Hakikat betapa Karpal Singh tidak mempersetujui pelaksanaan hukum hudud dan meninggalkan gambaran negatif terhadap pembentukan negara Islam langsung tidak selari dengan apa digambarkan oleh Lim Guan Eng sebagai mahu menjejaki pentadbiran Khalifah Umar Abdul Aziz.

Kecuali bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa yang berani keluar menjantani diri dengan berisikokan cemuhan dan kemungkinan disingkir dari parti  tampil untuk membela hudud dan menyelar Karpal Singh, pendirian barisan pemimpin Pas yang lain bukan sahaja mengelirukan tetapi tampak seolah-olah mempersendakan prinsip dan landasan perjuangan mereka sendiri.

Berbekalkan obsesi keterlaluan mahu menumpang sama dalam kerajaan berpunca dari mahu menjawat jawatan menteri dan sebagainya atas kepercayaan dan impian bahawa Pakatan Rakyat akan bertandang ke Putrajaya selepas PRU-13, pemimpin Pas tidak ada pilihan melainkan, jika boleh cepat-cepat mahu melupakan pertembungan DAP-Pas yang kembali menghantui marriage of convenience kedua-dua parti pembangkang ini.

Begitupun, sementara para pemimpin Pas dilihat umum sebagai mengambil sikap mentimun ke atas durian dan cukup bertolak ansur dengan ketegasan Karpal Singh selaku Pengerusi Nasional DAP,  hal ini tidak semestinya dikongsi bersama dengan penyokong dan malah ahli-ahli parti yang memperagakan imej Islam itu.  

Kepada mereka ini, sokongan dan keanggotaan semata-mata berdasarkan apa yang dilihat  sebagai perjuangan Islam parti tersebut. Mereka boleh berkompromi dalam soal politik, boleh menunjukkan semangat kesetiakawanan tinggi dan boleh menjalin kerjasama selagi mana prinsip utama parti dalam memperjuangkan Islam tidak digadai untuk politik peribadi pemimpin.

Trend ini cukup merunsingkan Pas yang mempunyai perwakilan terhad dalam Parlimen dan dilihat sebagai bakal menjadi anggota minoriti pembangkang dalam pasca PRU-13 kelak.

Walaupun sebelum ini Timbalan Presiden Pas, Mat Sabu berulang kali mempersembahkan boria perihal Lim Guan Eng meniru Khalifah Umar dan mengulang tayang perihal kerajaan DAP Pulau
Pinang menambah peruntukan untuk agama Islam di Pulau Pinang,  namun lama kelamaan ia semakin gagal menjadi gula-gula kepada penyokong dan ahli-ahli Pas yang lebih waras dan matang.

Tidak dapat dinafikan, para pemimpin Pas cukup teruja apabila Guan Eng mahu mengikut jejak Khalifah Umar Abd Aziz. Kepada ahli-ahlinya dijaja kehebatan Guan Eng berbanding para pemimpin Umno kerana tokoh DAP itu lebih faham Islam dari sebelah sana.  

Di atas pentas yang dihadiri ramai orang Melayu, Guan Eng terus bercakap perihal khalifah Islam.  Pendek kata sedikit sebanyak pengetahuan mengenai ciri-ciri pentadbiran khalifah Bani Umaiyyah itu dipergunakan dengan cara sebagaimana pemimpin Republik Rakyat China menggunakan The Little Red Book yang mengandungi petikan Pengerusi Mao Tse Tung.

Namun anehnya, Guan Eng tidak pula mempertahankan hukum hudud sebagaimana dilakukan cicit kepada khalifah kedua Khulafa al-Rasyidin iaitu Saidina Umar Al-Khatab.  Dari segi ini, nampaknya sebagaimana maksud peribahasa Inggeris, the appearance is more important than substance.

Tidak cukup dengan guna maskot tidak rasmi pemerintah Islam itu, ketika Ramadan pula Ketua Menteri Pulau Pinang itu sibuk ke sana ke mari untuk bersama umat Islam berbuka puasa seolah-olah ia sudah menjadi satu ‘majlis’, bukan lagi satu ibadah eksklusif umat Islam.  

Hal ini bukan saja dibenarkan oleh Pas yang kononnya mahu menegakkan hukum dan prinsip Islam, tetapi dialu-alukan pula, di samping boleh dipermodalkan  kepada umum betapa toleransinya Pas terhadap bukan Islam walaupun ia menyentuh soal ibadah.

Sejak menjadi Ketua Menteri Guan Eng dilihat berbeza dengan Guan Eng sebelumnya.  Di Pulau Pinang suara ketidakpuasan hati rakyat tentang kepimpinan Guan Eng bukan diadakan-adakan. 

Banyak isu ditimbulkan yang pernah ditentang DAP sendiri seperti isu kezaliman, ketidakadilan, pilih kasih dan sebagainya. Namun, masalah dalam parti kini ibarat bangkai gajah ditutup dengan nyiru, akhirnya membuahkan keadaan tidak senang dalam kalangan ahli.

Pelik. Kata mahu sangat ikut jejak Umar Abdul Aziz, tetapi mengapa hal sedemikian berlaku dalam pentadbiran parti di peringkat negeri dan juga kerajaan Pulau Pinang?  

Kita tidak mahu mempersoalkan apa dah jadi dengan penentangan pemimpin Pas terhadap amalan memilih pemimpin Islam daripada kalangan orang bukan Islam.  

Namun apa yang menjadi persoalan pokok, jika ada sesiapa mahu menjejaki langkah pemimpin Islam dalam menjalankan kewajipan pentadbiran negara, maka ia harus melanggan sepenuhnya kepada prinsip pentadbiran yang dilakukan oleh pemimpin Islam berkenaan.

Prinsip pemerintahan dan pentadbiran Umar Abdul Aziz termaktub dalam kata-katanya, “Pemerintah selalunya melantik pegawai untuk mengawasi rakyatnya. Aku melantik kamu untuk mengawasi diriku dan kelakuanku. Jika kamu mendapati aku melakukan kesalahan, bimbinglah aku atau halanglah aku daripada melakukannya.”

Apakah kita melihat ‘ini’ diikuti sepenuhnya oleh Guan Eng dalam menjejaki Umar Abdul Aziz?