CERITA dongeng memang best. Katak yang terlompat-lompat dalam kolam boleh menjelma sebagai anak raja dan akhirnya kahwin dengan puteri. Itu dongeng Inggeris dahulu kalalah.

Dongeng moden Malaysia juga terdapat cerita lompat-lompat.  Terbaru,  diperdengarkan untuk santapan halwa telinga rakyat Perak khususnya, dan rakyat Malaysia amnya, kisah dua Adun BN di Perak mahu melompat keluar parti.

Mungkin pada hemat tukang karut dongeng terbaru ini, lompat parti ini macam acara lompat pagar atau lompat tinggi, atau lompat bergalah dalam sukan atletik. Namun  dalam politik, kita begitu maklum ia tidak semudah itu. 

Bagi kalangan BN pula, senang cerita, malas nak layan. Modal basi seperti ini tidak menyebabkan Menteri Besar Dr Zambry Abdul Kadir kehilangan tidur malam. Ketika tampil mengulas Pengerusi BNBBC negeri, Khusairi Talib  mengatakan rasa kesal sikap Pengerusi DAP Negeri, Ngeh Koo Ham yang sanggup mencemar kedudukannya sebagai pemimpin  dengan menjadikan dirinya ejen penyebar khabar angin. Katanya sebagai pemimpin senior, Koo Ham tidak sepatutnya membesarkan berita ini malahan membenarkan dirinya terperangkap dalam isu politik khabar angin yang keji untuk mendapatkan publisiti murahan.

Pemuda Pas Perak pula  menyarankan Dr Zambry buat laporan polis bagi menafikan ‘khabar angin’ isu lompat parti itu.

Sedang tak siapa ambil peduli  pembangkang pula cuba menangguk di air keruh dengan komen-komen yang dangkal. Bukannya apa, dalam Dun Perak kini BN mempunyai kelebihan  tiga kerusi. Sekiranya dua Adunnya melompat menyertai pembangkang iaitu 28 +2 maka dengan kelebihan 30 suara dalam Dun Perak, dengan sendiri boleh mengemukakan usul tidak percaya. Pengalaman 2009 apabila kerajaan Pakatan Rakyat (PR) tumbang gara-gara tiga Adunnya “melompat” tentu boleh dijadikan rujukan.

Bagi yang terlupa apabila tiga Adun PR, dua PKR dan 1 DAP, meninggalkan komponen itu lima tahun lalu  menjadi calon bebas yang menyokong BN, mereka mati kutu. Kecewa bukan kepalang kerana tindakan tersebut sebabkan kerajaan 11 bulan itu tumbang.

Yang anehnya masa Adun Bota Nasaruddin Hashim lompat menyertai PKR, ia bukan saja diterima malah Anwar memberi penghormatan dengan mengumumkan sendiri dalam satu sidang akhbar. Bila terkena ke muka sendiri soal prinsip sekadar sehelai lalang yang lintuk ikut tiupan angin.

Selepas itu apabila kerajaan PR Perak tumbang, maka kita dengar mereka yang konon  berfikiran intelektual menganggap ia satu rampasan kuasa, ada juga mendakwa di bawah BN matinya demokrasi. Kita pun dengar ada pihak DAP pusat yang membantah lompat parti sehingga dalam sidang Dun Perak menjelang PRU13 dulu, satu usul dibawa untuk halang mana-mana Adun melompat.

Saya tidak fikir PR akan halang atau pun menutup pintu kemasukan mana-mana wakil rakyat Umno ke pangkuan mereka. Bodohlah kalau mereka tak mahu kembali memegang jawatan MB dan berkuasa semula.

Dulu, sebelum PRU13, cerita Dr Zambry bakal dibawa ke pusat panas dijaja. Ia jauh lebih panas dari cerita Wan Azizah bakal bertanding di Dun dan bakal dilantik Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang.

Begitu juga cerita Gang 14 dianggotai ketua-ketua bahagian di Perak yang berkomplot memastikan Dr Zambry terlucut jawatan MB. Ramai juga ghairah nak tahu siapa ketua kumpulan.

Tapi hingga kini cerita atau berita itu masih dibelenggu misteri.

Bagi rakyat soal yang jauh lebih penting dari sepak terajang politik ialah pembangunan negeri itu yang menyentuh hal ehwal hidup mereka. Mereka tidak mahu hilang fokus disebabkan kisah dongeng ‘lompat si katak lompat’ seperti ini.  Lebih-lebih lagi menjelang sidang Dun dan pembentangan bajet 2014 pada 25 November ini. Rakyat mahukan MB yang ada rekod KDNK cemerlang penggal lalu.

Cerita petikan twitter dua Adun BN menemui Anwar Ibrahim di Permatang Pauh tidak lebih dari temberang pembangkang sahaja. Macam cerita katak jadi anak raja, konon salah seorang Adun berkenaan bercita-cita agar dapat menjadi MB baru pula.

Bagi Dr Zambry, cerita seperti ini hanya membuang masa beliau untuk mendengarnya.  Begitu juga dengan rakyat Perak.

Begitu pun, dalam pada DAP Perak sibuk menjual ubat dengan kisah dongeng ini, tanpa diketahui mereka dan secara senyap sudah ada desas-desus membayangkan akan adanya beberapa Adun dari kem sebelah sana yang akan sama ada menyeberangi masuk ke kem BN atau menjadi Adun bebas yang menyokong BN. 

Ini bukanlah perkara mustahil seperti berlaku di Sabah beberapa hari lalu. Sejak PRU12 tahun 2008,  terdapat sekian banyak Adun kem sebelah sana bertandang ke dalam kem BN atau menjadi anggota bebas yang menyokong BN berbanding kumpulan sini ke sana. 

Pembangkang sepatutnya lebih memikirkan kemungkinan hilang beberapa kerusi PR dalam Dun Perak, kerana ia pernah berlaku dan tak mustahil akan berlaku lagi dari mengambil risiko hilangnya integriti sebagai pemimpin kerana menjadi tukang karut seperti ini.