Tidak jauh ke utara Pulau Mutiara, ramai agak sedih melihat Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra terpaksa tunduk kepada tekanan gara-gara program pengampunan termasuk terhadap Thaksin.

Abangnya kini hidup dalam buangan di luar negara bakal ditangkap dan dipenjarakan jika pulang. Hanya melalui program pengampunan, kesalahan lampau dihalalkan dan dia boleh kembali ke tanah air.

Bagaimanapun, di Pulau Mutiara cerita politiknya berlainan pula. Bagi Lim Guan Eng, kritikan demi kritikan hebat yang disasarkan ke atasnya bukanlah baharu. Lebih malang lagi hampir semua kritikan itu hanya masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri.

Kritik terbaru berhubung pembelian kereta Mercedes Benz S300L juga tak beri sebarang impak. Kalau dalam bahasa mudah situasi ini disebut sebagai dia buat-buat bodoh saja.

Di Malaysia, setidak-tidaknya dalam konteks perbualan harian, ada tiga tokoh politik yang diklasifikasikan sebagai tidak makan saman. Selain Guan Eng, dua lagi - Anwar Ibrahim dan Mat Sabu, Timbalan Presiden Pas.

Guan Eng muncul dalam senario politik tempatan apabila dilantik Ketua Menteri Pulau Pinang pada 2008 sebaik DAP menumbangkan BN dalam PRU12. Beliau dilihat bernasib baik dilantik Ketua Menteri (KM) walaupun bukan daripada anak tempatan.

Kita dapati masa dilantik KM, Guan Eng mempamer politik serba sederhana. Langkah beliau membuka pintu kepada seorang kolumnis mengunjungi pejabatnya mendapat pujian daripada penulis berkenaan. Ia disusuli pertemuan kawan lama, Mat Sabu, juga di pejabat KM di Menara Komtar, Tanjung, yang kemudian mendapat liputan Harakah.

Selain daripada itu, ahli-ahli Pas diajar menyayangi Guan Eng selepas tokoh DAP itu mengatakan kekaguman dengan Khalifah Umar Abdul Aziz serta berminat mempraktikkan langkah khalifah Islam itu.

Bagaimanapun imej baik ini dipamer dulu sebelum kuasa menyilau. Menjelang PRU13 lepas, kita melihat berlaku perbalahan dalam parti. Ramai yang dikait sebagai puak anti Guan Eng dipinggirkan manakala mereka yang pronya diberi peluang menjadi calon pilihan raya.

Cerita pemilihan CEC yang melanggar undang-undang, yang mana Guan Eng sebagai Setiausaha Agong, melihat DAP terpaksa mengadakan pemilihan semula, juga tidak menjejaskan kedudukan Guan Eng.

Penat saja TV3 dan media arus perdana lain membuat pendedahan saban hari dan malam. Akhirnya Guan Eng muncul wira serta dilantik semula sebagai KM.

Menjelang akhir 2013 dan kini sudah seminggu berlalu, Guan Eng berdepan isu jauh lebih panas melibatkan pembelian Mercedes Benz S300L. Harga yang menimbulkan persoalan ialah kerajaan negeri membelinya RM298,263.75, dari harga asal RM657,218. Konon Guan Eng diberi diskaun khas. Saya percaya ramai berminat membeli Mercedes model ini jika masih ada stok dan tawaran harga sama.

Tiga bulan terdahulu, Guan Eng memakai Toyota Camry 2.5 sebelum menukar kepada Mercedes - baunya pun belum hilang sudah memperoleh kereta model lain pula. Jadi Guan Eng tak harus melenting jika ada kritikan orang ramai yang dibebani kenaikan harga barang-barang, tapi KM itu tak sensitif.

Benar Menteri Besar (MB) Kedah juga memakai Mercedes sama model sebagai kereta rasmi kerajaan, tetapi Guan Eng jangan lupa, Mukhriz Mahathir mewarisi kereta plat KCX8 itu, berstatus second hand. MB Kedah itu mengambil berkat daripada kenderaan yang pernah diguna pakai oleh MB dari Pas tempoh hari.

Kita terkenang zaman Guan Eng membonceng motosikal, kita kagum sikap Guan Eng sanggup pakai Camry bukan Mercedes ketika itu berbanding MB Terengganu. Kita lebih kagum lagi Guan Eng cuba “mengajar” MB Terengganu berhubung soal kesederhanaan ketika ura-ura kerajaan negeri Terengganu menukar dari memakai Proton Perdana Eksekutif kepada Mercedes - konon ia satu pembaziran.

Kita dapati Guan Eng seolah-olah berjaya menjinakkan Pas dalam hampir semua isu. Bagi ahli parti, sikap Pas kurang mereka senangi terutama dalam isu agama di Pulau Pinang. Bantahan yang dibuat gagal menarik perhatian pihak pusat sebaliknya bagi menangani isu ini, Pas mengumumkan pelantikan Mat Sabu sebagai pesuruhjaya baharu menggantikan Salleh Man.

Dengan Mat Sabu sebagai pesuruhjaya baharu, maka DAP tidak lagi berdepan kerenah Pas negeri yang rata-rata kaki lawan. Lagipun hubungan Mat Sabu dan Guan Eng yang bermula sejak di Kamunting, merupakan penyelesai masalah buat DAP.

Justeru, selagi ada Kit Siang dan Anwar serta Mat Sabu, nampaknya nyawa politik Guan Eng di Pulau Pinang panjang lagi. Dan dengan abang Mat sebagai pesuruhjaya Pas negeri, kedudukan Guan Eng terus kukuh dan tak mungkin dapat digugat selagi ada bulan dan bintang.