Seorang tokoh politik Jerman, Otto Van Bismark, pernah berkata ‘Politik adalah seni serba mungkin.’ Kata-kata itu dilafazkan dua abad yang lalu dalam kerangka pengalamannya dari menjadi hanya seorang Menteri di Prussia, sebuah wilayah kecil di Jerman kemudian dilantik menjadi Cancelor Jerman pertama.

Bertolak pada inspirasi sama, tidak mustahil Ketua Menteri Pulau Pinang sudah pun bermimpi untuk berpejabat di Putrajaya dalam kedudukan jawatan Perdana Menteri (PM) Malaysia ke-7 dan PM bukan-Melayu pertama.

Sumpah saya tak bohong. Bukan saya yang kata tapi ramai para peminat dan penyokong setia DAP yang berkata begitu. Bersama PKR dan Pas, masing-masing berasa ada kemungkinan Pakatan Rakyat akan muncul sebagai pemenang dalam PRU 13 kali ini.

Ya lah, politik memanglah seni serba mungkin. Tapi tengok macam mana pula. Kalau kemungkinan itu lebih banyak berasaskan syok sendiri berbanding realiti politik sahih, maka sifir itu tak lebih hanya akan berlaku di alam mimpi sahaja.

Cerita Pakatan Rakyat berkeyakinan penuh ke Putrajaya ini bukannya cerita baru. Tentu ramai masih ingat dua tahun lalu bagaimana Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah pun bersedia untuk sekali lagi memakai gelaran Yang Amat Berhormat dalam projek yang dikenali 16 Sept.

Tapi sejauh manakah andaian atau teori politik yang mengatakan sekiranya PR menang kelak, Anwarlah orangnya yang akan menjadi PM?

Dalam PRU 12, DAP bertanding di 47 kawasan, menang hanya 28. Rakannya Pas menang 23 kerusi Parlimen dari 66 kawasan yang ditandingi. Dalam hal ini PKR membolot lebih kawasan apabila diberikan 97 kerusi tapi menang hanya 31 kerusi atau sepertiga dari peruntukan. Setelah kita mendarab ahli-ahli Parlimen yang keluar meninggalkan parti itu, PKR kini berada di tempat ketiga di belakang Pas. Jika DAP yang bertanding 97 kerusi, kemungkinan keputusannya lain dari yang dicapai PKR.

Maknanya, sekiranya jawatan PM ditentukan berdasarkan kepada parti yang paling banyak mempunyai kerusi, maka DAP paling layak. Tapi itu PRU 12.  

Bagi PRU 13, senarionya bakal mengalami perubahan, namun sekali lagi berpihak kepada DAP. Parti berlambang roket itu sudah bersedia meluncur lebih tinggi dengan dikatakan mahukan peruntukan kerusi lebih banyak berbanding PRU lalu. Jangan lupa kesetiaan pengundi Cina pada lambang roket.

Manakala Pas sudah pun kata ia mahu 80 kerusi dari 222 kerusi dipertandingkan. Namun sekiranya Pas boleh memenangi separuh dari kerusi yang mereka tandingi pun sudah boleh dianggap menakjubkan.

Rata-rata lebih ramai mempertaruhkan kepada ramalan DAP akan memenangi kesemua kerusi diperuntukkan kepadanya. Katakan DAP berjaya memperoleh 80 kerusi dan menang semuanya, ia bakal menjadi parti terbesar dalam komponen itu.

Maknanya kalau PR bungkus, sebagaimana yang diramalkan oleh mereka yang lebih arif dalam bidang analisis politik, maka seorang Ahli Yang Berhormat DAP akan jadi Ketua Pembangkang.

Kemungkinan Lim Guan Eng akan menjadi Ketua Pembangkang. Ini hanya benar jika Pulau Pinang juga jatuh semula ke tangan BN. Justeru bagi penyokong DAP, menurut analisis berkenaan, mereka merasakan Ahli Yang Berhormat DAP akan menjadi PM.

Soal kehendak Perlembagaan Persekutuan yang mewajibkan Perdana Menteri perlulah seorang berbangsa Melayu, itu bisa diatur sekiranya PR memenangi  148 kerusi.

Pada ketika itu kita merasakan Pas tentu boleh bersetuju dan mengangkat tangan di Dewan Rakyat kelak kerana bukankah ‘Pas untuk semua.’ Bukankah rekod menunjukkan Pas sentiasa menyokong apa sahaja yang dilakukan oleh DAP walaupun terpaksa mengetepikan prinsip perjuangan Islamnya?

Tentang jawatan TPM ada kemungkinan Datuk Seri Hadi Awang bakal dilantik untuk memenuhi kuota tersebut. Besar kemungkinan kalau Kelantan kalah pada BN, Tok Guru boleh dilantik Senator dan seterusnya diberikan jawatan menteri Kabinet.

Bagaimana pula dengan Anwar?. Menurut yang empunya cerita, Anwar hanya mungkin menjadi PM sekiranya PKR diperuntukkan setidak-tidaknya 80 kerusi Parlimen dan menang semuanya.

Sehingga rencana ini ditulis, DAP tetap mahukan Anwar jadi PM. Malah DAP tidak senang dengan sikap Pas yang mencalonkan Hadi sebagai calon alternatif. Bagi DAP tidak ada sesiapa patut mempertikai kepercayaan yang dinikmati Anwar.

Sebagai ketua pembangkang ia layak menjadi Perdana Menteri macam yang diamal di mana-mana negara di dunia.

Apa pun itu mungkin cuma cakap-cakap politik sahaja. Siapa tak mahu jadi PM!