MENYIAPKAN Bajet 2015 Negeri Perak yang dibentang dan diluluskan oleh Sidang Dun Perak minggu lalu tidak semudah seperti yang disangka. Ia terpaksa mengambil kira pelbagai aspek.

Bagi mereka yang arif, bajet defisit di Perak adalah suatu yang lumrah. Namun ia melalui proses pembetulan apabila akaun kewangan tahun berkenaan ditutup serta bajet asal menjadi surplus.

Dari segi perbelanjaan pengurusan ia tinggi kerana setiap tahun sebagai contoh berlaku kenaikan dalam pembayaran gaji kakitangan dan bonus. Bayangkan ini tidak dilakukan maka kakitangan kerajaan akan hilang keyakinan.

Kerajaan berdepan isu kutipan cukai bagi memperoleh hasil. Di Perak, cukai dikutip melalui pelbagai cara. Ini termasuk cukai hartanah seperti cukai tafsiran, quit rent dan sebagainya. Masalahnya sebarang kenaikan mendapat protes rakyat.

Ini bukan soal tidak kreatif atau sebaliknya. Opsyen kenaikan cukai sering dilihat cara tidak populis melainkan rakyat menyokong usaha ini demi kebaikan masa depan mereka. Juga jaminan pembangkang tidak akan memanipulasi situasi ini sebagai modal politik.

Kita berdepan pembangkang yang hiperaktif membangkang tanpa mengambil kira elemen rasional. Mengkritik memang mudah, tetapi bukankah lebih baik jika mereka mencari kesepakatan. Contoh terbaik membabitkan isu kehilangan pesawat MH370 dan MH17 yang ditembak, di mana pembangkang turut menyokong usaha kerajaan.

Sebaliknya Sidang Dun Perak memperlihat sikap pembangkang mendewa-dewakan negeri-negeri yang diperintah sebagai perbandingan. Konon negeri-negeri itu jauh lebih baik dan lebih efisien. Tanpa bersikap prejudis jika diteropong, kelihatan rekod negatif sebenar.

Perak jauh bernasib baik berada di bawah satu payung dengan kerajaan pusat. Sebagai contoh, Perak memperoleh projek bernilai kira-kira RM1 bilion. Ini termasuk RM340 juta untuk projek tebatan banjir di daerah Kerian, sebuah politeknik di Selama, begitu juga sebuah hospital di Parit Buntar. Ini belum diambil kira Lebuh Raya Pantai Barat yang bernilai RM6 bilion menghubungkan Banting di Selangor dengan Taiping.

Seperti disebut tadi tidak ada kerajaan yang berani menggula-gulakan rakyat jauh sekali memanipulasi situasi melalui kenyataan yang dibuat di sidang Dun. Ia dianggap sebagai kenyataan bersumpah.

Justeru wajar sekali mereka faham prinsip bajet dan perkara berkaitan bukannya medan menyalak. Sejak 2009 sudah enam kali Dr. Zambry Abd Kadir membentangkan bajet, kali ini bertajuk Bajet Amanjaya, Rakyat Sejahtera. Ironinya belum apa-apa ia dikritik, kalau bukan Nga Kor Ming, Pengerusi DAP negeri siapa lagi.

Nga tidak menggunakan medium sepatut sebaliknya melalui satu sidang media selepas MB berucap pada Isnin. Beliau boleh tunggu hingga gilirannya untuk bercakap. Masa tiga hari perbahasan yang diperuntukkan amat mencukupi.

Nga menimbulkan soal bajet kali ini satu bajet defisit. Mungkin dia terlupa ini kali keenam bajet Perak bermula sebagai defisit sebelum menjadi surplus sebaik selesai tahun kewangan berikut. Dia berpendapat bajet Pulau Pinang jauh lebih baik dari Perak kerana  perbelanjaan pengurusan yang tinggi.

Soalnya mengapa Nga tidak juga menyebut bajet Pulau Pinang dan Selangor juga defisit malah jauh lebih tinggi iaitu RM230.32 juta dan Selangor pula RM450 juta berbanding Perak hanya RM50.06 juta. Perbelanjaan pengurusan Pulau Pinang juga tinggi iaitu 89% manakala 11 peratus untuk pembangunan.

Sebagai satu perbandingan bajet Selangor mencecah RM2.42 bilion berbanding kutipan cukai hanya RM1.97 bilion atau defisit RM450 juta. Masa MB lama, bajet Selangor hanya RM1.85 bilion.

Menjelaskan kekeliruan Nga, MB berkata: Ada yang membuat perbandingan antara negeri khususnya yang melibatkan negeri-negeri di bawah pembangkang dan ada juga yang tidak memberi kredit kepada bajet ini khususnya dalam bajet defisit.

“Demikian juga pandangan yang dilontarkan seperti menganggap bahawa kerajaan tidak pandai mengurus dan ada juga kita dengar tiada sumber-sumber baru dan kerajaan hanya mengenakan cukai-cukai.’’

Komen Saarani Mohamed (BN-Kota Tampan) saya petik sebagai menutup argumen Nga mengenai bajet defisit: Dia tidak sabar-sabar mengeluarkan kenyataan. . . .  tidak sempat menunggu hari kedua, hari perbahasan, dia telah mengeluarkan kenyataan akhbar selaku Pengerusi DAP.”

Sidang Dun lebih-lebih lagi perbahasan bajet bukan medan petah berucap atau latihan amali untuk buat dakwaan melulu. Selain mereka dituntut lebih bertanggungjawab, mereka juga perlu ada perasan malu. Malu pada rakyat yang mendengar, melihat serta membaca kenyataan.

 
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BANDAR raya Ipoh, ibu negeri Perak lazimnya sunyi dari mendapat limpahan perhatian. Tidak ada apa yang menarik jika mengikut laporan media massa. Ia bukanlah destinasi utama bagi pelancong yang ingin mencari ketenangan. Bukan juga sebagai pusat beli-belah seperti kawasan Bukit Bintang di Kuala Lumpur.
  • SEPERTI pernah disebut MAS tidak memerlukan khidmat bomoh. Malah pramugari atau pramugaranya pun tidak perlu mandi bunga dalam urusan mencari jodoh.
  • SASARAN mereka ialah ahli-ahli Umno. Mereka bergerak hampir ke setiap negeri meliputi banyak bahagian. Majlis lazim dibuat secara tertutup bagi mengelak kontroversi dan dihidu musuh. Suara mereka hanya mendapat publisiti media kecil serta portal berita.
  • JAWATAN Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno lazim sekadar window dressing lebih-lebih lagi bagi bosnya seorang tokoh politik sehebat Khairy Jamaluddin. Tambahan pula, tokoh yang dimaksudkan ini tidak memegang sebarang jawatan penting dalam kerajaan.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.