BUKAN senang menjadi orang nombor dua, sama ada dalam parti lebih-lebih lagi dalam sesebuah kerajaan yang memerintah. Pengalaman dilalui Anwar Ibrahim atau Musa Hitam ataupun Pak Ghafar Baba adalah satu testimoni. Mereka pernah menjadi timbalan kepada Dr Mahathir Mohamed.

Sebaliknya, pengalaman sama sekali berlainan bagi  Presiden Pas, Haji Abdul Hadi Awang bila berdepan isu ini. Tentu sukar menjadi orang nombor satu kerana orang nombor duanya tidak sealiran. Ia memberi gambaran Pas kini satu kapal dua nakhoda.

Krisis di Selangor terserlah watak sebenar Mohamad Sabu atau lebih dikenali Mat Sabu dan beberapa yang lain dalam Pas. Kelihatan puak ini yang lebih condong kepada Anwar daripada presiden sendiri.

Pengalaman pahit Hadi dikesan sejak penolakan kerajaan perpaduan oleh Pas ketika Pak Lah jadi perdana menteri lagi. Hadi secara terbuka menganjurkan konsep kerjasama ini tetapi membatalkan apabila mendapat tentangan dari dalam. Ketika sama perundingan dengan Umno dijuruterai timbalan Hadi, Nasharudin Mat Isa.

Bagaimanapun ibarat bayi yang belum sempat lahir ke dunia, telah awal-awal lagi 'ditalkin' puak pro Anwar apabila mereka mengesan strategi Hadi dan penyokongnya. Menjadi mangsa ialah   Nasha yang dikritik hebat.           

Lebih jelas perbezaan antara mereka membabitkan isu pelantikan MB Selangor. Jawatankuasa Pusat yang konon dikuasai puak pro Anwar sebagai kompromi mencadangkan dua nama - Wan Azizah dan Azmin Ali. Tetapi Hadi menggunakan kuasa veto selaku presiden  dengan menolak Wan Azizah.

Krisis tidak berlaku jika Mat Sabu menyokong pendirian bosnya. Sebaliknya, beliau mengeluarkan kenyataan membantah pembatalan nama Wan Azizah seperti disahkan Pas. Beliau mahu Hadi ikut keputusan Jawatankuasa Pas Pusat.

Sama ada disedari Hadi dan Dewan Ulama atau sebaliknya, krisis kini bukan lagi babitkan Pas dengan PR. Ia sudah membesar menjadi krisis dalaman antara Hadi dengan Mat Sabu.

Yang membimbangkan ahli-ahli parti berhubung masa depan Pas itu sendiri. Ia melibatkan kedudukan pelapis dalam Pas.  Takdirnya Pas memerlukan pengganti, maka pada masa ini Mat Sabulah calonnya.

Bagi Hadi pula apa yang berlaku tentu sesuatu yang menyedihkan. Krisis boleh dielakkan jauh lebih awal jika dia bersikap berani. Kelemahannya ialah membiarkan dirinya dipengaruhi orang luar. Hingga ada yang berkata Pas seperti diremote-control.

Dulu timbalannya, Nasha merupakan pengikut setianya.  Namun apa yang berlaku ialah Nasha gagal mempertahankan jawatan Timbalan Presiden pada 2011 apabila kalah pada Mat Sabu. Dengan sendiri Hadi kehilangan penyokong setia.

Nasha bukan saja seorang ulama juga tokoh profesional. Tetapi Hadi tunduk pada tekanan puak Anwar. Hadi gagal mempertahan Nasha akibatnya Nasha tewas. Mat Sabu menang pun bukan kerana dia hebat. Ini kerana Nasha dijangkiti isu pro Umno.

Label ini berjaya memberi kelebihan kepada pencabarnya.

Hari ini ibarat ribut yang kian reda, Hadi dapat melihat dengan jelas apa yang berlaku pada Pas. Dengan dibantu Setiausaha Agungnya, Mustafa Ali, ia seperti memperoleh cermin mata baharu.

Kalau tanpa Mustafa Ali, sudah lama Hadi masuk perangkap. Dengan dibantu beberapa hulubalangnya, Hadi membina semula kekuatan.

Hari ini, dengan takdir ALLAH, apabila berlaku krisis MB Selangor, Nik Aziz tampil berdiri di belakangnya. Maknanya mantan MB Kelantan itu juga tak setuju cara Anwar menyelesaikan krisis. Lazim hubungan antara mereka ibarat aur dengan tebing.

Hujah ini mungkin hipotetikal tetapi jika Hadi berhenti atau digulingkan maka kekosongan itu diisi Mat Sabu. Ini kerana abang Mat adalah tokoh kedua selepas Hadi. Dewan Ulama tak boleh terus meminggirkannya tanpa terlebih dulu dituduh tidak demokratik.

Walaupun ada hujah mempertikai kredential Mat Sabu konon ia bukanlah ulama macam Hadi atau Nasha ataupun Dr Hasan Ali, yang dipecat dari Pas beberapa tahun lalu ataupun ala-ala NikAziz. Tetapi hakikatnya Pas terpaksa  berketuakan Mat Sabu yang berkedudukan Timbalan Presiden.

Soalnya apakah semudah itu laluan Mat Sabu untuk bergelar Presiden Pas?. Selama ini bagi mereka yang terlupa laluan politiknya penuh berliku lagi berduri. Tetapi ini tidak bererti takhta nombor satu boleh jadi miliknya dengan mudah.    

Sekilas pandang kedudukan Mat Sabu bukan bertambah kuat. Mengambil kira sentimen perwakilan semasa merasmikan Muktamar Pemuda Pas ke-55 di Kota Tinggi Selasa lepas, bantahan diperlihat secara terbuka. Mereka cuma tidak menjerit memintanya meletakkan jawatan tapi jelas terkesan 50 perwakilan memakai jaket hitam “Kami Bersama Presiden dan Majlis Syura.” Ramai juga meninggalkan Dewan Choon Moi apabila Mat Sabu berucap merasmi muktamar.

Takdir politik buat Mat Sabu sudah pun jelas. Mengambil kira apa yang berlaku tidak salah jika kita beranggapan abang Mat kini seperti kata istilah Inggeris Catch 22 - ditelan mati mak, diluah mati ayah.