Andai kata dinobatkan sebagai Menteri Besar Selangor, maka sah dan nyatalah Anwar Ibrahim mencipta sekurang-kurangnya dua sejarah.

Selain menempatkan diri dalam politik Selangor sebagai MB pertama bertaraf bekas Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, ada satu lagi perlu perhatian. Anwar merupakan orang luar pertama (bukan anak jati Selangor) dipilih menjadi MB.

Ini tidak menghairankan kerana Anwar sudah menetap di negeri ini sejak 1970an, semasa menuntut di Universiti Malaya dan memimpin Abim yang pejabatnya di Lembah Pantai. Bagi orang Pulau Pinang, ia mengujakan dan boleh buat kenduri gulai daging. Manalah tahu kalau ada dicipta sebuah lagu boria khas untuk majlis pelantikan ini. Apa pun dan dalam situasi mana sekalipun, impian Anwar ke Shah Alam semakin dekat.

Jika tidak ada sebarang halangan sebaik bergelar YB Kajang awal bulan depan, beliau bakal pula bergelar YAB. Kali pertama memakai gelaran serupa ialah apabila bekas mentornya, Tun Dr Mahathir Mohamad melantiknya sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 1993 ekoran peletakan jawatan Pak Ghafar Baba.

Isu ini timbul apabila kemelut Khalid Ibrahim dan Azmin Ali, rupa-rupanya ada satu lagi drama politik.

Di pentas sama andaian dibuat, Azmin Ali selaku Timbalan Presiden PKR mahukan Khalid dipecat. Ia tak menghairankan kerana perbuatan Khalid menyebabkan Azmin kehilangan jawatan di PKNS.

Dari aspek moral ia amat memalukan. Faktor lemah dan gagal mentadbir Selangor mengiringi desakan terhadap MB ini.

Ironinya di atas permukaan sebahagian besar penyokong dan ahli PKR menyebelahi Khalid untuk dikekalkan.

Manakala hal sama dilihat berasaskan komen daripada regu PKR iaitu Pas dan DAP. Kumpulan yang menentang Khalid melihat usaha membuang MB itu tidaklah sesusah mana.

Bagaimanapun jangkaan itu semakin meleset apabila mereka dapati Khalid bukan lagi seperti mereka kenali dulu — tidak tunduk pada sebarang tekanan.

Walau terpaksa berdepan dengan Anwar dan PKR,  risiko bagi Khalid tak ubah seperti satu pekerjaan.

Apakah semangat baru ini kerana Presiden parti, Wan Azizah Wan Ismail berada di belakangnya?

Untuk rekod Khalid telah menafikan beliau ada menandatangani surat peletakan jawatan. Ini mendorong spekulasi laluan Anwar, walau bakal bergelar YB Kajang, tidak semudah dijangkakan.

Kita lihat dari aspek lain, Sultan Selangor ada hak dan peranan menentukan Selangor perlu seorang MB baru merujuk kepada isu Khalid.

Lazimnya Tuanku tidak mencampuri atau menyebelahi urusan politik kepartian. Namun dalam bab jawatan MB, penglibatan istana harus diakui. Ia berlaku semasa BN memerintah Selangor, begitu juga sekarang.

Peranan Tuanku tidak perlu dimanipulasikan. Bahkan jika berlaku sebarang konfrontasi puak Anwar akan mengalah.

Keadaan ini lebih baik daripada ibarat menyediakan kubur menjelang PRU14 kelak. Sejarah membuktikan konfrontasi dengan istana merugikan orang politik kerana lazimnya rakyat akan menyebelahi istana seperti yang pernah berlaku.

Rekod Khalid sejak 2008 perlu diambil kira. Keputusan Anwar memilih Khalid sebagai MB Selangor mengetepikan Azmin mestilah bersebab.

Puak korporat selesa dengan pendekatan Khalid lebih business oriented daripada lebih kepada menggunakan pertimbangan berasaskan sifir politik. Oleh itu ramai yakin kemenangan cemerlang Pakatan Rakyat di Selangor dalam PRU ke13 lalu adalah faktor Khalid.

Kini perhatian dunia kepada PRK Kajang, yang bermula hujung minggu ini. Pertanyaan popular ialah apakah Anwar masih ada aura seperti bertanding di PRK Permatang Pauh dahulu?

Jika pengundi di Kajang memilih beliau sebagai Adun, ini tidak bermakna laluan seterusnya jauh lebih mudah. Ia kerana halangan utama tentu saja, seperti disebut tadi, perkenan pihak istana. PKR harus membekalkan cukup sebab bagi menanggalkan jawatan Khalid serta di tempatnya digantikan dengan Anwar.

Kalangan media serta BN Selangor pula nampak hala tuju PKR Selangor selepas PRK Kajang tetapi mereka percaya Khalid juga mempunyai strateginya. Undi tidak percaya terhadap Khalid hanya boleh berlaku jika semua Adun PR sebulat suara.

Perpecahan bererti ia menguntungkan Khalid lebih-lebih lagi jika wakil rakyat BN memberikan sokongan padanya. BN Selangor mempunyai sebab tersendiri menyokong Khalid kerana selain anak jati Selangor, beliau adalah MB untuk rakyat Selangor. BN sedar kesukaran tembusi kubu PR adalah kerana rakyat melihat kesungguhan Khalid memajukan negeri ini.

Soal sekecil seperti soal pengangkutan sampah hingga isu pembangunan ditangani secara profesional tanpa melibatkan fahaman politik. Justeru cita-cita Anwar untuk jawatan tersebut tidak lebih daripada satu lagi boria politik yang tidak asing untuk rakyat Malaysia.