NAMPAKNYA perihal air kian menjadi sinonim kepada perjalanan peribadi dan kerjaya politik Anwar Ibrahim.

Jika disebabkan air mani (menjadi barang bukti dalam perbicaraan kes liwatnya bermula 1998) mengakibatkan beliau kehilangan jawatan PM, kini perihal air negeri Selangor membabitkan Sungai Langat bakal menyaksikan kemungkinan Anwar akhirnya terpaksa menggantung boot politik beliau buat selama-lamanya.

Tidak ramai penganalisis politik tidak bersetuju keputusan Lee Chin Cheh dari PKR mengosongkan kerusi Dun Kajang tanpa bersebab atau berencana. Ia menjadi sah apabila Anwar dicalonkan atau mencalonkan dirinya menggantikan Chin Cheh.

Bertolak hakikat persengketaan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali dengan Menteri Besar, tidak sukar melihat terdapat jolokan agar Anwar menggantikan tempat yang diduduki oleh Khalid Ibrahim kini. Sifirnya mudah – Azmin sudah tentulah lebih rapat dengan Anwar berbanding Khalid.

Namun spekulasi tidak berakhir di situ. Selain kedudukan ekonomi Selangor boleh dimanfaatkan untuk urusan tawar-menawar dengan Kerajaan Pusat, dengan matlamat terakhir kembali menjadi PM sebagaimana yang dicita-citakan, masalah bekalan air awam di Selangor juga mempunyai nilai tersendiri dalam kuasa tawar-menawar. Ia juga mampu memberikan lonjakan besar kepada political mileagenya.

Tanpa memberikan perhatian kepada spekulasi manfaat kewangan yang dikatakan boleh menguntungkan Anwar secara peribadi, penyelesaian masalah air dan penswastaannya boleh sahaja membuatkan beliau muncul hero di kalangan rakyat Selangor, sekali gus mengukuhkan cengkaman partinya ke atas Selangor dan dalam masa sama mengdiskredit Khalid kerana gagal menangani masalah air walaupun hampir enam tahun atau lebih sepenggal menjadi MB.

Tentu sekali hal seperti itu merupakan strategi politik. Mungkin hal itu terpaksa dipersetujui oleh Khalid apabila diberikan jawatan MB. 

Lagipun ketika itu, tidak lama selepas memenangi Selangor dalam PRU12, setiap pemimpin PKR baik dengan pemimpin PKR lain.  Tak ada masalah peribadi dan tak ada persengketaan di antara mereka.

Namun Khalid, sebagaimana dilihat oleh rakyat Selangor, bukanlah orang politik dalam erti kata sebenarnya. Dia lebih pentingkan rakyat dari soal politik.

Masalah air Selangor hanya boleh diatasi dengan mengalirkan air dari punca baharu. Begitu pun projek Langat 2 hanya boleh dipersetujui Khalid jika Kerajaan Persekutuan dapat menerima syarat beliau tentang penstrukturan semula penswastaan air Selangor.

Dan ramai melihat syarat Khalid lebih menjurus kepada kepentingan rakyat dan negeri Selangor berbanding kepentingan tawar-menawar politik.

Akhirnya minggu lalu, ALLAH memberi hidayah pada Khalid untuk menyelesaikan kebuntuan ini. Tanpa terlebih dulu berunding dengan penasihat ekonominya, tetapi mendapat persetujuan Exco, Khalid menandatangani MoU dengan Kerajaan Pusat. Dengan itu Langat 2 kini boleh dimulakan bila-bila masa secara rasmi dan bermulalah tindakan konkrit ke arah penyelesaian masalah bekalan air Selangor.

Anwar mengaku terkejut dengan keputusan dan tindakan Khalid. 

Bagaimanapun tidaklah dapat dipastikan sama ada kejutan yang dialami itu kerana tidak ada lagi ‘air’ yang akan memberikan beliau keuntungan, sama ada keuntungan politik ataupun lain-lain keuntungan. Maknanya jika Anwar menjadi MB menggantikan Khalid sekalipun, peluang untuk muncul hero sudah tiada.

Justeru bukanlah satu kesilapan apabila ramai menganggap kedudukan Anwar sudah berada dalam keadaan ‘checkmate’, makna bahasa Melayunya ‘terbantut’.

Sebaliknya ia adalah kemenangan mutlak buat bekas CEO PNB itu lebih-lebih lagi kebanyakan tuntutan Khalid dipenuhi serta penawaran RM9.65 bilion bagi pembelian ekuiti empat syarikat konsesi yang terlibat.

Suka atau tidak, sekiranya Khalid kehilangan kerusi MB sekalipun, rakyat Selangor sudah menobat beliau sebagai hero mereka, bukan sahaja kerana berjaya menyelesaikan masalah air tetapi berani membelakangkan dan menentang bosnya.

Bagi Anwar, sekiranya memenangi Kajang dan menjadi MB sekalipun, tidak banyak yang boleh dimodalkan lagi, baik untuk urusan tawar-menawar politik atau hatta mengangkat imejnya. 

Sebaliknya jika gagal, baik sahaja pencen politik dan mulakan hobi memancing. Sambil memancing boleh juga memerhatikan permukaan air Sungai Langat sambil mengenang kembali bagaimana kerjaya politiknya hanyut akibat air.