SEJAK Jun lalu rumahnya di Langgak Golf, yang terletak berdekatan kedutaan Amerika Syarikat  di pinggiran Kuala Lumpur menjadi tumpuan. Jadual kerjanya ketat kerana memenuhi tetamu datang, khususnya orang politik yang tidak pernah hilang minat terhadapnya.

Bulan lepas Tengku Razaleigh Hamzah atau lebih popular dengan gelaran Ku Li menyambut hari lahir ke-76 tahun tapi tak siapa tahu sama ada ia dirayakan secara besar-besaran ataupun secara private.

Sejak 1981, Ku Li ketika itu baru berusia 44 tahun memilih bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno yang menjadi kosong apabila Tun Dr Mahathir Mohamed dilantik Perdana Menteri dan secara automatik menjawat jawatan Presiden Umno.

Jika ketika itu Ku Li dianugerah bola makrifat sudah tentu saja dia memilih menentang Dr Mahathir daripada Tun Musa Hitam bagi jawatan Timbalan Presiden Umno. Lebih mudah mencuba nasib terhadap Dr Mahathir berbanding menyaingi Musa.  Kekosongan bagi jawatan Presiden Umno berlaku adalah ekoran keputusan Tun Hussein Onn tidak mempertahankannya.

Bagi sesiapa yang faham dan berkecimpung dalam politik kepartian, lebih mudah menentang orang nombor satu daripada mencuba tempat kedua. Ini kerana lazimnya orang nombor satu jarang berlaku adil lebih-lebih lagi kalau orang kedua itu bukan pilihannya.

Pengaruh Ku Li tidak macam lain-lain tokoh penting dalam Umno. Dia merupakan satu-satu tokoh daripada generasi Tun Razak yang kekal sebagai Ahli Parlimen sejak 1969 bagi kawasan Gua Musang dan ketua bahagian kemudiannya. Rekod ini masih dipegang meskipun rakan-rakan seperti Dr Mahathir, Musa, Pak Lah dan lain-lain sama ada sudah lama bersara atau sudah berada di alam barzakh. Jika dilihat keputusan PRU13 kita tidak boleh perkecilkan pengaruh Ku Li di Gua Musang. Dia menang bergaya mengalahkan Pas, 21,367 berbanding calon Pas, 12,954.

Sebaik selesai PRU13 pada 5 Mei dan menjelang Jun, nama Ku Li sekali lagi mendapat perhatian media sosial pro-pembangkang. Ku Li dilapor sibuk menemui wakil-wakil rakyat kedua-dua belah pihak, BN dan pembangkang, konon dalam usaha menjadikan beliau perdana menteri menggantikan Najib Razak. Ia macam plot cerita rampasan kuasa. Bezanya rancangan merampas kuasa ini lebih demokratik iaitu melalui undi tidak percaya di Parlimen. 

Bagaimanapun cerita rampasan kuasa itu bukan saja tak masuk akal dan tidak menjadi satu kenyataan, bahkan cerita bulan Jun tak lebih cerita kartun dijaja dengan tujuan menakut-nakutkan Najib dan senada dengan cerita 16 September yang dimulakan Anwar sebagai tarikh perubahan kerajaan dari BN kepada Pakatan Rakyat.

Menjelang 28 September, isu ini sekali lagi dikitar lebih-lebih lagi Ku Li sendiri meminta kita menunggu keputusannya. Kalau dulu Ku Li tidak boleh membuat keputusan kerana ia harus melepasi kuota pencalonan, namun sekarang ia agak berbeza. Tidak ada siapa atau bahagian ataupun Najib sendiri boleh menghalang Ku Li melainkan dirinya sendiri. Kalau mengikut dari segi usia pemilihan ini merupakan kali terakhir buatnya. Gagal berbuat demikian bererti ia tidak lagi berpeluang ke Putrajaya sebagai PM kerana usia tidak menyebelahinya.

Di peringkat akar umbi cerita Ku Li lawan Najib bukan lagi cerita baru. Malah Ku Li juga dikatakan mendapat sokongan Dr Mahathir dan Tun Daim Zainuddin, seorang lagi bekas Menteri Kewangan. Jika Ku Li sah bertanding menentang Najib ia dilihat pertembungan mantan-mantan menteri kewangan dengan Menteri Kewangan sekarang.

Sedang Ku Li menunggu 28 September, kedudukannya di  Gua Musang selaku ketua bahagian nampak suam-suam kuku. Satu laporan menyebut Ku Li bakal ditentang oleh Ketua Pemudanya Datuk Bazlan Baharuddin. Halangan ini walaupun tidak membimbangkan namun sejarah 51 tahun Ku Li dalam politik nasional akan mencatat satu lagi sejarah iaitu dia juga tidak kebal.

Ku Li lebih dikenali dan mempunyai kenalan yang hebat-hebat di Kuala Lumpur berbanding dari Gua Musang. Walaupun ini bukanlah ukuran bagi ahli-ahli memilih ketua mereka, faktor ini tak boleh dipandang remeh. Akhbar Utusan Malaysia sudahpun membayangkan laluan Ku Li jika ditentang Ketua Pemudanya tidaklah semudah dijangka meskipun Ku Li sudah berkuku menyamai hari kemerdekaan itu sendiri.

Apa pun, nampaknya tidak banyak lagi opsyen yang ada pada kerabat diraja Kelantan ini.