ANDAI kata Pas membuat keputusan keluar meninggalkan Pakatan Rakyat (PR) ia bukanlah satu langkah yang mengejutkan. Bagaimanapun keadaan ini dilihat sebaliknya jika ia kekal dan menyokong pula keputusan menobatkan Adun Kajang, Wan Azizah sebagai MB Selangor yang baharu.

Bukankah sebelum pemecatan Khalid sebagai MB lagi, Pas dengan tegas menumpahkan penuh sokongan dan menentang sebarang usaha menggulingkannya.

Ketegasan Pas dilihat lebih serius lagi apabila Majlis Syuranya menyuntik pula sokongan tidak berbelah bagi parti terhadap Khalid. Ini dengan sendiri memberi maksud Pas menentang Langkah Kajang menggulingkan Khalid.

PKR menjadikan isu Khalid sebagai isu bersama mengheret sekali regu dalam PR seperti DAP dan Pas. Sementara DAP menyokong pendirian PKR, Pas pula mempunyai pendirian tersendiri.
Jika selama ini Pas dibayangi dengan tindak-tanduk Anwar tetapi dalam isu Khalid, Pas mengambil sikap bertentangan.

Sesuatu yang mengejutkan Anwar ialah apabila Pas memihak Khalid sekali gus menolak Wan Azizah. Bagi Pas tidak ada sebab Khalid digantikan. Rekod kerjanya jelas dan tidak disabitkan sebarang kesalahan oleh mahkamah. Ia semata-mata tuduhan liar dan kosong yang dicanai puak dalaman PKR.

Pendirian Pas yang bakal dikritik rakan-rakan dalam PR bukannya sesuatu di luar jangkaan. Malah Pas sendiri sudah menduga keputusan ini merupakan tindakan tidak popular.

Malah lebih mengejutkan apabila pendirian Pas mendapat sokongan Mursyidul Amnya, Nik Aziz Nik Mat yang selama ini dilihat mirip pada kehendak Pak Sheikh. Implikasinya membuatkan sesiapa  saja termasuk Anwar sendiri dibuai mimpi kecewa.

Sedang usaha dirintis memujuk Pas menukar pendiriannya, Anwar secara sulit terbang ke Kuala Terengganu dengan misi utama memujuk Presiden Pas Hadi Awang. Pertemuan sejam itu disahkan Setiausaha Agong parti yang enggan mengulas lanjut. Berasaskan kenyataan Anwar nyatalah pertemuan sulit itu tidak menghasilkan sesuatu yang positif.

Kegagalan PKR melenturkan pendirian Pas diambil alih pula oleh DAP yang sebelum ini sudah terlebih dahulu memberikan sokongan bulat pada Kajang. Tanpa berselindung DAP mengingatkan kesan keputusan Pas dan mahukan parti itu segera menyokong rancangan PKR tanpa perlu menunggu 17 Ogos.

DAP mengingatkan Pas bahawa PR boleh berpecah bukan sahaja di Selangor malah di seluruh negara. Maknanya DAP sudah bersedia kehilangan Pas sebagai regu jika Pas terus berdegil.
Menjelang 17 Ogos pertanyaan popular ialah sama ada Pas kekal seperti diamanahkan oleh Majlis Syuranya menyokong Khalid  ataupun membuat pusingan U - kembali menyokong keputusan PR.

Pas mungkin dari satu aspek sedar risiko diambilnya. Tetapi di peringkat akar umbi ahli-ahli parti sudah pun bersedia untuk  mempertahankan Khalid jika direstui pucuk pimpinan parti.

Solat hajat yang dibuat di kediaman MB Selangor Khalid tempoh hari dengan dihadiri ramai ahli dan pemimpin kanan parti memberi isyarat parti itu tidak takut untuk keluar Pakatan.

Justeru kalau Pas bersebab kuat meninggalkan PR maka ia harus mengorak langkah itu dengan seberapa segera kerana inilah masanya. Masa depannya dalam PR tidak menjamin akhirat melainkan bertambahnya kebimbangan penyokong dan ahli-ahli yang menyaksikan ia lebih banyak tunduk pada tekanan daripada muncul juara.

Pas lebih banyak berkompromi dengan DAP sepanjang berada dalam PR termasuk membabitkan perjuangan asas dalam hal agama Islam. Isu paling menonjol tentulah mengenai perlaksanaan hudud dan pembentukan negara Islam sebelum Pas berdepan isu kalimah ALLAH. Dalam menghadapi isu-isu ini Pas hilang taring.

Masih terngiang-ngiang di telinga kita kenyataan Karpal Singh bahawa jika Pas nak buat negara Islam (atau hudud), Pas perlu melangkah mayatnya dulu. Kenyataan mendiang juga disokong oleh Guan Eng dan bapanya.

Hakikatnya dari segi politik jika Pas keluar PR maka ia pastinya memberikan bonus dan pada masa sama menggembirakan Umno. Pas bukannya tak faham tanpa DAP masyarakat Cina tidak akan menumpahkan sokongan.

Sementara kita menunggu sama ada Pas kekal dalam PR atau memilih jalan sendiri hakikatnya ialah sejak sebelum merdeka lagi parti itu sekadar menjadi sebuah parti tumpangan.    
  
Dulu ia pernah menumpang dalam rahim BN berkongsi  kuasa, kini ia bersama-sama DAP dan PKR dalam PR. Ia seolah-olah tidak yakin secara sendirian mampu menjadi satu alternatif kepada Umno dan PR.

Lebih 20 tahun Pas berkuasa di Kelantan dan merampas Kedah pada 2008, tidak mustahil ia mengulanginya di lain-lain negeri pada masa depan. Masalahnya Pas terlalu taksub pada insan bernama Anwar daripada memilih pertimbangan sendiri.