MACAM-macam telah ditulis mengenai baik buruk Azmin Ali. Sejak beliau sebagai pegawai di era Anwar Ibrahim masih dalam kerajaan  apatah pula kini sudah bergelar YAB Menteri Besar Selangor ke-15.

Dia juga diberi label sebagai Si Tanggang moden gara-gara mempunyai hubungan dingin dengan anggota keluarganya. Malah jika ditulis riwayatnya ia jauh lebih menarik daripada novel Ombak Rindu. Sebahagian bahan itu tidak manis untuk dimuat di sini.

Malah ketika spekulasi rancak mengenai bakal menggantikan Khalid Ibrahim, Azmin yang lahir di Singapura dan berusia 50 tahun, terus diserang bertubi-tubi. Sebagai contoh artikel mengapa dia tidak layak jadi MB seperti satu kempen mempengaruhi keputusan Istana.

Namun hakikatnya big bossnya dan media pun gagal menghalangnya. Selasa lalu tepat 10.45 pagi, Azmin mengangkat sumpah sebagai MB, setelah 4 bulan isu jawatan ini seperti permainan yo-yo.

Soal sama ada Azmin tidak ada pengalaman dari segi pentadbiran dan sarat dengan dosa-dosa politik adalah hujah paling lemah. Pada hakikatnya tidak ada manusia yang bersifat maksum melainkan Nabi Muhammad (SAW) sendiri.    
       
Bukankah Myke Tyson atau Mat Taib ketika dilantik menjadi MB pada 1986 pun dikritik hebat. Konon dia tiada pengalaman kerja malah bukan kalangan Exco. Tetapi Myke membuktikan sebaliknya.

Rakyat lebih menitikberatkan soal-soal pembangunan. Perubahan yang bakal dibuat MB baharu harus tidak merugikan mereka. Selangor tak mampu jatuh merosot dari aspek pertumbuhan ekonomi kerana tempiasnya boleh menjejaskan prestasi ekonomi negara.

Selangor juga perlu maju dari segi pembangunan agar tidak tertinggal jika dibanding dengan jirannya Wilayah Persekutuan dan Putrajaya. Bagaimanapun Azmin perlu terlebih dahulu menyelesaikan pelbagai kesangsian umum. Banyak isu yang membuat umum sangsi hemahnya selama ini perlukan perspektif baru.

Kalau boleh disebut di sini Azmin macam hidup di bawah bayang-bayang Anwar. Justeru ramai bimbang jika kelemahan ini menjadikan dia selaku MB bakal diremote control oleh Anwar.

Bagi yang baru mengenalinya, Azmin mempunyai sejarah panjang dengan Anwar selepas memperoleh ijazah dari Amerika Syarikat. Beliau pernah bertugas di pejabat mantan PM Dr Mahathir Mohamad sebelum berpindah tugas ke pejabat Anwar.

Keakraban dengan Anwar membantu kerjaya Azmin tetapi ini sering dicemburui staf dan rakan-rakan politik. Azmin bukan sahaja setiausaha yang menjaga buku appointment malah turut terlibat dalam kerja-kerja politik.  
             
Bila mana Khalid dilantik MB bukannya Azmin semasa Pakatan Rakyat menubuh kerajaan di Selangor pada 2008, ia agak aneh. Bukankah sebagai salah seorang pemimpin kanan PKR dan paling rapat dengan Pak Sheikh dia harus diberi pertimbangan? Bukankah juga aneh PKR tidak menghantar namanya ke Istana untuk pertimbangan apabila Khalid dipecat?

Kalau bukan kerana Pas yang mencalonkan namanya kepada Sultan Selangor sebagai calon rasmi MB, nasib belum tentu menyebelahinya. Dalam hal ini Pas jauh lebih berjasa padanya berbanding PKR.

Bagi pengkritiknya mereka berharap Azmin tidak akan menjadi pemimpin remote control? Ini kerana salah satu faktor Wan Azizah ditolak ialah kerana kebimbangan dia akan dikawal dari jauh oleh suaminya. Terma sama kini jatuh menimpa Azmin pula.

Ketika menjawab pertanyaan media selepas majlis mengangkat sumpah jawatan MB di Istana Alam Shah, Klang, Azmin memberi harapan baru pada rakyat Selangor.  Yang paling menarik tentu penafiannya dengan andaian bahawa menjadi pemimpin remote control. Katanya dia tertakluk kepada sumpah jawatan depan Sultan serta dasar-dasar melibatkan rakyat.

Umum juga hendak melihat jawapan Azmin berhubung isu kalimah ALLAH. Ini kerana Azmin pernah menyanggah Majlis Syura Pas yang berpendirian tegas melarang bukan Muslim menggunakan kalimah berkenaan.

Azmin sebaliknya pada 8 Januari 2013 menyokong pendirian Pakatan Rakyat  yang memperakui puak ini boleh menggunakan kalimah ALLAH walaupun tidak menepati kehendak al-Quran. Pengkritiknya melihat ia bercanggah dengan pendirian Sultan Selangor dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

Isu ini semakin panas lebih-lebih lagi The Herald bakal menfailkan permohonan semakan semula keputusan Mahkamah Persekutuan. Selain itu Azmin berdepan tindakan Persatuan Bible Malaysia yang menuntut Bible versi Melayu yang dirampas dulu dikembalikan.

Tidak boleh dinafikan Azmin adalah  wira moden yang mana kesetiaan pada Anwar tiada galang ganti. Waktu zaman susah, Azmin mengharunginya. Semasa Anwar berehat di Sungai Buloh, Azmin berkomunikasi dengan dunia. Sentimen ini dibimbangkan rakyat kerana ia bakal mempengaruhi pertimbangannya.

Tetapi barang diingat politik itu merupakan the arts of possible. Ia boleh berlaku di luar jangkaan dan pemahaman manusia. Siapa sangka budak berhingus seperti Azmin yang pernah bekerja di pejabat Anwar kini bergelar YAB MB. Bukan itu saja, Azmin juga yang begitu kasar komen mengenai Pas tiba-tiba menjadi pilihan Pas sebagai MB.

Dan manalah tahu Pas yang pernah menawarkan Azmin menyertai mereka  bakal menyaksikan keajaiban apabila Azmin menjadi ahli Pas, macam Myke, suatu masa nanti ataupun kembali ke pangkuan Umno.

Justeru janganlah hairan jika Azmin dengan tidak semena-mena juga menjarakkan diri daripada Anwar bagi menjadi MB untuk rakyat Selangor bukannya MB untuk PKR.

Seperti pernah disebut, jawatan MB Selangor panas dan penuh misteri. Ramai tokoh terkulai serta keluar ikut tingkap termasuklah Khalid dan Khir Toyo. Bukanlah kerana mereka baik atau tidak tetapi kerana misteri kerusi panas ini. Justeru kalau Azmin turut jadi mangsa suatu masa nanti ia juga bukan sesuatu yang mengejutkan.