KEHILANGAN pesawat MH370 yang dalam perjalanan ke Beijing, China pagi Sabtu lalu kini dipenuhi misteri. Malaysia menggerakkan usaha mencari besar-besaran babitkan pesawat canggih dari pelbagai negara sahabat.

Dalam keadaan serba tertekan, media asing melaporkan kesannya. Lebih-lebih lagi separuh daripada 227 penumpang yang bakal pulang ke China terdiri daripada warga negara mereka.

Kita juga dapati media di Singapura tunjuk bagaimana keluarga penumpang dari China berada dalam keadaan 'marah-marah' kerana kurang maklumat dibekalkan MAS.

Berita ini diulang tayang sehingga meninggalkan kesan negatif di benak penonton. Terdapat juga saluran swasta milik Singapura seperti Channel Asia News yang menyemai berita berbaur negatif mengenai tragedi ini. Sekali lagi mereka cuba menunjukkan mereka saja pandai dalam crisis management.

Bagaimanapun terdapat media di Amerika, sama ada elektronik atau cetak yang bersikap positif. Laporan mereka membuat Najib Razak tidur dengan nyenyak berbanding sebahagian kecil rakyat kita yang menggunakan laman-laman sosial untuk tujuan salah.

Lebih malang tragedi ini berlaku selepas mahkamah rayuan mendapati Anwar Ibrahim bersalah dalam kes liwat membabitkan pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Implikasinya kerajaan ada tangan dalam tragedi ini bagi mengalih perhatian rakyat. Maka mekarlah teori konspirasi yang diciptakan itu.

Kumpulan yang ala-ala samseng ini kecewa mahkamah menjatuhkan hukuman penjara pada Anwar. Mereka menari mengikut rentak media asing apabila terdapat media luar menyiarkan komen-komen kesat mengenai corak pengurusan MAS.

Selain tulisan bersifat cacian tanpa menghormati ahli keluarga penumpang pesawat MH370 berkenaan, laman-laman FB dan twitter menghidangkan cerita separuh benar.

Contohnya lebih ramai yang marah daripada tertawa membaca twitter mantan MB Perak Nizar Jamaluddin yang ditweet berbunyi: "New Bermuda triangle detected in Vietnam waters, well equipped sophisticated devices’re of no use.”

Pengajaran daripada insiden ini ialah media main pelbagai peranan. Malaysia dalam sekelip mata jadi perhatian dunia. Perbalahan Amerika dan Rusia dalam isu  Ukraine, kezaliman rejim zionis di Tebing Barat dan sebagainya tidak lagi satu berita panas.

Sementara ujian ALLAH tidak ditentukan secara mudah, kejadian ini membuatkan kerajaan lebih prihatin tentang perkataan perhubungan awam.

Maknanya peri penting berurusan dengan media antarabangsa kini diberi nafas baharu. Daripada 94 agensi berita asing berkampung di KLIA, hanya 36 lokal. Zaman Dr Mahathir, Najib dan barangkali Anwar sahaja berupaya mendepani media asing, yang lain dilihat kaku, kini lain pula ceritanya.

Bagi Hishammuddin Hussein pemangku Menteri Pengangkutan, ia satu episod paling sedih. Di tangannyalah letak imej Malaysia dan tumpuan dunia. Ia boleh saja jadi sesuatu tidak elok dalam konteks perhubungan antarabangsa jika kita gagal menanganinya dengan baik.

 Beberapa bulan lalu Hishammuddin hampir tewas bagi jawatan Naib Presiden Umno. Selepas itu, kita dikejut dengan berita beliau dimasukkan ke hospital kerana sakit jantung.

Kini Hishammuddin diuji pula dengan isu ini. Beberapa kali Hishammuddin berdepan dengan media tempatan serta luar yang mana fokus sidang media ialah tertumpu ke arahnya. Ringkasnya beliau berjaya memikul tugas yang dipertanggungjawabkan Perdana Menteri padanya.

Pendek kata Hishammuddin boleh kalahkan Anwar jika kedua-duanya berdebat dalam bahasa Inggeris mengenai apa subjek sekalipun.

Dalam sekelip mata Hishammuddin muncul aset terpenting kita seperti KJ jika ambil kira bertutur dalam bahasa Inggeris mendepani media asing.

Prestasinya melalui jawapan dan penerangan jauh lebih baik dari masa silam. Dia tidak lagi kelihatan janggal bila diasak dengan provokasi.

Dia cool walau sedar isu  MH370 ini sangat sensitif terutama di mata media luar.

Kita percaya selesai saja krisis ini, imej Hishammuddin bakal kembali pulih. Mengambil kira prestasinya, Hishammuddin boleh saja peroleh A++.

Begitu juga dengan kehadiran Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam sidang media tempoh hari yang berjaya memulihkan semula imej negara.

Aneh perspektif media Barat lazimnya mencari aspek negatif tapi dalam hal tragedi MH370, kita boleh berbangga apabila ada media di luar sana yang nampak kita tidak menyorok fakta daripada sesiapa.

Sebuah laporan di Barat, selain memuji layanan MAS, ia juga memulakan ayat seperti Have Hope, memetik sepanduk yang dipegang seorang rakyat Malaysia berbangsa Cina.

Sementara kita doakan pesawat ini ditemui serta mengharapkan keajaiban, kita ucapkan syabas pada Hishammuddin yang mempamerkan prestasi cemerlang selaku jurucakap kerajaan dalam krisis besar dan membabitkan rakyat dan media asing seperti ini.