussein Onn melalui apa yang dialami Tunku. Haji Sulaimen Palestin yang menentangnya bagi jawatan Presiden Umno dilihat proxy Dr Mahathir.

Dr Mahathir juga tidak terkecuali dilanda pelbagai political experiment. Beliau mempunyai empat timbalan sebelum yang terakhir, Pak Lah confirm jadi penggantinya. Pak Lah bernasib baik menjadi pengganti Dr Mahathir tetapi eranya sebagai perdana menteri diwarnai kritikan bekas bosnya. Ini gara-gara dasarnya mengkaji pelbagai dasar Dr Mahathir, termasuk menghentikan pelbagai projek yang diluluskan pada zaman sebelum itu.

Nasib dilalui Muhyiddin sudah dilalui beberapa TPM sebelum ini. Kini gilirannya mendepani persepsi negatif yang ditanam dengan tujuan yang kita sama-sama faham.

Bagi mereka yang membuat pelbagai andaian mereka terlupa faktor hubungan Najib dan Muhyiddin sepanjang enam tahun adalah baik-baik belaka. Tidak ada tanda-tanda Muhyiddin menyimpan hasrat melawat bosnya semata-mata bagi memenuhi impian menjadi perdana menteri.

Untuk menjadi perdana menteri secara logiknya, Muhyiddin perlu  menjadi Presiden Umno. Tak susah rebut saja jawatan nombor satu itu. Dengan imej Najib tercalar ekoran prestasi BN pada PRU 5 Mei lalu memberinya peluang keemasan.

Bukannya mengambil opsyen pertama, sebaliknya Muhyiddin memilih memberi laluan mudah pada Najib mengekalkan jawatan Presiden Umno. Melalui sokongan Najib pula memudahkan Muhyiddin mempertahankan jawatan disandang sejak 2009.

Pelbagai drama dipentaskan secara sedar atau di sebalik tabir menjadi perhatian. Sementara semua ini berlaku, harapan rakyat ialah apa yang menimpa Muhyiddin tempoh hari bukan satu lagi sandiwara atau sesuatu yang sedih menunggu di hujung terowong.