TUN Dr Mahathir Mohamed akhirnya membuat u-turn  dengan memuji pelan penstrukturan semula MAS seperti diumum Khazanah Nasional Berhad. Ini tentu melegakan semua pihak yang sebelumnya melihat usaha Najib Razak itu dikritik.

Kenyataan awalnya mengenai rancangan kerajaan itu agak skeptis serta berbaur nada membantah. Hal ini dimengertikan kerana bara-bara ketidaksukaan Dr Mahathir terhadap dasar-dasar PM mulai memanaskan iklim politik negara.

Justeru kritikannya seolah-olah ditujukan khusus kepada dasar Najib yang dilihatnya lemah serta tidak konstruktif lebih-lebih lagi corak pentadbiran yang dibawa Khazanah.

Ketika menulis dalam blognya, Dr Mahathir menyindir Najib dengan berkata: "I am a bit mystified by the privatization of MAS” merujuk pelan penstrukturan MAS.

Berbanding persepsi awal, reaksinya kali ini berbunyi: "Pemberhentian penerbangan ke tempat yang tidak ramai penumpang juga boleh mengurangkan kos. Saya ucap tahniah.” Beliau juga memuji langkah Khazanah menyuntik RM6 bilion.

MAS selama ini dikritik kerana prestasi kewangannya. Bagaimanapun ia mencatatkan keuntungan sebaik CEOnya, Idris Jala, yang sebelumnya bertugas di Shell Malaysia dibawa masuk. Walaupun MAS dilihat untung ia tidak terlepas daripada dakwaan keuntungan itu dihasilkan melalui penjualan aset.

Kerugian dialami MAS sejak dulu menyebabkan Pak Lah dan Najib dikritik. Ia dilihat satu liabiliti buat kerajaan kerana gagal menyelesai masalah ini. Untuk rekod berakhir 31 Mac 2013  hutang terkumpulnya RM8.75 bilion. MAS juga rugi sebelum cukai RM302.62 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun, 2014, berbanding RM165.89 juta sebelumnya.

Soal rugi atau sebaliknya sukar difahami rakyat biasa kerana soal perniagaan bagi mereka adalah lumrah. Kedai kopi di kampung mereka pun kadangkala mencatat kerugian apatah lagi sebuah syarikat penerbangan. Kenaikan harga minyak sering dijadikan alasan punca ia rugi.

Bagaimanapun MAS tidak dapat mengelak publisiti negatif apabila pada 8 Mac lalu, MH370 hilang sebaik berlepas dari KLIA. Ia menjadi misteri serta sukar difahami bagaimana sebuah pesawat sebesar itu boleh hilang. Ini bukannya kerja ahli silap mata.

Kemudian tidak semena-mena pada 17 Julai lalu, MH17 ditembak di timur Ukraine mengorbankan 283 termasuk 15 anak kapal, 43 adalah warga kita. MAS mendapat perhatian dunia khusus mengenai kerugian serta pelan penstrukturannya.

Pada 29 Ogos, Pengarah Urusan Khazanah Azman Mokhtar mengumumkan suntikan dana RM6 bilion serta 12 poin pemulihan bakal dilaksanakan termasuk rancangan memberhentikan 30 peratus dari jumlah 20,000 pekerja. 

Seperti diduga langkah Khazanah menyebabkan kakitangan MAS menjadi bertambah keliru. Cerita MH17 ditembak tidak lagi menjadi bahan bualan. Kini tajuk popular kalangan mereka apakah ia tidak menjana liabiliti buat politik Najib dan BN dalam menghadapi PRU14 kelak. Fahamlah dengan 6,000 kehilangan kerja tentu sukar diramal bentuk tindakan mereka.

Dari sudut politik tidak mustahil mereka yang berkaitan mendiamkan diri melihat kumpulan besar ini menjadi mangsa? Bayangkan perasaan orang kecewa yang kehilangan kerja. Dan tidak mustahil mereka bakal menumpahkan sokongan pada pembangkang menerusi peti undi.

Benar MAS rugi atas kertas dalam bentuk perniagaan. Jumlah RM10 bilion bukan angka kecil namun hakikatnya keuntungan yang dijana negara dan kakitangan jauh lebih bererti. Ia menggajikan ribuan jurutera, pasukan teknikal dan tenaga sokongan, kru pesawat dan sebagainya.

Juga benar umat Islam lebih sensitif isu penyajian arak dalam pesawat dan isu pelantikan CEOnya. Sering calonnya dalam lingkaran tertentu serta mengutamakan orang luar daripada kakitangan sendiri.

Gaji CEO dan para pegawai kanan termasuk imbuhannya menjadi buah mulut sehingga mengundang kritikan Dr Mahathir. Gaji mereka bukannya macam gaji pengurus kilang kicap. Kalau mereka hilang pekerjaan ia tidak memberi kesan berbanding staf 6,000 orang.

Dalam konteks ini tidak bijak bagi Khazanah membuang 6,000 staf MAS sedangkan PM sendiri tangguh berkali-kali rancangan merombak Kabinetnya. Menteri yang patut digugur kekal seperti sediakala gara-gara PM takutkan kesan balas.

Kita berharap pandangan orang di luar lingkaran Khazanah sebagai pandangan alternatif dalam pelan penstrukturan diambil kira apatah lagi membabitkan nasib 6,000 pekerja. Isu penyajian arak dalam pesawat yang dibantah umat lslam juga harus ditangani secara syarak. Sebuah syarikat baharu berimejkan Islam jauh lebih baik dari imej sekarang.

Bukan tujuan kita mencari salah sesiapa tetapi hakikatnya MAS diswastakan pada zaman PMnya Dr Mahathir. Penswastaan entiti ini walau dibantah hampir setiap penjuru khusus kakitangannya, ia diteruskan juga.

Mungkin pada ketika itu melalui cara ini masalah yang membebani MAS sejak berdekad dapat diatasi oleh pihak luar. Sebabnya kerajaan lazim dikait tiada pengalaman mengurus perniagaan.

Kini Najib yang mewarisi masalah lapuk berdepan pelbagai opsyen serta jalan keluar. Dr Mahathir mungkin ada pandangan sendiri tetapi hakikatnya PMnya ialah Najib. Berilah peluang Najib membuktikan caranya serta cara Khazanah bakal membuahkan hasil pula.