Akibat seorang wanita tidak bertanggungjawab dan para pembangkang yang sentiasa bertindak bagaikan buaya lapar,  Cikgu Mohd Nasir Mohd Noor, seolah-olah alami satu mimpi yang tidak kunjung  tamat.  Lebih malang lagi, tidak ada pihak yang mempertahankannya.

Cikgu Nasir sudah lama menjadi Guru Besar di Sekolah Kebangsaan Pristana (SKP), Sungai Buluh, jauh sebelum namanya menjadi perhatian pihak media. Sekolah itu pun bukanlah dikategorikan sebagai sebuah sekolah kampung yang serba daif.

Cikgu Nasir pula merupakan ikon di sekolah berkenaan. Dia sudah begitu lama dikenali penduduk yang mana anak-anak mereka belajar  sebelum namanya diulas oleh tokoh-tokoh pembangkang seperti Lim Guan Eng, kononnya Cikgu Nasir tidak pandai mentadbir sekolah.

Hai, kalau tak pandai tadbir sekolah macam mana boleh dilantik menjadi Guru Besar oleh Kementerian Pendidikan. Pelik, perkara seperti ini pun tidak dapat difikirkan oleh Guan Eng. Apakah dia pandai sangat mentadbirkan Pulau Pinang?

Tapi Guan Eng tidak keseorangan dalam mengulas tanpa usul periksa. Turut sama mempermodalkan isu ini ialah beberapa tokoh Islam dan Ahli Yang Berhormat Pas. Kononnya cara Cikgu Nasir tidak sejajar dengan cara Islam.

Jumlah pelajar SKP ialah 1,600. Justeru keupayaan kantin menampung semua pelajar pada sesuatu waktu rehat amat terhad. Oleh itu, daripada menikmati sambil menghidu aroma longkang, maka Cikgu Nasir ambil keputusan buka bilik persalinan sukan untuk dijadikan dewan makan sementara.

Ini berlaku pada Mac dan tidak ada kena mengena untuk arahkan pelajar bukan Islam makan di situ pada bulan Ramadan. Benar bilik rehat itu ada bilik ala-ala bilik tandas cuma ketiadaan mangkuk jamban saja.

Sebagai alternatif kepada pelajar, pihak sekolah membersih bilik persalinan sehingga ia kelihatan lebih baik dari  tandas di pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang atau jauh lebih baik dari tandas awam di Pasar Khatijah, Kota Bharu.

Kalaulah Guan Eng, YB pembangkang lain, dan mereka yang mindanya sewaktu dengan mereka ini, menggunakan akal dengan lebih bijaksana lalu menyiasat terlebih dahulu sebelum bercakap atau mengulas, maka tentulah mereka tahu bahawa bilik rehat atau persalinan itu digunakan sementara menantikan pembesaran dan ubahsuaian ruang kantin itu siap.

Namun, akibat kekecohan wanita berkenaan, dia memuat naik gambar “bilik tandas” di internet dengan mendakwa anaknya mengadu ia berbau. Walaupun bilik makan sementara itu turut digunakan oleh pelajar Islam sebelum bulan Ramadan, tetapi untuk mengajinomotokan cerita, maka kononnya sekolah berkenaan telah mendiskriminasi pelajar bukan Islam dan mengarahkan mereka makan di tandas.

Perihal bilik tersebut adalah bilik persalinan dan kantin sedia ada sedang dalam pembaikan tidak pula disebut. Wah! Nampaknya beria-ia benar si ibu tersebut mahu menggambarkan kononnya orang Melayu ini jahat sangat sehingga menyuruh orang lain makan di jamban  ketika mereka sedang mengerjakan ibadat puasa.  “Ada dapat upah ke daripada DAP?”

Yang lebih menggelikan hati lagi ialah apabila akhbar milik MCA, yang kononnya mainstream sangat memberikan liputan besar-besaran sehingga seseorang yang membacanya, tidak boleh tidak terhidu elemen perkauman.

Keluaran 24 Julai memberi publisiti luar biasa. Di muka depan tersiar sekeping gambar pelajar India tapi ditutup muka berlatar belakang “tandas”.  Mana tak kecoh. Dua wartawan akhbar milik  MCA itu yang ditugaskan membuat liputan juga bukan wartawan beragama Islam.

Reaksi awal Kementerian Pelajaran adalah agak akomodotif ke arah mengiakan tuduhan berkenaan. Ia sudah tentu memberi tekanan kepada Cikgu Nasir. Tapi ramai berpendapat soal siasat dan ambil tindakan ini adalah perkara biasa yang diamalkan oleh kerajaan BN.

Kalau ada laporan, siasat. Kalau betul, ambil tindakan. Kalau tak betul, biasanya dibiarkan begitu sahaja. Tapi awas, ada kalanya kementerian, menerusi Kerajaan Persekutuan akan ambil tindakan mahkamah kerana percubaan mempersoalkan reputasinya.

Tidak mustahil si ibu yang memuat naik gambar berkenaan diambil tindakan di bawah akta hasutan dan undang-undang lain yang relevan kerana turut menjejaskan nama baik Malaysia di luar negara. 

Malanglah jika ini berlaku, kerana sementara si ibu itu terpaksa hadapi undang-undang, mereka seperti Guan Eng dan para YB Pas yang mempermodalkan isu ini terus menerima elaun masing-masing.