Hidup sebagai orang politik lebih-lebih lagi berjawatan penting dalam kerajaan dan bergelar menteri, tentu banyak cabaran. Rakyat mengharapkan orang penting atau VVIP ini tidak harus melakukan kesalahan, terutama membabitkan isu-isu moral.

Moral ceritanya antara orang politik dengan ular, bunuh orang politik dulu. Belit dan penyamaran ulat tak ke mana jika dibandingkan belit dan penyamaran orang politik, terutama spesies ‘pembangkang’.

Dalam dunia politik ada haiwan politik yang buas memperdagangkan apa saja seperti maklumat, malah jawatan demi memenuhi nafsu  golongan tertentu rakyat. Penggunaan maklumat, lebih-lebih lagi maklumat tidak tepat dan tidak berasas sewenang-wenangnya digunakan sebagai peluru dalam usaha menjatuhkan seseorang pemimpin kerajaan.

Lihat sahaja Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang baru tiga tahun setengah menjadi Menteri Besar Perak ke-11. Setiap gerak geri beliau diperhatikan oleh pembangkang dengan teliti.  Pantang ada isu, walau diketahui sebagai tidak benar, mereka akan guna semaksimum mungkin.

Sebuah portal berita online pro dan milik Pas baru-baru ini menuding serta menyiarkan berita kononnya Dr Zamry telah menjual Rumah Perak milik Kerajaan Negeri di Batu Ferringhi, Pulau Pinang. Pas dakwa banyak harta kerajaan dijual kerana Perak dilanda krisis kewangan. 
 
Lucunya sebaik melempar tuduhan mereka meminta penjelasan. Mereka berselindung di sebalik pertanyaan kerana takut dibayangi elemen fitnah.

Mereka barangkali mempelajari kaedah ini daripada Nizar Jamaluddin.  Dulu dia pun bukan main suka melempar tuduhan.  Lepas buat tuduhan, bertanya pula dan minta penjelasan benar atau tidak.

Berselindung di sebalik pertanyaan merupakan strategi Nizar bagi mengelak dari dituduh, sama ada di dalam atau di luar mahkamah. Sebagai contoh Nizar mendakwa Perdana Menteri  mengarahkan para panglima tentera melakukan kudeta sekiranya BN tewas dalam PRU ke-13. Walaupun ini cerita kartun, namun orang macam Nizar sanggup menjadikannya sebagai modal politik.

Dalam pada itu, tak tahulah kalau-kalau cerita MB Perak jual harta Kerajaan Negeri yang terletak di Pulau Pinang ini berakar umbi daripada Ketua Menteri Lim Guan Eng. Bagi kita, menuduh pun tidak, mengandai pun tidak. Kita pun bukan suka bab memandai buat cerita ini.

Tetapi apa yang sahih di Pulau Pinang, Datuk Dr Mansor Othman, Timbalan Ketua Menteri sedang bersilat dengan isu yang datang bukan daripada Umno. Ia adalah isu dalaman parti yang kemudian terdedah kepada pengetahuan umum apabila sebuah pita rakaman didedah.

Dalam rakaman itu, Dr Mansor dipetik mendakwa Ketua Menteri Lim Guan Eng seorang sombong dan bongkak dan tidak berniat baik terhadap PKR.

Isu dalaman ini tidak ada kena mengena dan tidak dicetuskan oleh Umno. Cuma apabila ia menjadi public knowledge, maka Umno suka atau tidak, sebagai parti bertanggungjawab terpaksa juga luahkan satu dua pandangan.

Soalnya  sama ada Dr Mansor perlu meletakkan jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang ataupun tidak, ia bukanlah isu yang mudah untuk dicari jalan keluar. Sebelum ini pun penjawat jawatan itu, Datuk Fairuz Khairuddin berdepan krisis sehingga ia kehilangan jawatan berkenaan dan akhirnya ambil keputusan meninggalkan PKR.

Justeru kalau strategi yang sama digunakan pihak tertentu untuk mengusir Mansor dari kerusi panas itu, maka ia kini semakin menghampiri kejayaan. Kini nasib Mansor hampir sama macam nasib Fairus.  Siapa agaknya yang sedang buat warm-up sekarang ini?

Walau apa pun dan dilihat dari sudut mana sekalipun seperti kata bahasa Inggeris, damage has been done. Benar seperti bunyi sebuah pepatah lama mengingatkan kita bahawa kerana pulut santan binasa, dan kerana mulut Mansor kini berada dalam keadaan terjerut leher dan masa depan politiknya. Umum kini melihat sejauh mana bos Mansor, Anwar Ibrahim akan tampil  untuk menyelesaikan kemelut membelenggu PKR negeri.

Seperti difahami, Anwar hanya berkokok di luar pulau apabila melibatkan isu-isu Umno dan sebagainya tapi bila isu itu menyentuh DAP, khususny Guan Eng, Anwar bertukar menjadi  macam lembu dicucuk hidung—takut dan terpaksa mengikut saja.

Anwar sedar pengaruhnya boleh terjejas dalam masyarakat Cina juga boleh merosot jika gagal mencari jalan keluar. Antara Guan Eng dan Mansor, pilihan Anwar untuk keluar dari kelemut tentu lebih berpihak kepada DAP. Maka Mansor terpaksalah jadi kambing korban seperti Fairuz.

Namun apa pun, terdedahnya  “Mansorgate” maka rakyat mulai menyedari PKR pun menganggap Ketua Menteri itu angkuh dan sombong. Apa yang diluahkan Mansor  adalah apa yang diutarakan rakyat Pulau Pinang sejak DAP mula berkuasa. Perbandingan yang kerap dibuat dengan gerakan dan Koh Tsu Koon kini menjadi seperti drama minggu yang diulang siarannya.

Tsu Koon orang Pulau Pinang yang memahami masalah rakyat dan negeri itu berbanding Guan Eng selaku pemimpin import. Rakyat negeri menerima Guan Eng kerana Anwar selaku Ketua Pakatan Rakyat. Tapi segala-galanya kini sudah menjadi ibarat seolah-olah Presiden Susilo Bambang Yudhoyono dipilih sebagai Presiden Amerika Syarikat.