Ustaz atau ulama yang hendak menyokong atau menyertai Umno mempunyai sebab untuk menukar ke gear reverse dalam konteks  memikir semula tindakan mereka itu. 
 
Jika keputusan drastik itu dibuat semata-mata kerana ALLAH atas kepercayaan perjuangan Umno sebenarnya jauh lebih Islamik dan ganjarannya di akhirat kelak.  

Sekiranya ganjaran yang dibayangkan berbentuk material – jawatan tertentu, projek atau kewangan – maka terpaksa juga mereka berfikir masak-masak sama ada ia berbaloi berbanding dengan maki hamun, cacian dan fitnah yang mengiringi keputusan untuk berpaling tadah.

Sebenarnya puak tertentu yang buat fitnah bukannya tak faham hukum-hakam. Mereka berpegang pada hukum kalau si polan atau sesuatu kumpulan tidak bersama mereka bererti orang itu adalah musuh harus diperangi. Contohnya pendakwah tersohor Ustaz Kazim Elyas  tampil menyertai Umno. 

Mereka terlupa dakwah Islamiyyah boleh dibuat melalui pelbagai kaedah. Nabi Muhammad SAW pernah bersabda, "Sampaikan dariku walaupun sepotong ayat, dan tidak mengapa mengambil (sesuatu contoh baik) daripada Bani Israel, (akan tetapi) sesiapa yang berdusta di atas namaku secara sengaja, maka tersedialah tempat duduknya daripada neraka." 

Pendekatan Ustaz Kazim jauh berbeza.  Baru-baru ini dia ditawarkan jawatan dalam MT Umno tetapi pada saat-saat akhir, beliau memilih menolaknya. 
 
Ustaz Kazim tak macam ustaz lain yang sekadar bercakap mendaulatkan lslam. Contohnya beliau secara sendirian menubuhkan Pusat Pendidikan AlBarakkah — pusat pendidikan lslam tersohor di Perak. 
 
Ustaz Kazim macam orang lain meminati politik tetapi bermula dengan langkah menyertai Pas. Tetapi jodoh dengan parti itu tak lama apabila pada 14 Mei, 2011 dipecat kerana didakwa menjadi duri dalam daging. 
 
Sama ada disengaja ataupun tidak Pas menyembunyikan soal pemecatan sehinggalah disahkan oleh Naib Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, baru-baru ini.

Sindiran Ustaz Kazim ketika berceramah tidak  menyebut nama atau organisasi tertentu. Pendek kata ceramahnya tidak menyebut pun nama Pas. Kiasan yang dibuat lebih pedas dari sebiji cili padi kadangkala turut terkena tempias pada para pemimpin Umno sendiri. 

Kebijaksanaannya ialah tidak pernah ungkit kisah lama dalam Pas dan tidak menyanjung Umno dan pemimpinnya secara over walaupun ceramah kerap diadakan di pekarangan kediaman rasmi MB Perak Dr Zambry Abd Kadir. 

Fenomena yang dilalui rakyat Malaysia hari ini dengan kemunculan Ustaz Kazim yang dibayangi ulama pro Pas meresahkan puak-puak ini. Mereka walau ramai dan sering dengan jubah labuh dan serban besar tetapi seorang ustaz macam Ustaz Kazim, kadangkala sekadar bersongkok, ibarat 100 yang menyokong Pas. 

Usahlah cemburu jika Ustaz Kazim jauh lebih popular daripada mana-mana penceramah agama mereka yang berstatus selebriti yang menyokong puak sebelah sana. Ustaz Kazim tidak mengutip dana untuk tabung poket melainkan dana yang diterima untuk kegunaan pusat pendidikannya.

Laluan Ustaz Kazim sebagai pendakwah bebas tidak mudah. Dia dikritik, didengki dan diejek tidak termasuk sering difitnah. Lebih dramatik ada juga ugutan terhadap nyawa dia dan keluarganya. 
 
Mengambil kira pelbagai elemen termasuk soal kesihatan dan ugutan, Ustaz Kazim dalam satu kenyataan tidak lama dulu berkata dia akan berhenti berceramah pada 28 November.
 
Ustaz Kazim adalah ibarat  P Ramlee zaman ini yang lahir dalam dunia keagamaan. Selain boleh menyanyi dengan baik, mengadunkan lagu (lagu klasik Melayu dalam dakwahnya sebagai trade mark), beliau merupakan bekas tokoh Pas yang kini cuba dipikat Umno pula. 
 
Programnya yang disiarkan rangkaian TV Astro, Kalau Dah Jodoh, merupakan satu program paling popular, jauh lebih popular daripada  program agama yang dibuat RTM ataupun TV3. 

Kini bukan saja dia menjadi rebutan Umno dan Pas tetapi juga stesen tv sebagai pelaris. Namun  dengan keputusannya menolak tawaran menyertai MT Umno, selain berita ini  menggembirakan puak Pas, ia barangkali akan turut sama membuka minda ulama serta ustaz untuk melihat Umno secara proaktif, lebih praktikal dan dengan secara yang lebih positif.
 
Zaman ulama tertarik serta menyertai Umno merupakan satu fenomena baru. Malah ini terbukti dengan penyertaan serta pelantikan beberapa ulama muda seperti Fathul Bari ke dalam pertubuhan siasah itu.

 
Malangnya seperti mana jodoh Ustaz Kazim dengan Pas tidak sampai ke penghujung hayat, begitu juga jodohnya dengan Umno. Sesungguhnya jodoh beliau adalah dalam bidang dakwah, bukannya dengan pertubuhan siasah.