SALAH satu impian Lim Kit Siang ialah mahu melihat DAP menubuhkan kerajaan menggantikan BN yang memerintah. Soal siapa menjadi PM bukan masalah besar. Asal bukan Umno, sesiapapun baginya layak menjadi PM termasuklah Anwar Ibrahim.  

Walau dengan ketiadaan Karpal Singh yang maut dalam kemalangan di Ipoh tempoh hari, DAP terus dengan cita-cita mereka. Dinasti Lim bakal memastikan kematian Karpal tidak sia-sia. Dan sebagai permulaan PRK Teluk Intan hujung bulan ini sebahagian daripada agenda itu.

DAP masih berasakan pengundi Cina seperti pilihan raya umum lalu menyebelahi mereka walau besar mana dosa mereka sekalipun. Janjilah dan taburlah apa pun DAP yakin pengundi percaya. Soal menunaikan janji-janji itu adalah perkara kedua.  

Sebagai pemimpin senior, Kit Siang faham mentaliti pengundi Cina dan begitu juga dengan pengundi Melayu. Sementara pengundi Cina menyokong konsep Malaysian Malaysia anjuran DAP, Melayu tidak ambil hirau. Ia terbukti dalam PRU13 lalu.

Sokongan pada DAP sebabkan dua lagi parti Cina iaitu MCA dan Parti Gerakan hampir hilang dari peta politik tanah air. Mereka menolak calon-calon Cina yang mewakili BN kerana bagi mereka ia sama seperti suara Umno.

Dalam PRU13, MCA bertanding di 37 kawasan Parlimen hanya menang 7, manakala Gerakan memperoleh 1 dari 11 kerusi yang dipertandingkan. Prestasi MCA di kawasan Dun pula menyaksikan parti itu menang 11 dari 90 yang ditandingi. Kedudukan Gerakan lebih menyedihkan apabila sekadar menang tiga dari 31 kawasan Dun. Dalam PRU12 prestasi MCA jauh baik apabila menang 15 kerusi Parlimen dan 32 kerusi Dun. Inilah tsunami Cina seperti pernah diuar-uarkan Najib Razak tempoh hari.

Berasaskan kejayaan dalam PRU12 dan 13, Kit Siang dan DAP begitu optimis dengan peluang mereka sekalipun dengan meletakkan calon Melayu di kubu Cina seperti Teluk Intan.
Matlamat Kit Siang ialah bagi memastikan Dyana Sofya menang bukannya calon Cina dari BN. Kerana dia sedar kekalahan bererti memberi kesan negatif pada imejnya. Lihatlah  keprihatinannya berkempen.

Selama ini masyarakat Cina di Teluk Intan memihak pada DAP tetapi ini tidak bererti mereka menyokong Kit Siang sepenuhnya. Kepada mereka DAP harus diurus pemimpin tempatan bukan orang luar. Lebih-lebih lagi apabila DAP memilih meletakkan calon luar.

Apa yang berlaku di Teluk Intan ialah tekanan terhadap Kit Siang. Semacam ada protes daripada pengundi Cina. Mereka tersenyum menyambut calon DAP tetapi pada masa sama memberi harapan pada BN. Kalau dalam pilihan raya lalu kempen Mah seperti mendaki bukit, kini laluan jauh lebih mudah.

Mah beruntung dengan kehadiran Kit Siang kerana ia menyuntik kemarahan dalam kalangan pengundi Cina. Mereka belum boleh lupa bagaimana Kit Siang meninggalkan kawasan Ipoh Timur bertanding di Gelang Patah. Cara mengajar Kit Siang ialah mengalahkan anak didiknya.

Hakikat bahawa pengundi Cina sebagai penentu berasaskan pengalaman silam. Mereka dengan DAP sudah sinonim.  Malah Dun Pasir Bedamar, salah satu Dun dalam Parlimen Teluk Intan tidak pernah dimenangi BN.

Bagaimanapun ini bukan bererti  mereka menolak BN secara total kerana semasa Au How Cheong menjadi calon, begitu juga masa Mah pada 1999 dan 2004, mereka menyokong BN. Cuma rekod ini gagal dipertahankan apabila dalam PRU12 dan 13, mereka memilih calon DAP.

Sepintas lalu sejarah politik Mah sangat cemerlang. Sepanjang bergelar YB, Mah menyumbang kepada kesejahteraan rakyat. Ketika penduduk bimbang bandar itu bakal ditelan Sungai Perak dan memerlukan penambakan, Mah  mendapatkan peruntukan RM30 juta dari Kerajaan Pusat. Pada eranya juga bandar baharu Teluk Intan dibangunkan. Hari ini Teluk Intan tidak lagi sepi dan sunyi malah wakil pembangkang yang menggantinya sangat beruntung.

Pengundi Cina di Teluk Intan bukannya tak kenal Mah dan keluarganya malahan Mah adalah sebahagian dari sejarah bandar ini. Sebuah perpustakaan disumbangkan keluarganya terletak berdekatan Sekolah Rendah Horley Methodist. Librari Mah disumbang melalui dana daripada keluarganya.

Pendek kata bagi masyarakat Cina di Telun Intan, Mah adalah seperti JFK manakala keluarganya seperti keluarga Kennedy. Mereka berjaya dalam pelbagai bidang pilihan termasuk  politik.

Dengan kemenangan calon Gerakan kelak,  imej parti itu dan MCA  bakal pulih. Walau tidak seratus peratus, pengundi Cina tidak lagi membenci BN. Dan dengan penyertaan Mah serta MCA dalam Kabinet semula mencerahkan harapan mereka menyokong Najib dan BN selepas ini.

Justeru di atas kertas peluang  Mah merampas semula Teluk Intan jauh lebih cerah dari sebelumnya. PRK bukannya pilihan raya umum. Jika DAP kalah sekalipun kali ini ia tidak merugikan parti itu. Cuma DAP kehilangan satu undi di Dewan Rakyat sahaja. Bagaimanapun berbeza jika calon BN yang menang kerana Mah berpeluang menyumbang jasa dan tenaga apabila bergelar menteri Kabinet.