Pendapat politik yang menyebut bahawa Perak akan beralih dari BN kepada PR dalam PRU13 tidak lagi dapat menakung air. Ia sekadar sedap didengar ketika berborak kosong di warung kopi. Mungkin langit di Kelantan hijau tapi di Perak, ia agak lain.

Kalau mengikut teori ini, BN tidak ada peluang langsung kerana pengundi-pengundi di Perak diambang “mengUBAH” citra rasa. Apa lagi dengan senario positif ini, para penulis di laman sesawang serta bloggers pro pembangkang mengeksploit isu ini secukupnya.

Tetapi hakikatnya apakah pembangkang  sudah cukup kuat  bagi mendepani BN dalam PRU13?. Soalan ini menarik minat umum kerana pembangkang di Perak kini dihantui pelbagai isu yang menyebabkan sokongan pada mereka semakin merosot.

Salah satu isu yang nampak sukar dipisahkan dari politik kedai kopi ialah mengenai siapa bakal jadi calon MB Perak jika PR menang dan menguasai negeri yang dulunya kaya bijih ini?

Pemilihan Nizar Jamaluddin sebagai MB ke-10 sebaik PR berkuasa tempoh hari macam terdapat satu penyesalan. Sebagai manusia biasa, calon dari DAP dan PKR pun turut mengimpikan kedudukan dan jawatan tersebut.  Bukankah gelaran YAB suatu yang dikejar oleh insan politik?

Hari ini DAP dilihat secara terbuka masih menamakan Nizar, Adun Pasir Panjang sebagai MB pilihan. Tetapi ironinya Pas ambil sikap membisu sama seperti PKR sehingga timbulkan tanda tanya.

Jawatan MB juga turut diintai PKR kerana dalam PRU12 dulu, calonnya dilayangkan kad merah kerana faktor kaliber. Kali ini mereka bakal mencalonkan Dr Mohd Nor Manuty, seorang bekas ahli akademik serta mantan Presiden Abim.

Oh, bagaimana pula dengan DAP? Parti ini konon akan mencalonkan calon Melayu pula sebagai persediaan jika berlaku sebarang kemungkinan. Dalam tahun 1970an dan 1980an DAP pernah mempunyai calon Melayu bertanding - Fadzlan Yahya pernah menang di Pasir Bedamar, kawasan yang sinonim sebagai kubu kuat DAP.

Rebutan bukan saja melibatkan sesama sendiri seperti dalam Pas, ia juga mengenai pengagihan kerusi dalam PR. Kerusi Parlimen Pasir Salak dan Dun Sungai Manik yang dulu ditandingi PKR kini diintai Pas sehingga mencetuskan rasa kurang senang.

Dalam PRU12, dua kawasan ini milik Pas tapi dipinjamkan kepada PKR.

Pangkor juga dianggap kawasan selamat buat BN namun ia turut menjadi rebutan di kalangan pembangkang- Pas atau PKR. Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir teruja mengulas dengan menganggapnya sebagai rasa “syok” pembangkang nak menawan Putrajaya.

Bagi pengundi di Dun Manjoi, usah terkejut jika mereka berdepan dengan pilihan antara calon BN dan Nizar Jamaluddin, yang beralih kawasan dari Pasir Panjang. Kedudukannya di kawasan lama sudah tidak sekuat dulu manakala para penyokongnya pula sudah pun memberi isyarat menarik balik sokongan. Ini gara-gara janji lama yang belum tertunai.

Dalam DAP pula, keadaannya membimbangkan masyarakat Cina.  Mereka mahukan wakil rakyat memperjuangkan nasib bangsa, bukan kedudukan pemimpin tertentu.               

Corak kepimpinan Ngeh dan Nga di Perak kurang mereka senangi.  Perbalahan kini sudah terdedah untuk dinilai rakyat. Ini bukan lagi satu rahsia. Sebagai contoh Naib Presiden DAP Pusat, M Kulasegaran baru-baru ini mendakwa dia dipinggirkan dua sepupu ini.  Kula dipetik dalam twitter berkata: "Some party leaders are so obvious. Bro., Perak politics will explode if l start speaking. Matter of time only. . ..”

Malah secara senyap timbul kebimbangan di kalangan ahli parti tentang kemungkinan  calon-calon DAP  dari satu puak saja. Ramai yang mahukan Ngeh dan Nga pilih dan bertanding satu kawasan saja seperti dianjurkan Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh tempoh hari.

Dengan bibit perpecahan melanda pakatan, bukan saja Anwar Ibrahim bahkan Lim Guan Eng selaku taiko DAP pun pening kepala. Pulau Pinang tidak sesusah Perak dalam hal ini. Tiga tahun lalu pakatan Perak ada peluang kembali berkuasa tapi kini nampaknya tidak lagi. Kalau mereka boleh mendapat 20 kerusi dari 59 pun ia suatu pencapaian yang paling cemerlang.           

Pas kini menjaja bahawa ia bakal menggantikan  tempat Umno, tapi kita cadangkan ia kembali ke alam nyata. Hidup dilambung ombak jauh lebih mudah dari menanam rumput di taman. Justeru impian menawan Putrajaya atau menguasai Perak semula hanya tak ubah cakap-cakap syok sendiri pembangkang dan penyokong mereka.