RAMAI yang perasaan ada sesuatu tidak kena dengan PKR sejak dari awal lagi. Ia sebenarnya bukanlah masalah rakyat atau ahli-ahli yang cerewet, tetapi lebih kepada isu kepimpinan.

Masalah dalaman PKR bermula jauh sebelum MH370 hilang dan MH17 jatuh ditembak peluru berpandu. Cuma oleh kerana kebencian mendalam terhadap Umno maka ramai memilih memejam mata.

Jika dilihat matlamat awal penubuhan PKR ialah berkesan memperjuangkan nasib Anwar Ibrahim sehingga satu dunia memberi perhatian. Cerita bagaimana Anwar bermata lebam akibat dibelasah bekas Ketua Polis Negara merupakan isu paling popular.

Sejak 1998 dan sesudah PKR ditubuhkan kita lihat rakyat diarak ke sana sini menentang kepimpinan Dr Mahathir Mohamed. Konon Dr Mahathirlah memusnahkan karier Pak Sheikh bukannya diri sendiri.

Ironinya perjuangan PKR diteruskan pada zaman Pak Lah dan Najib Razak menjadi perdana menteri. Mereka masih mendendangkan isu-isu yang sama. Teriakan reformasi sebahagian daripada cara menarik perhatian rakyat.

Sebaik Anwar keluar penjara, dia meneruskan perjuangan yang terbengkalai. Dengan mendapat sokongan melalui forum rakyat, matlamat mereka ialah mahukan Anwar menjadi perdana menteri pula.

Senario di atas ditimbulkan sebagai perbandingan PKR sebelum Dr Mahathir menyerah jawatan kepada Pak Lah dengan perjuangan mereka masa kini. Rumusannya tak salah jika kita katakan matlamat mereka mahu menawan Putrajaya dan menabalkan Pak Sheikh perdana menteri baharu.

Sejak sebelum PRU13 tahun lalu ekoran kemenangan mengejut pembangkang pada 2008, ramai tokoh kanan dilihat sudah “fed-up” dengan stail perjuangan politik Anwar.

Ramai meninggalkan PKR. Mereka juga turut mendedahkan pekung berlaku dalam parti itu. Antaranya termasuklah Zaharin Hashim, kini  Duta Besar Malaysia ke Indonesia dan bekas peguam Anwar, Zulkifli Nordin.

Kemelut menimpa PKR tidak menjejas usaha mereka untuk terus mendominasi kerajaan Selangor selepas PRU13. Walau hanya menang 14 kerusi berbanding seri 15-15 antara Pas dan DAP, Khalid Ibrahim dikekalkan ke jawatan menteri besar.

Bagaimanapun zaman bulan madu Khalid tidak lama apabila tak sampai setahun memegang jawatan itu timbul ura-ura dia bakal diganti. Khalid enggan melayan tekanan kerana berasakan ia masih memperoleh sokongan akar umbi.

Pada malam Isnin, 21 Julai semuanya terjawab apabila Anwar tampil dengan kenyataan pimpinan PKR bersetuju mencalonkan Wan Azizah atau isterinya iaitu Adun Kajang sejak 23 Mac lalu, sebagai MB Selangor.

Khalid tidak membantah kerana penggantinya bukanlah Azmin Ali. Ia pasti bantah jika Anwar mencalonkan Azmin. Khalid berpegang pada ABA - Asal Bukan Azmin.

Keputusan ini sebenarnya sudah diduga sejak awal sebaik calon PKR mengosongkan kerusi Dun Kajang bagi membolehkan pilihan raya kecil.

Tetapi takdir ALLAH menentukan sebaliknya apabila Anwar dijatuhi hukuman penjara lima tahun, sekali gus gagal bertanding dan menjadi menteri besar.

Amalan nepotisme bagi PKR adalah halal tapi bukan bagi  pemimpin-pemimpin Umno. Malah ironinya rakyat pun tidak ambil pot jika PKR mengamalkannya. Lihat sahaja amalannya menular dalam DAP dan Pas sesuatu yang mereka tentang habis-habisan selama ini.

Kini yang bergelar lebai malang tentulah Azmin. Kita lihat kekosongan Azmin sebagai orang kepercayaan Anwar diambil alih Rafizi Ramli, Ahli Parlimen Pandan. Rafizi pula menikmati saat-saat penting ini macam pernah dilalui Azmin sebelum ini.

Bagaimanapun masa depan politiknya masih lagi samar-samar terutama menjelang PRU14.

Pemerhati politik pula melihat strategi Anwar meletakkan Wan Azizah pada ketika kes rayuannya di mahkamah memasuki fasa kedua. Ramai penyokongnya kecut perut memikir risiko kali ini kerana sebelum ini bos mereka didapati bersalah. Jika keputusan sama maka tamatlah riwayat politik Anwar.

Semasa Anwar dijel tempoh hari, selain Azmin, Wan Azizah dan Nurul Izzah menjadi galang ganti. Suara merekalah yang menjaja laungan reformasi ke seluruh pelosok tanah air. Kini tanda tanya apakah Azmin masih dalam team sama?

Sama ada pelantikan Wan Azizah merupakan strategi politik yang tersasar hanya sejarah bakal memberikan jawapan. Bagaimanapun pada peringkat ini para penyokong tegar Anwar dan musuh-musuh Azmin berasakan, Kak Wan calon paling wajar. Ia jauh lebih baik daripada Azmin dalam banyak aspek.

Sementara Wan Azizah berada pada tahap 'cloud nine', politik Selangor membabitkan PKR dan rakan-rakan makin panas ibarat kitaran cuaca El Nino.

Sama ada selepas PRU14 kelak Selangor di bawah Wan Azizah dan kekal milik PKR kini menarik perhatian umum. Namun bagi Umno setakat ini peluang mereka untuk kembali berkuasa jauh lebih cerah berbanding jika PKR mencalonkan Azmin sebagai pengganti Khalid.