PERSEPSI adalah penting dalam dunia politik. Ini yang cuba diberitahu Menteri Besar Perak, Dr Zambry Abd Kadir kepada media gara-gara kelakuan sebilangan pembangkang di negeri ini. Perkara kecil  yang kita sangka kuman pun boleh saja dipermodalkan bergantung kepada suasana dan siapa wataknya.

Seperti yang berlaku dalam isu kangkung tempoh hari, Najib Razak yang cuba buat joke mendapati dirinya terperangkap sehingga ada menganggapnya ia satu lawak bodoh. Lebih jijik apabila ia dieksploitasi oleh pembangkang sehingga isu kangkung dimuat dalam laporan media Barat. Isu kangkung sebenarnya bukan saja dipermodalkan pembangkang, kalangan Umno juga melihat isu ini jauh lebih serius. Ia ada kaitan dengan ketidakcekapan Najib mengurus ekonomi negara.

Pada masa sama juga kita lihat Anwar Ibrahim juga cuba mencuri perhatian gara-gara ratingnya yang terus merosot. Tapi malangnya rating yang cuba diperoleh tidak seperti dijangkakan. Ini jelas dalam kontroversi gara-gara kegagalannya memasuki negara Jepun Ahad lepas. Peristiwa ini menyebabkan ratingnya jatuh lebih teruk daripada Najib dan ia adalah satu tragedi untuk dirinya dan Pakatan Rakyat.

Benar, banyak perkara berlaku di sekeliling kita yang tak masuk akal. Kita selalu dengar cerita pelik-pelik tapi akhirnya, atas pelbagai sebab, ia tidak lagi jadi berita pelik. Dan kerana itu ada filem TV di Amerika Syarikat mengenai hal-hal pelik yang diberi nama Believe It Or Not.

Tetapi drama Anwar tak boleh masuk ke Jepun satu yang juga tidak masuk akal. Drama  kali ini tak boleh dikira pelik kerana sebagai calon perdana menteri, dia tentu tahu selok-belok memasuki sesebuah negara.  

Anwar seperti kita ketahui bukan calang-calang tokoh. Pembangkang menganggapnya sama taraf dengan perdana menteri serta harus diberi layanan sama. Anwar sebelum ini memasuki Jepun guna visa tetapi tahun lepas peraturan visa dimansuhkan dengan mengguna pakai sistem baharu. Dengan itu Anwar perlu memohon surat kebenaran khas dari kedutaan Jepun di KL sebelum boleh memasuki negara itu. Ini Anwar tidak lakukan. Justeru kerana salah teknik ini Anwar yang tiba di lapangan terbang Narita, Tokyo pada jam 6.45 pagi Ahad lalu diarah pulang atau jika enggan berbuat demikian akan dideportasi. Sesuatu yang memalukan jika berlaku.

Di bawah undang-undang Jepun, seseorang banduan menjalani hukuman penjara lebih dari setahun dihalang memasuki negara itu seperti termaktub dalam Perkara 5 Kawalan Imigresen dan Akta Pengiktirafan Pelarian. Seperkara lagi sejak tahun lalu rakyat Malaysia yang ada pasport biometrik dilengkapi cip mikro tidak perlukan visa untuk ke Jepun.

Barangkali bukanlah  tujuan Anwar dalam konteks merebut rating membuat blunder dengan melakukan sesuatu yang menjejaskan nama dan imejnya namun hakikatnya begitulah. Dan tentulah  lebih menyedihkan apabila berita ini menjadi bahan bualan serta liputan berita, termasuk media antarabangsa seperti The Hindu di India, Australia Network News dan The Japan Times.  

Implikasi daripada berita ini ialah sama ada negara-negara lain akan ikut langkah Jepun. Soal orang bersimpati tak sama dengan kelemahan yang dipamerkan. Anwar harus ingat dia mungkin seorang ikon serta mempunyai ramai kenalan penting di AS tapi di Jepun lain pula cerita. Lagipun Anwar bukanlah Ultraman ataupun Daraemon yang ada kuasa untuk terbang ke mana-mana penjuru alam ikut sesuka hati dan selera saja.

Jepun macam kita juga ada undang-undang imigresen yang jauh lebih ketat daripada sekadar kesalahan parkir. Di tengah-tengah kegawatan ini kita dapati kenyataan menyalahkan kerajaan BN bukan saja dibuat Anwar, ia turut diikuti Menteri Besar Selangor. Trend ini kemudian merebak sehingga berlaku tunjuk perasaan kalangan budak-budak Anwar, menganjurkan agar kita memboikot barang-barang dari Jepun.

Kita faham dilemma Khalid Ibrahim yang terjebak dalam kontroversi pemecatan Azmin Ali sebagai ahli lembaga pengarah PKNS. Arahan Anwar agar Khalid pertimbangkan semula kedudukan Azmin nampaknya  tidak diendah. 

Bekas CEO PNB itu mahu membuktikan who’s the boss dalam konteks siapa sebenarnya tokoh yang berkuasa di Selangor. Dan usaha membodek Anwar juga sesuatu yang penting buat Khalid  bagi menjamin  kedudukannya dalam kerajaan dan PKR selamat.

Seperkara lagi saya setuju  ajakan puak-puak pro Anwar sebagai tanda simpati agar kita boikot barang-barang Jepun. Ini termasuklah tidak lagi menonton filem Ultraman atau Doraemon atau memilikinya sebagai souvenir. Mulai esok juga jangan lagi memakai selipar Jepun ke surau atau ke tandas. Siapa yang guna kereta, perkakas elektrik dan apa sahaja buatan Jepun, perlu buang sahaja ke dalam Sungai Gombak sebagai menyokong usaha ini.